Isu Cuti Jumaat: ADUN Skudai Difitnah
Posted by Unknown on 13 Disember 2013 | 0 komen pembaca
JOHOR BAHRU - Nama Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau dipalit kontroversi apabila sebuah blog mengaitkannya sebagai individu bertanggungjawab dalam isu ‘Cina Johor arah Melayu ubah solat Jumaat kepada Solat Ahad’.
Blog tersebut mengaitkan nama Cheng Hau kononnya turut memberi arahan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya mengambil kira pandangan rakyat Cina Johor dan sektor swasta berhubung pertukaran cuti hujung minggu kepada Jumaat dan Sabtu.
Beliau juga menyelar tindakan penulis blog berkenaan yang menuduhnya dengan isu sensitif khususnya soal agama yang disifatkannya sebagai melampau.
“Benar saya ada memberi pandangan berhubung pertukaran cuti dengan niat untuk melancarkan perlaksanaannya bagaimanapun tidak sesekali menyentuh isu solat Jumaat, jauh sekali mencadangkan supaya ia ditukar kepada ‘Solat Ahad’.
“Sebelum ini saya memberi cadangan supaya pertukaran cuti hujung minggu di negeri ini diselaraskan kepada semua sektor termasuk swasta, namun tindakan mengaitkan saya dengan isu berkaitan agama Islam adalah fitnah melampau dan berniat jahat,” katanya, semalam.
Beliau berkata demikian pada sidang media, selepas tidak berpuas hati berikutan tindakan penulis blog itu memfitnahnya. Cheng Hau yang juga Adun Skudai memaklumkan hanya mengetahui fitnah yang mengaitkan dirinya di blog berkenaan yang turut disebarkan di media sosial melalui aplikasi ‘Whatsapp’ oleh seorang kenalan pada 6 Disember lalu.
“Ketika itu saya sedang berada di klinik, sejurus dimaklumkan saya terus membuka blog berkenaan saya kemudiannya mencetak artikel tersebut sebelum membuat satu laporan polis di Balai Polis Taman Universiti, selang empat hari kemudian.
“Apabila saya membaca keseluruhan kandungan artikel terbabit saya berasa amat tidak berpuas hati apabila penulisnya membuat fitnah terhadap saya berkaitan hal agama, malah gambar saya turut dimuat naik di dalam blog itu,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian pernah menyiarkan pendapat Cheng Hau berhubung isu pertukaran cuti Jumaat dan Sabtu.
Katanya, penukaran cuti hujung minggu kepada Jumaat dan Sabtu dilihat akan memberi kesan kepada aspek ekonomi negeri ini khasnya pembangunan wilayah Iskandar yang sedang pesat membangun pada masa kini.
“Pendirian DAP Johor, kami akan tunggu dan lihat kesan ke atas pertukaran hari cuti minggu atas ekonomi Johor kerana negeri kita sedang bersaing dengan Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Singapura dari segi pelaburan.
“Pelbagai urusan eksport dan import dijalankan memerlukan kerjasama daripada sektor kerajaan dan swasta seperti jabatan kastam dan eksais serta imigresen,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan mengesahkan menerima laporan yang dibuat Cheng Hau.
“Kita menemu bualnya dan kes dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sumber berita: Sinar Harian
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**
0 komen pembaca for "Isu Cuti Jumaat: ADUN Skudai Difitnah"
Leave a reply