Projek Rapid: Pas Tidak Tolak Pembangunan
Posted by Unknown on 15 Oktober 2012 | 0 komen pembaca
Oleh:
HASLINA KAMALUDIN, ARHIZA AHMAD
Foto: AZMI ARYANTO
Tarikh: October 15, 2012
Foto: AZMI ARYANTO
Tarikh: October 15, 2012
BARU-BARU ini Ketua PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng memberitahu pakatan
pembangkang akan memansuhkan Projek Petrokimia Bersepadu (Rapid) di
Pengerang, Johor jika mereka dapat membentuk Kerajaan Pusat. Menurutnya,
projek itu tidak memanfaatkan ramai orang dan merosakkan alam sekitar.
Namun berbeza pula pendapat Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang
mengatakan projek tersebut tidak boleh ditolak asalkan mengambil kira
kepentingan rakyat. Wartawan HASLINA KAMALUDIN, ARHIZA AHMAD dan
jurufoto, AZMI ARYANTO bertemu pemimpin yang disebut-sebut akan dilantik
sebagai Menteri Besar Johor sekiranya Pakatan Rakyat menguasai negeri
itu bagi mendapatkanpandangan mengenai isu ini.
Mengapa Pas dan PKR bercanggah pendapat mengenai isu Rapid di Pengerang?
Pas tidak pernah menolak pembangunan (Rapid Pengerang) asalkan ia
mengambil kira kepentingan, masa depan dan juga sumber pendapatan
penduduk. Pas dan PKR tidak bertentangan daripada segi prinsip. Sama ada
ia akan dikekalkan atau dipindahkan ke tempat lain, perkara itu masih
lagi fleksibel. Tetapi mengambil tanah hampir 10 kampung, kami memang
tidak bersetuju. Asasnya, jangan diambil tanah rakyat itu. Pembangunan
boleh dibuat di mana-mana pun di negara ini asalkan boleh memberi
manfaat kepada rakyat, bukan menyusahkan mereka.
Apakah kelebihan dan kekurangan projek mega ini bagi Pas?
Kelebihan projek ini ialah ia akan menggalakkan lagi pelaburan di
negeri Johor. Rapid boleh membangunkan industri hab minyak dan gas di
negara ini. Itu tidak menjadi masalah sebagaimana di Bintulu, Kerteh dan
Paka. Perkara itu tidak kami persoalkan. Saya mendapat maklumat
secukupnya, tidak pernah lagi berlaku sejarah Petronas membangunkan
industri mereka di atas perkampungan tradisi rakyat. Saya membuat
semakan di Paka dan Kerteh, ada melibatkan sedikit pengambilan tanah
kebun kelapa, tetapi bukan penempatan atau kampung tradisi. Kalau
begitulah rekod Petronas, kita mahu tahu siapa yang membuat keputusan
hampir 10 kampung mahu diambil. Itulah isunya.
Bagaimana pula dengan standard piawaian pembangunan projek tersebut?
Mengikut standard piawaian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)
tentang industri minyak dan gas, tidak boleh mengambil tanah atau
perkampungan tradisi. Itu tidak akan berlaku. Perkara ini perlu jelas.
Memberi manfaat dan pelaburan di negeri Johor, itu kita tidak tolak
tetapi jangan sesekali mengambil tanah perkampungan di kawasan Pengerang
itu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menyebut isu
Rapid Pengerang sengaja dipolitikkan selepas isu Lynas mula diterima
rakyat, adakah benar?
Rapid Pengerang dan Lynas adalah dua isu yang berbeza. Lynas melibatkan
isu alam sekitar yang memang difahami dan menimbulkan satu kontroversi
cukup besar impaknya bagi negara kita termasuk masyarakat antarabangsa.
Berbeza dengan isu di Pengerang, tidak boleh disamakan dengan Lynas.
Beliau (Muhyiddin) perlu berfikir pada tahap seorang Timbalan Perdana
Menteri dan mungkin bakal Perdana Menteri. Seharusnya beliau melihat isu
tersebut sebagai isu rakyat. Kita tidak bermaksud untuk mempolitikkan
apa-apa isu bagi kepentingan mana-mana pihak. Contohnya, jika saya tidak
dituduh mempolitikkan isu itu dan bertanding di Pengerang, adakah saya
ada jaminan menang? Jika ada pemimpin hanya berjuang di atas dasar untuk
mendapatkan habuan dan kepentingan politik, mereka perlu ingat bahawa
pemimpin datang dan pergi.
Apakah ini kerana YB disebut-sebut sebagai Menteri Besar Johor jika pembangkang menang di negeri itu?
Pilihan raya akan datang belum tentu saya berada di Parlimen atau Dun
(Dewan Undangan Negeri) dengan menjawat apa-apa jawatan dalam parti.
Kebangkitan rakyat adalah memperjuangkan hak mereka sama ada di
Pengerang atau di mana-mana sahaja. Saya tampil hari ini di Johor untuk
memberikan sedikit sumbangan terhadap isu ini dan paling panas apabila
saya terlibat secara serius dengan Jawatankuasa Majlis Tugas-tugas Khas
berkenaan pengambilan tanah di Pengerang yang dipanggil 'Mantap' adalah
semata-mata untuk manfaat rakyat. Manfaat itu bukan untuk saya.
Sebaliknya, Tan Sri Muhyiddin terus mendendangkan lagu lama. Saya rasa
dimensi pemikiran beliau harus berubah dengan melihat apa juga yang
berlaku ini, rakyat harus mendapat manfaat daripada mana-mana
pembangunan yang didirikan di dalam negara kita. Apabila saya membuat
keputusan untuk balik dan bertanding di Johor pada kali ini, tidak
timbul isu siapa mahu jadi menteri besar. Isu itu hanya disensasikan
media. Kami masih belum berbincang siapa akan menjadi menteri besar.
Adakah saya atau sesiapapun akan menerajui PR di Johor, perbincangan
kami buat masa ini adalah bersedia untuk bertanding di negeri kelahiran
saya.
Sudah sampai masanya saya bersama rakan-rakan PR dapat melihat Johor
hari ini adalah satu gelanggang politik yang menarik dan meyakinkan
untuk berlaku satu perubahan. Kerana itu, saya rasakan tanggungjawab
untuk kembali ke Johor. Dengan amanah sebagai Naib Presiden Pas paling
kanan, sudah tiba masanya saya memberi dan menunjukkan pengorbanan untuk
bersama-sama dengan kepimpinan PR di Johor bagi mencipta sejarah baru.
Itulah niat saya. Siapa menteri besar, apa jawatan yang diberikan itu
cerita kemudian selepas pilihan raya nanti.
Adakah perbezaan pendapat antara Pas dan PKR akan jejaskan PR Johor?
Pembangunan yang lestari dan memberi manfaat kepada rakyat itu tidak
pernah dipertikaikan. Isu Lynas jelas mendapat tentangan kerana
melibatkan isu alam sekitar yang serius. Isu Pengerang pula melibatkan
pengambilan tanah kampung tradisi jelas menjadi prinsip asas dalam kami
memberikan pandangan.
Tetapi untuk pembangunan, ia tidak ada masalah bagi mana-mana kerajaan.
Isu berbeza daripada segi kita menangani perkara-perkara yang saya
lihat daripada segi pendekatan sama ada lokasi pembangunan tersebut. Itu
bukan percanggahan dari segi prinsip. Kita bersandarkan pemahaman
bersama iaitu kelestarian pembangunan itu tidak bercanggah di mana
'jangan diambil tanah itu' adalah asas bersama.
Yang lain, mungkin kita boleh berbeza pandangan. Itu perkara biasa di
dalam mana-mana parti menilai tentang mana-mana projek yang dirasakan
sangat memberi impak kepada masa depan rakyat.
Adakah PR yakin dapat menawan negeri yang dilabel sebagai kubu kuat Umno dan Barisan Nasional?
Pertamanya, apabila kita berani bertanding di kubu musuh, itulah nilai
kita. Tak akan selamanya saya bertanding di tempat yang selesa. Sebelum
ini, saya bertanding di Kelantan sebagai Ketua Pemuda Pas kerana parti
merasakan saya perlu berada di Parlimen memandangkan pada masa sama,
agak sukar untuk kita meraih kemenangan di Johor. Saya ambil peluang itu
sebaiknya untuk menimba pengalaman di dalam dan luar Parlimen untuk
menjadi wakil rakyat. Sepanjang dua penggal, sedikit sebanyak saya
belajar dan seharusnya pengalaman itu dibawa ke Johor.
Ada pihak berpandangan YB begitu asing di Johor, bagaimana YB mahu membiasakan dengan keadaan itu?
Untuk pengetahuan, saya memulakan kerjaya saya di Johor pada tahun
1981. Sudah 30 tahun saya bersama Pas. Saya memegang jawatan pertama
saya di Pontian, Johor sebagai Ketua Pemuda Pas kawasan Pontian. 10
tahun saya memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda Pas Johor bermula 1989
hingga 1999. Daripada situlah, satu asas saya naik hingga menjadi Ketua
Pemuda Pas Pusat. Jadi, saya tidak asing daripada segi komitmen di
Johor.
Cuma saya dianggap terpisah kerana saya menjadi Ahli Parlimen Kubang
Kerian. Saya tidak nampak apa yang pelik atau terasing untuk balik ke
Johor kerana di situ merupakan gelanggang yang sangat dinamik dan
meyakinkan untuk hadir bagi melakukan sesuatu.
Ada dakwaan mengatakan wujud dua team di Johor sejak nama YB dikaitkan dengan jawatan menteri besar. Benarkah dakwaan itu?
Saya tidak pernah mendengar wujud team A atau team B. Saya diminta oleh
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfuz Mohamad dengan persetujuan
mesyuarat Badan Perhubungan Pas Johor dan juga kesepakatan PR Johor
untuk mereka berjumpa saya lebih kurang setahun lalu bagi membincangkan
perkara ini. Saya rasa tidak ada apa-apa agenda untuk saya balik ke
Johor untuk berpolitik atau untuk mengecewakan mana-mana pihak.
Saya juga diminta pesuruhjaya sendiri dan rakan-rakan PR Johor seperti
Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau dan Ketua PKR Johor, Datuk Chua
Jui Meng untuk bersama-sama rakyat Johor pada kali ini.
YB sanggup meninggalkan kerusi selesa di Kubang Kerian dan menghadapi risiko di Johor?
Saya tidak ada apa-apa masalah untuk terus bertanding di Kelantan. Saya
selesa bertanding di sana. Pas Pusat sendiri memutuskan pada tahun lalu
untuk saya terus kekal di Kelantan. Malahan selepas Allahyarhamah Dr
Lo'Lo meninggal dunia, Pas kawasan Titiwangsa telah meminang saya untuk
bertanding di kawasan tersebut.
Namun selepas berfikir panjang, inilah masanya untuk saya memberikan
komitmen tinggi terhadap perkembangan yang baik di Johor serta bersama
rakan-rakan di sana. Kalau saya fikir tentang keselesaan dan mahu
mengekalkan elaun serta kehidupan yang agak terjamin dengan tempat yang
pasti menang, itu juga saya boleh buat keputusan.
Tapi saya fikir, saya mahu balik ke Johor walaupun risikonya cukup
tinggi. Yang penting, kita akan buat satu perubahan di Johor.
YB akan bertanding di Parlimen atau Dun?
Buat masa ini, saya boleh bertanding di mana-mana. Saya boleh memilih
sama ada di Parlimen atau Dun atau kemungkinan untuk bertanding
kedua-duanya. Tiada apa-apa masalah untuk saya.
Apakah modal terbaik untuk menawan Johor?
Saya rasa kita harus menerokai satu sejarah baru di Johor kerana tidak
mungkin PR akan sampai ke Putrajaya tanpa negeri itu. Johor, Sabah dan
Sarawak dianggap sebagai negeri 'deposit tetap' oleh Barisan Nasional
sehingga hari ini. Mereka cukup selesa di tiga negeri itu.
Namun gelanggang politik di Johor telah berubah dan saya sudah faham
dengan senario politik di sana kerana saya orang sana dan memulakan
kerjaya saya di sana sejak 30 tahun lalu. Jadi apabila ada perubahan
politik, saya nampak sinar yang sangat cerah untuk berlaku. Jadi penting
bagi saya menjanjikan sesuatu kepada politik khususnya kepada rakyat
Johor. Tanpa ada satu perubahan landskap politik di Johor itu saya rasa
sukar untuk PR melangkah ke Putrajaya. Tapi Johor mesti menyumbang
sebilangan kerusi Parlimen untuk kita sampai ke Putrajaya.
Dengan keadaan semasa, keyakinan Pas untuk tawan Putrajaya?
Saya punya suatu iltizam bahawa berdasarkan kepada senario politik yang
berlaku pada ketika ini. PR mampu memberikan dan meletakkan posisi
dirinya kepada suatu tahap di mana rakyat sudah boleh menerima kehadiran
PR. Saya tidak menyatakan kita sudah sampai kepada negara yang
benar-benar wujud sistem dua parti. Tapi saya melihat, inilah satu era
di mana rakyat Malaysia bersedia ke arah itu. Dulu mereka tiada suatu
keyakinan untuk pilih kerana tiada satu komponen yang benar-benar boleh
bersaing dengan BN.
Tapi berdasarkan kepada senario selepas PRU12, apabila kita serius
menubuhkan PR, rakyat dilihat sudah ada pilihan hari ini. Sama ada
mereka mahu terus memberikan keyakinan terhadap BN ataupun mereka nampak
satu komponen lagi iaitu PR yang dari segi kepimpinan, kredibiliti dan
integriti, rakyat boleh memberikan harapan untuk berlaku satu pasukan
baru dalam politik negara kita menjelang PRU13.
Bagaimana Pas menangani krisis dalaman atau membabitkan rakan komponen dalam pakatan pembangkang khususnya DAP?
Pas sebuah parti yang sangat berpengalaman kerana pemimpin boleh datang
dan pergi. Tetapi parti tidak terjejas. Pas pernah kehilangan orang
nombor satu, presidennya, timbalannya, naibnya, setiausaha agungnya. Ini
sejarah yang pernah dilalui. Jadi, Pas tidak tersentuh dengan hal-hal
seperti ini. Nak datang dengan seribu kehendak, sama dengan parti mereka
akan diberikan tempat dan kepercayaan. Nak pergi, pergilah. Parti tidak
rugi apa-apa. Yang rugi adalah individu yang datang dan pergi itu. Jadi
bagi saya, apa yang berlaku ini, Pas belajar daripada sejarah.
Allahyarham Datuk Asri Muda pernah meninggalkan Pas. Datuk Nakhaei
Ahmad juga. Bukan dari jawatan yang kecil termasuklah Datuk Dr Hasan
Mohamed Ali. Riuhlah seminggu dua, tetapi Pas tidak goyah dengan mereka
ini. Bagi saya, apa yang penting, rekod kita. Amanah yang diberikan itu
yakin atau tidak. Yang penting adalah, Pas terus melangkah ke hadapan
walaupun datang ujian sepanjang perjalanan.
Selama saya bersama Pas, saya melihat Pas tidak akan terjejas atau
tergugat dengan isu kecil begini. Ada beberapa isu tidak perlu dijawab
oleh parti kerana pandangan tersebut lahir daripada pandangan individu
sendiri, di mana suatu ketika dulu pernah berada di tempat pemenang
utama parti. Tiba-tiba apabila tiada di posisi itu, dan mengatakan
perkara yang lain. Sebab itu, Pas berpengalaman menghadapi orang-orang
seperti ini. Dewan tertinggi dalam parti adalah Majlis Syura yang
sentiasa mengawal parti dan memastikan parti tidak tergelincir atau
tersasar daripada perjuangan asal.
Selagi mana Majlis Syura yang mana saya antara pimpinan tertinggi hari
ini dalam badan eksekutif, tidak menerima apa-apa syarat daripada Majlis
Syura, saya tidak bimbang. Selagi Majlis Syura terus memberi keizinan
untuk kita melakukan tahaluf siyasi (keputusan politik pada hari ini),
maka kita akan terus laksanakan. Pandangan individu boleh diberikan
tetapi yang menentukan ianya boleh atau tidak, hanya Majlis Syura. Kita
hanya boleh memberi penerangan kepada seluruh ahli.
Apa komen YB terhadap bekas Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa yang sering memberi kenyataan berbeza?
Majlis Syura sudah memanggil beliau bulan lalu. Beliau hadir pada
mesyuarat itu. Segala keputusan tidak boleh dibuat oleh individu
sebaliknya biarlah parti yang menentukan. Jika mahu berbeza pandangan,
perlu melalui saluran parti yang boleh digunakan. Walaupun hak dan suara
adalah hak individu. Jika melanggar disiplin, hadapilah risikonya.
Walaupun tidak ada arahan bertulis, namun sebagai anggota parti, mereka
harus faham.
Sumber: Sinar Harian
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**
0 komen pembaca for "Projek Rapid: Pas Tidak Tolak Pembangunan"
Leave a reply