Mazlan: Situasi di Felda Tenat. Apa Tindakan Kerajaan?
Posted by Unknown on 12 Oktober 2012 | 0 komen pembaca
Oleh: Mazlan Aliman
Sidang Media ANAK telah diadakan di Parlimen tengahari semalam. Turut hadir, YB Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS, Dato' Seri Abd Rahman Maidin, Pengerusi NGO Peduli Rakyat dan pimpinan ANAK negeri-negeri.
Antara isu penting yang saya dedahkan:-
1. Penyingkiran Pengarah Jabatan Kewangan, Hanif Ahmad, Pengarah Jabatan Tanah, Syeikh Hadi Syeikh Omar dan Pengarah Jabatan Sumber Manusia, A. Karim Ahmad. Ini adalah jabatan terpenting di Felda. Kesemua mereka ditukarkan ke Unit Gedung Makanan yang ketika ini operasinya hidup segan mati tak mau. Bayangkan pengarah-pengarah profesional ini berjawatan Gred Jusa C ditugaskan menjadi gembala lembu dan kerbau!
2. Antara yang turut ditukarkan ialah Pengurus Besar Wilayah Raja Alias, Izham, Penolong Pengarah Jabatan Komuniti, Pn Hamimah dan Pegawai Kewangan, Pn Mastura. Fasa 2 rombakan bakal melibatkan hampir 20 orang lagi Pegawai Kanan akan dilakukan tidak berapa lama lagi.
3. Ketidakstabilan saham FGVH telah membawa kesan yang banyak. Antaranya aduan kakitangan Felda yang diarah membuat pinjaman saham tetapi bila nak jual rugi. Peneroka Felda masih menerima surat arahan bayar pinjaman 800 unit saham daripada bank, meskipun kononnya ada disediakan skim bayaran RM 50 sebulan.
4. FGVH berdepan masalah besar untuk membayar RM 257 juta kepada Felda seperti dalam perjanjian ekoran kejatuhan harga komoditi. Harga Minyak Sawit Mentah(MSM) tinggal RM 2,300 setan metrik berbanding pernah mencapai RM 3,200 sebelum ini. Jika FGVH gagal membayar Felda seperti yang dijanjikan, pendapatan Felda akan terus jatuh. Ini semakin menyukarkan perlaksanaan projek dan aktiviti di Felda sebagaimana bajet Felda yang di unjurkan sebelum ini.
5. Harga komoditi sawit semakin merudum seiring dengan kejatuhan saham FGVH. Di sesetengah tempat hanya tinggal RM 300 setan berbanding RM 850 setan waktu pilihanraya 2008. Pendapatan peneroka menjunam 70% dimana waktu ini baki setelah tolak potongan hanya tinggal antara RM700-1,500 sahaja. Kenapa harga sawit jatuh dengan begitu mendadak?
Ia juga berkait dengan harga getah yg juga jatuh teruk, sesi tanam semula Risda yg bermasalah dan pokok-pokok getah yang tidak lagi mengeluarkan susu yang banyak seperti dulu. Pokok-pokok getah seperti berpenyakit. Ini aduan dari penoreh-penoreh getah.
Apa perancangan Kerajaan di saat kritikal seperti ini?
ANAK akan menemui Kementerian terbabit dalam waktu terdekat untuk mendapat penjelasan mengenai situasi yang meresahkan peneroka Felda dan pekebun kecil sawit dan getah seluruh negara.
6. Datuk Ahmad Maslan beria-ia menafikan Genting Berhad ada membeli 407,005,000 unit saham dalam FGVH. Satu sen pun tidak ada, kata beliau. Saya telah mengedarkan kepada para wartawan salinan dari papan utama Bursa Malaysia yang dikeluarkan Bloomberg Peers mengenai pembelian saham FGVH oleh Genting Berhad. Pihak Genting sehingga hari ini tidak membuat apa-apa penjelasan mengenainya. Sejak bila Ahmad Maslan jadi jurucakap Genting?
P/S: Maklumat terkini seramai 42 orang Pengurus Ladang Felda Plantation yang ketika ini diambilalih FGVH tidak lagi disambung perkhidmatan mereka. Sebahagian besar mereka telah berkhidmat lebih 30 tahun dan bergaji tidak lebih RM 6 ribu sebulan. FGVH telah membawa masuk Penolong Pengurus di Golden Hope dan Sime Darby sebagai Pengurus Ladang FGVH dengan gaji permulaan RM 7,500 sebulan.
Mangsa terbaru kesan penyenaraian FGVH!
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**






0 komen pembaca for "Mazlan: Situasi di Felda Tenat. Apa Tindakan Kerajaan?"
Leave a reply