Mangsa Banjir di Johor, Melaka, Perak, Selangor Cecah 3,684
Posted by Unknown on 7 November 2012 | 0 komen pembaca
Banjir akibat hujan berterusan di Johor, Melaka, Perak dan Selangor sejak seminggu lalu menyebabkan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir mencecah 3,684 orang.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kie berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membuka pusat pemindahan di kawasan berkenaan untuk menempatkan mangsa banjir.
"Jumlah pusat pemindahan yang dibuka ialah 45 buah, di mana 22 buah terletak di Johor, lapan di Melaka, lima di Perak dan 10 di Selangor," katanya kepada pemberita selepas pelancaran pakej kebajikan ASTRO di Pusat Aktiviti Warga Emas Cheras Baru di ibunegara hari ini.
Setakat ini, seramai 1,158 keluarga telah didaftarkan di pusat pemindahan.
"JKM membekalkan segala peralatan seharian seperti makanan, selimut, tikar serta bencana kit untuk mangsa bencana di pusat pemindahan ini," katanya.
Katanya enam pusat pemindahan telah ditutup setelah banjir beransur pulih di Johor, Melaka dan Perak.
Heng berkata tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Beliau berkata JKM turut menyediakan pengangkutan untuk membawa pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke pusat peperiksaan di kawasan yang terjejas akibat banjir.
Sementara itu, 449 pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah terjejas berikutan kejadian banjir yang melanda empat buah
negeri setakat ini.
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zakarshi berkata daripada jumlah itu 22 pelajar merupakan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala dua pelajar merupakan calon peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
"Daripada 22 pelajar yang mengambil SPM itu, tujuh pelajar kita tempatkan di asrama sekolah mereka, manakala selebihnya tinggal di rumah saudara-mara," katanya di Batu Pahat hari ini.
Beliau yang juga anggota Parlimen Batu Pahat berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Sg Suloh, Senggarang dan majlis penyampaian sumbangan bantuan Kelab Putera 1Malaysia.
Turut hadir Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang menyampaikan sumbangan tilam 1M, barangan makanan, barangan keperluan harian, pakaian dan perubatan.
Puad berkata sehingga kini 14 buah sekolah rendah telah dijadikan pusat pemindahan sementara mangsa banjir dengan 11 daripadanya di Johor dan masing-masing sebuah di Perak, Melaka, dan Selangor.
Bagaimanapun, katanya setakat ini tidak ada sekolah menengah yang terjejas dengan banjir dan peperiksaan SPM yang dijalankan di seluruh negara setakat ini berjalan lancar.
Beliau turut meminta pihak sekolah supaya mengikuti 'Pekeliling Payung' yang dikeluarkan oleh pihak kementerian bagi menangani ancaman banjir selain memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak yang berkenaan berhubung mangsa pemindahan yang ditempatkan di sekolah mereka.
"Kita harap sekolah yang mudah ditenggelami air supaya ambil tindakan menyelamatkan dokumen dan peralatan penting dengan meletakkannya di tempat yang tinggi.
"Kita tidak mahu peralatan seperti komputer rosak berikutan banjir yang berlaku itu," katanya.
Sumber: Bernama
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**
0 komen pembaca for "Mangsa Banjir di Johor, Melaka, Perak, Selangor Cecah 3,684"
Leave a reply