PBS : Ibarat Buah Yang Belum Masak Tetapi Sudah Dipetik
Posted by Unknown on 23 Februari 2014 | 0 komen pembaca
Oleh: Luqman Emran
Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan suatu idea baru yang dilihat mampu membawa nafas yang lebih segar dalam sistem pendidikan di Malaysia. PBS menekankan konsep penilaian murid yang bersifat holistik bagi menggantikan sistem pentaksiran yang berorientasikan peperiksaan. Sistem pentaksiran yang holistik menggabungkan penilaian aspek kognitif, afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani).
PBS yang sedang dilaksanakan ini diharapkan mampu untuk menambahbaik kepada sistem pentaksiran yang telah sedia dilaksana (kerja rumah, projek, kuiz, soal-jawab dan lain-lain) dengan memperkenalkan pentaksiran merujuk standard prestasi dan aplikasi Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) untuk membantu guru merekod pencapaian murid secara berterusan.
PBS juga memberi pengiktirafan dan autonomi kepada kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah. Ini akan dapat meningkatkan integriti dan kredibiliti profesion perguruan kerana guru merupakan orang yang paling sesuai untuk mentaksir murid masing-masing kerana mereka :
-boleh memantau perkembangan murid secara berterusan
-boleh memberi maklum balas yang membina untuk penambahbaikan pembelajaran murid
-lebih memahami konteks yang sesuai dengan persekitaran dan perkembangan murid
-mentaksir dan memberi maklum balas berpandukan standard prestasi
[Diambil daripada laman web Kementerian Pendidikan Malaysia]
Jika dilihat pada maklumat di atas, PBS sepatutnya menjadi suatu sistem pentaksiran baru yang mampu mengatasi masalah-masalah yang ada pada sistem pentaksiran yang berorientasikan peperiksaan. Namun, kebelakangan ini, kedengaran rintihan daripada pihak guru terhadap sistem ini. Ramai guru yang kurang berpuas hati dengan sistem ini khususnya pada kesusahan yang dialami mereka dalam merekodkan pencapaian pelajar secara atas talian.
Artikel ini tidak akan membincangkan tentang kelemahan sistem atas talian tersebut. Akan tetapi, artikel ini akan mengupas TIGA persoalan utama yang sepatutnya dibincangkan secara meluas di peringkat awal sebelum sistem PBS ini dilaksanakan di seluruh Negara.
1. Adakah sebarang needs analysis (analisis keperluan) dibuat sebelum ianya dilaksanakan?
Jika ya, adakah kajian tersebut benar-benar mengambil kira keperluan semua pihak yang terlibat (negara, ibu bapa, guru, pelajar)? Jika semua kehendak itu berjaya dipenuhi, kenapa masih timbul masalah selepas ianya dilaksanakan? Ibarat “rumah sudah siap, pahat masih lagi berbunyi.” Analisis keperluan adalah satu proses yang berterusan dan sistematik yang dilakukan bagi mendapatkan data dan maklumat sebelum satu-satu organisasi itu membuat keputusan bagi membantu mereka meningkatkan prestasi. Dalam hal ini, soal selidik (poll) boleh digunakan oleh kementerian bagi mengumpul data dan maklumat di peringkat akar umbi sebelum satu-satu keputusan dibuat. Jika kita boleh menyediakan poll untuk mengundi artis yang bertanding di Anugerah Berita Harian, mengapa tidak diwujudkan poll yang boleh digunakan sebagai salah satu kayu ukur tentang kesediaan semua pihak yang terlibat dengan SPPBS ini? Sekurang-kurangnya ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah diberi peluang untuk membuat keputusan bagi pelaksanaan satu sistem yang melibatkan pendidikan anak-anak mereka.
2. Adakah sebarang pilot study (kajian rintis) dibuat terlebih dahulu?
Sebelum sistem ini dilaksana secara meluas di sekolah-sekolah seluruh negara? Sebagai contoh di negara-negara maju, sebelum sesuatu sistem itu dilaksanakan, ianya perlu melalui beberapa fasa seperti kajian selama 5 tahun, kemudian sistem itu diuji dalam tempoh 5 tahun dan seterusnya melalui fasa penilaian selama 5 tahun dan akhir sekali analisis penilaian tersebut dibentang di parlimen sebelum sebarang keputusan dibuat. Kita tidak mahukan projek mee segera yang bersifat populis. Sekurang-kurangnya di pihak Kementerian boleh diwujudkan beberapa sekolah angkat yang melaksanakan sistem ini secara berperingkat. Jika ianya mampu dilaksanakan dengan jayanya, barulah pelaksanaan secara holistik dibuat di seluruh negara. Ini tidak, dengan sistem aplikasi yang kurang mesra pengguna, ditambah pula sentiasa dan masih lagi tergendala, tekanan daripada PPD kepada pihak pengurusan sekolah, akhirnya bebanan itu diletakkan di atas bahu guru-guru yang memang sedia terbeban dengan bermacam lagi sistem aplikasi KPM yang masih setahun jagung. Bagaimana penjaminan kualiti PBS dapat dilaksanakan? Sejauh mana SPPBS ini mampu untuk meningkatkan integriti dan kredibiliti profesion perguruan? Di saat tekanan datang bertimpa-timpa, silibus yang ada perlu dihabiskan mengikut masanya, pelajar yang tidak hadir perlu dikejar segera, dengan sistem aplikasi yang tergendala entah sampai bila, akhirnya guru mengambil jalan keluar dengan mengisi prestasi pelajar secara semberono dalam sistem aplikasi, malahan ada juga yang terus memberi jawapan skema kepada pelajar bagi membolehkan mereka memperoleh band minimum yang telah ditetapkan. Habis cerita. Adakah ini kualiti sistem pendidikan yang kita mahukan? Jika guru sendiri kencing berdiri, masakan pelik jika murid kencing berlari?
3. Adakah sebarang penerangan yang dibuat secara meluas bagi pelaksanaan sistem ini kepada semua pihak?
Dewasa ini sudah banyak rancangan talkshow yang dipaparkan oleh kebanyakan stesen tv, yang sentiasa mengundang pelbagai jenis menteri, membincangkan isu sana dan sini. Namun, isu pendidikan ini sering dianggap terlalu ‘skema’ untuk dibincangkan di kaca tv, berbanding isu yang boleh memberi rating yang tinggi. Bukankah negara kita kini sedang giat berusaha menghasilkan modal insan yang bertaraf dunia? Oleh itu, apakah salah untuk perbincangan ilmiah tentang keburukan dan kebaikan SPPBS ini diambil tahu oleh semua pihak? Setidak-tidaknya apabila berlaku masalah di kemudian hari, semua pihak sudah bersedia untuk menghadapi.
Kita sudah penat dengan polisi yang berbeza mengikut menteri yang berbeza. Ya, masing-masing mahu berjasa. Tapi seandainya ketiga-tiga ciri di atas dapat dipenuhi sebelum dilaksana sesuatu polisi, maka rakyat di peringkat bawahan akan terima dengan besar hati.
Artikel ini bukan bertujuan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, cukuplah ianya membuatkan kita berfikir sejenak tentang betapa pentingnya sistem pendidikan ini kepada negara kesayangan kita Malaysia.
*Penulis merupakan ahli Gabungan Profesional Johor
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**
0 komen pembaca for "PBS : Ibarat Buah Yang Belum Masak Tetapi Sudah Dipetik"
Leave a reply