Banjir Kilat Kerap Berlaku
Posted by Unknown on 17 Oktober 2012 | 0 komen pembaca
KLUANG - Masalah banjir kilat di kawasan simpang empat berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Mersing-Kluang semakin menjadi-jadi terutama ketika hujan lebat tanpa henti selama satu jam.
Kelmarin, kawasan tersebut dilanda banjir kilat sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya dan kenderaan tidak boleh melalui jalan utama untuk ke kawasan Taman Majupadu.
Yang Dipertua PAS Kawasan Kluang, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, kejadian banjir kilat yang berlaku kira-kira jam 4 petang kelmarin, telah menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan Jalan Mersing-Kluang.
“Sewaktu hujan lebat semalam (kelmarin) saya mendapat aduan daripada penduduk di kawasan berkenaan dan apabila sampai di lokasi, keadaan di sana sesak dengan kenderaan yang terpaksa mengharungi limpahan air di jalan raya.
“Malah, ada juga kenderaan yang terpaksa ditarik keluar daripada kawasan takungan air kerana alirannya yang sangat deras,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Khairul Faizi berkata, hujan lebat itu menyebabkan air longkang tidak mampu mengalir dengan baik sehingga melimpah ke atas jalan.
Jelasnya, masalah banjir kilat di kawasan tersebut sudah banyak kali berlaku namun, tiada tindakan daripada pihak bertanggungjawab meskipun aduan telah dibuat.
“Masalah ini boleh diselesaikan jika longkang di kawasan tersebut diperbesarkan bagi memudahkan air mengalir terus ke sungai. Sepatutnya ia sudah lama dijalankan kerana pada masa ini kawasan tersebut sedang membangun.
“Walau bagaimanapun, dalam masa yang terdekat ini saya akan menyerahkan satu laporan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung masalah banjir kilat yang berlaku di daerah ini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**
0 komen pembaca for "Banjir Kilat Kerap Berlaku"
Leave a reply