BlogList Malaysia

Selatan Online

PAS Sentiasa Relevan Dalam Realiti Baru

Posted by Unknown on 25 November 2012 | 0 komen pembaca


PAS adalah parti yang sentiasa terbuka untuk menerima teguran dan kritikan sama ada daripada dalam atau luar parti. Dalam muktamar baru-baru ini, ahli diberikan hak seluas-luasnya untuk menegur pimpinan. Isu penolakan terhadap Kepimpinan Ulamak, penstrukturan semula Harakah, ketegasan dalam perlaksanaan undang-undang Islam dan lain-lain telah menjadi fokus para perwakilan untuk menegur pimpinan. Ia jauh sekali berbanding parti UMNO yang menutup pintu ahlinya untuk menegur.

PAS juga bersedia untuk menerima teguran daripada luar. Bahkan PAS menjemput mereka untuk berdialog dan menegur secara direct dalam majlis yang dianjurkan oleh PAS sendiri walaupun ada orang yang sehingga sekarang tidak memberikan tarikh setelah bersetuju untuk datang.

Doktrin yang perlu ditolak

Menjawab teguran bukan bermakna tidak menerima teguran tersebut. Kadang-kadang jawapan perlu diberikan sebagai satu penjelasan. Doktrin bahawa teguran yang dijawab dianggap tidak diterima harus ditolak. Di samping itu, ada yang menuduh bahawa jawapan yang diberikan adalah reaksi melenting dan melatah. Perlu diingat bahawa senyap, tidak menjawab tidak semestinya bermakna menerima teguran kerana kadang-kadang ia ditolak kerana malas menjawab.

Keras atau lembut dalam menjawab pula adalah berdasarkan teguran yang diberikan. Ini kerana kadang-kadang teguran yang dibuat bukan untuk membaiki tetapi lebih untuk membina persepsi yang buruk terhadap orang yang ditegur.

Justeru itu, tidak pelik jawapan yang diberikan kadang-kadang agak keras. Lihat sahaja kata-kata Saidina Abu Bakar yang keras terhadap Urwah bin Mas'ud, wakil musyrikin Mekah dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyyah: "Kamu ini manusia yang menghisap kelentik kemaluan berhala al-Latta." Jawapan keras ini dihamburkan oleh Abu Bakar r.a. apabila Urwah menegur Rasulullah s.a.w. yang dilihat ingin menghapuskan dan memusuhi bangsa sendiri (Lihat Sofiy ar-Rahman, 1991).

Undang-undang Islam adalah prinsip dan perjuangan PAS

PAS sebagai sebuah gerakan Islam sentiasa menjaga prinsip dan anjal dalam perkara cabang. Inilah yang diajar oleh Islam dan ditegaskan oleh Muhammad Iqbal, seorang pujangga India bahawa tajdid dan perubahan adalah mesti bertolak daripada keteguhan prinsip dan turathnya. Perkara-perkara yang baik daripada pemikiran baru boleh diambil setelah ditapis dan tidak berlawanan dengan prinsip Islam (Muhammad Iqbal wa manhajuhu fi tajdid al-fikri al-Islami, 2000).

Prinsip dan perjuangan PAS adalah untuk menegakkan Islam termasuk undang-undang-undangnya. Ia adalah syariat Allah yang tidak ada kompromi dalam perlaksanaan. Ia adalah prinsip dan perjuangan PAS yang tidak pernah berubah daripada dahulu sehinggalah sekarang.

Semua negara memerlukan undang-undang. Tidak ada negara yang tidak ada undang-undang. Cumanya undang-undang apakah yang hendak dipakai. PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam ingin melihat undang-undang Islam dilaksanakan dalam negara ini kerana yakin terhadap keberkesanannya untuk menghapuskan jenayah. Ia adalah undang-undang yang datang daripada Allah yang menciptakan manusia. Dia tahu apa yang baik dan buruk untuk manusia dan Dia tahu bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah manusia.

Orang Islam perlu meyakini bahawa undang-undang Islam adalah terbaik untuk mencegah manusia melakukan kesalahan dan jenayah. Ia akan memberikan keadilan kepada semua. Rasuah, salah guna kuasa, memerah harta negara dan kezaliman yang menghiasi politik Dunia Muslim akan dapat diatasi dengan undang-undang tersebut. Rakyat yang membenci pemerintahan zalim sekian lama akan merasa aman dengan terlaksananya undang-undang tersebut dan merasai keadilannya.

Keberkesanan undang-undang Islam akan memberikan hak kepada orang yang dizalimi kerana Islam tidak membenarkan berlakunya kezaliman. Orang yang miskin dan melarat akan terjaga kebajikannya dengan diberikan makanan dan keperluan asasi. Harta negara dibahagi secara adil dan kerajaan diurus dengan penuh amanah di bawah undang-undang Islam. Bahkan bandar yang kotor akan menjadi menjadi bersih dan pengurusan yang buruk menjadi terurus. Rakyat diberikan ilmu dan pendidikan. Ini semua kerana Islam telah dilaksanakan secara menyeluruh termasuk undang-undangnya.

Jangan bina persepsi yang buruk terhadap undang-undang Islam

Rakyat tidak seharusnya dibina dengan persepsi yang buruk terhadap undang-undang Islam. Jangan ditanam persepsi bahawa perlaksanaan undang-undang Islam akan menjadikan negara tersebut negara Mullah. Adalah silap jika berpandangan demikian kerana Rasulullah s.a.w. juga melaksanakan undang-undang Islam di Madinah dan Madinah bukan negara Mullah.

Kesilapan Taliban ketika memerintah Afghanistan dengan undang-undang Islam tidak boleh menafikan keindahan undang-undang tersebut. Ini kerana mereka terlalu jumud dengan mazhab Hanafi, tanpa melihat mazhab yang lain sehingga dilihat terlalu keras melaksanakan undang-undang Islam. Wanita dipaksa memakai purdah dan dilarang bekerja.

PAS berbeza dengan Taliban kerana PAS mengemukakan undang-undang Islam yang meraikan kepelbagaian pandangan mazhab dalam Islam dengan melihat realiti semasa. Contohnya, PAS mengambil ketetapan bahawa Hudud tidak akan dilaksanakan ke atas orang bukan Islam. Wanita akan terus dibenarkan bekerja dan dibela. Justeru, jangan jadikan kesilapan Taliban untuk menafikan keindahan undang-undang Islam.

Persoalannya, kenapa perlu dipilih untuk menanam persepsi buruk terhadap undang-undang Islam sedangkan kita ada pilihan untuk membina persepsi yang baik terhadap undang-undang ini. Kenapa perlu dibina persepsi bahawa undang-undang Islam hanyalah membawa mimpi buruk kepada rakyat. Tangan rakyat akan dipotong, ataupun wanita akan direjam dengan batu, ataupun wanita dipukul kerana tidak bertudung dan seterusnya.

Jangan ditiru cara UMNO yang membina persepsi buruk terhadap undang-undang Islam. Undang-undang ini jika dilaksanakan akan menghalang pembangunan kerana batu-batu telah digunakan untuk merejam, berlakunya kekacauan dan pengangguran, rakyat boleh makan sup tangan dan lain-lain lagi yang memburukkan undang-undang Islam.

Kita ada pilihan untuk menanam persepsi yang baik kerana undang-undang Islam membawa rahmat dan kebaikan. Tidak akan ada rakyat yang akan dipotong tangannya, disebat dan direjam dengan batu kerana tidak ada lagi orang yang akan sanggup mencuri dan berzina disebabkan gerun terhadap hukuman Allah. Ia adalah pencegahan daripadaNya. Orang-orang yang dizalimi pasti gembira terhadap hukuman Allah ini. Hanya orang yang zalim sahaja tidak senang dengan hukuman Allah.

PAS sentiasa segar dengan ijtihad baru

Walaupun PAS sebagai gerakan Islam sentiasa tegas dengan prinsipnya memperjuangkan undang-undang Islam, PAS sentiasa menilai pendekatannya. PAS memperkatakan tentang ijtihad-ijtihad baru mengenai politik termasuklah ijtihad tahalluf siasi. PAS telah lama berijtihad bahawa pilihanraya adalah syari'e walaupun sebahagian gerakan Islam yang lain baru terlibat dengannya. Begitu juga PAS membenarkan wanita bertanding dalam pilihanraya. PAS sentiasa memahami teks dalam kerangka konteks kerana sedar politik terdedah kepada perubahan.

Atas kesedaran tentang hakikat politik Islami dan memahami tabiat baru politik Malaysia, PAS menggunakan pelbagai pendekatan baru. Slogan-slogan yang menakutkan tidak pernah digunakan.

Slogan-slogan Islam yang lebih memberikan harapan telah lama dilaungkan. PAS melaungkan slogan kebajikan dan khidmat masyarakat sejak sekian lama dan dipertegaskan lagi dalam muktamar yang berakhir baru-baru ini dengan konsep negara berkebajikan. PAS memberikan khidmat kepada rakyat. Menambat hati mereka dengan janji yang selaras dengan cita dan cinta rakyat.

Di negeri Kelantan sebagai contoh, kerajaan Pas telah memberikan pelbagai servis kepada rakyat seperti projek Al-It'am (kupon beras percuma), Az-Ziwaj (bantuan perkahwinan), Ladang Rakyat, bantuan armalah (ibu tunggal) dan sebagainya. Kebajikan rakyat sentiasa dijaga di samping penerangan kepada masyarakat tentang Islam dan undang-undangnya sentiasa berjalan dan mendapat sambutan yang baik. Semua yang dilakukan ini adalah untuk mewujudkan suasana yang kondusif bagi perlaksanaan undang-undang Islam di negeri tersebut.

'Arab Spring' tidak merubah prinsip gerakan Islam

Perlu dijelaskan bahawa walaupun 'Arab Spring' berlaku kerana tidak puas hati dengan pemerintah yang zalim tetapi rakyat memilih gerakan Islam untuk menggantikan pemerintahan tersebut. Ini kerana mereka yakin terhadap Islam dan undang-undangnya sebagai alternatif walaupun pilihanraya yang diadakan turut disertai oleh parti-parti yang berbentuk sekular, nasionalis dan sosialis.
Gerakan Islam yang memerintah di negara Arab sekarang ini tidak pernah

mengubah prinsip perjuangan mereka. Dr. Moursi selaku Presiden Parti al-Hurriyyah wal 'Adalah selepas 'Arab Spring' sebelum menjadi Presiden Mesir menegaskan hasrat menegakkan undang-undang Islam ketika muktamar pertama partinya. Setelah menjadi Presiden Mesir, dia juga menyatakan keinginannya untuk melaksanakan undang-undang Islam apabila ditanya dalam satu majlis bersama rakyatnya.

Akhirnya, nasihat dan teguran saya kepada penulis artikel 'Relevankah PAS dalam realiti baru?" supaya jangan menggunakan agama supaya orang ramai makin jauh daripada agamanya. Jangan tanam persepsi buruk di kalangan rakyat terhadap undang-undang Islam atas nama agama sehingga orang takut kepadanya. Penulis artikel tersebut perlu terbuka untuk menerima nasihat dan teguran ini sebagaimana beliau inginkan orang lain menerima tegurannya. Pun begitu, saya tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih atas nasihat dan teguran yang beliau berikan.

Penulis adalah pengerusi Ulamak Pelapis PAS (Pusat).
 
Sumber: Harakahdaily


**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**



PENAFIAN DAN PERINGATAN - Ini merupakan web rasmi Nusajaya Kini. Semua artikel di sini adalah hak mutlak Nusajaya Kini, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika diletakkan nama pemiliknya. Semua gambar di web ini adalah hak milik Nusajaya Kini dan juga ehsan dari Google. Nusajaya Kini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Sebarang pertanyaan dan pendapat boleh dikemukakan terus melalui email kepada kami di nusajayakini@gmail.com


Kongsikan pandangan anda


0 komen pembaca for "PAS Sentiasa Relevan Dalam Realiti Baru"

Leave a reply

Terbaru di Nusajaya Kini

Cari Blog Ini

Like Nusajaya Kini

Ruang Iklan

Fanpage Nusajaya Kini

Twitter Nusajaya Kini

Arkib

Jumlah Paparan Halaman

Daftar Ahli Blog Nusajaya Kini