Remaja ditelanjangkan
Posted by Unknown on 15 Ogos 2011 | 0 komen pembaca
Telanjang dalam kamus dewan edisi tiga
bermaksud ‘tidak tertutup tubuhnya dengan pakaian’ atau dengan maksud lain ‘terdedah, terbuka dan tidak bertutup’. Perkara ini berlaku pada diri remaja di zaman ini dengan membentuk satu budaya atau gejala negatif. Sasarannya adalah golongan remaja yang mentah pemikiran atau masih belum matang dalam penilaian. Gejala ini tidak pernah surut dan setiap zaman pasti akan ada perawinya yang menyambung akan kesinambungannya.
Terdedah, terbuka dan tidak tertutup, itulah pakaian moden yang terpamer ditubuh-tubuh remaja hari ini. Di bandar Johor Bahru saja, terdapat berbagai-bagai jenis fesyen yang pelik-pelik menampungi minda si peraga khususnya remaja. Orang Johor Bahru mana yang tidak kenal Stulang ‘The Zone’, orang Johor Bahru mana yang tidak kenal Permas Jaya, siapa orang Johor Bahru yang tak pernah mendengar nama New York Hotel dan Taman Sentosa. Seluruh kawasan-kawasan tersebut cubalah datang pada Jumaat malam Sabtu atau Sabtu malam Ahad, maka kita akan temui kerosakan yang melampau pada sosio kehidupan remaja. Kalau hendak dihitungkan mengenai majoriti kaum, ternyatalah kaum melayu yang menguasai.
Gejala tidak bermoral yang menghantui pemikiran manusia di Malaysia khususnya di Johor ini mulai ketara. Remaja wanita, tidak lagi menjadi segan untuk berpakaian yang mencolok mata. Remaja lelaki pula diasuh untuk menjadi pemerhati yang sentiasa berpaksi kepada nafsu semata. Namun baik ianya busuk mahupun pahit untuk ditelan, kita sebagai masyarakat umum terpaksa terima ianya adalah keseimbangan zaman moden. Tetapi persoalannya, adakah ini yang ditawarkan untuk manusia menjadi moden?
Mengapa saya sebutkan tempat-tempat sedemikian di atas tadi? Jika kita ingin melihat remaja ‘ditelanjangkan’ cubalah kita pergi ke tempat-tempat tersebut. Remaja adalah zaman sebuah pencarian. Remaja perlu didorong untuk menjadi manusia yang berguna baik di sisi masyarakat mahupun di sisi kenegaraan. Apa yang menyebabkan remaja ini hanyut dan terus ditelanjangkan sedemikian? Adakah disebabkan faktor kemodenan yang mendorong mereka ke alam pembogelan sedemikian? Jawapannya pasti tidak!
Baru-baru ini saya telah bertemu dengan seorang remaja wanita yang berkerja di sebuah pusat karaoke di Taman Sentosa, Johor Bahru. Kalau dari sifat azali atau sifat asal remaja tersebut, dapatlah diperhatikan remaja ini tidaklah begitu jahat dan dangkal untuk dijadikan mangsa pembogelan tersebut. Pakaian remaja tersebut usahlah dicakap, memang ranjang. Pakaian bukanlah sebuah ukuran yang tepat untuk menduga jiwa pemberontakan dalaman remaja tersebut. Hal ini benar-benar berlaku. Remaja tersebut terpaksa berkerja di pusat karaoke itu semata-mata untuk mencari rezeki bagi meneruskan hidupnya. Bila ditanya kenapa tidak memilih kerja yang lain maka jawab remaja tersebut kilang dan sektor swasta di Malaysia lebih mengutamakan pendatang asing dari warganegara. Alasan yang diberikan oleh kilang-kilang tersebut begitu banyak dan rumit. Bagi saya alasannya mudah, kerana pendatang asing boleh dibayar dengan gaji yang murah berbeza dengan orang tempatan yakni warganegara.
Bukan sekali saya bertemu dengan mangsa pembogelan zaman ini. Banyak remaja yang ditemui juga mengalami masalah yang sama. Apakah persoalannya seluruh remaja yang hanyut ini telah berpakat untuk memberikan alasan yang sama bila ditanya soalan mengenai ‘mengapa tidak memilih kerja yang lain selain perkerjaan mereka yang meruntuhkan sosial ini?’ Ternyatalah jawapannya tidak.
Mungkin kita boleh mengariskan dan merumuskan dengan menuding secara langsung bahawa remaja-remaja yang hanyut ini memberi jawapan berupa alasan bukan jujur dari masalah sebenar mereka. Baiklah, jadi apa masalah mereka sebenarnya. Masalahnya mudah saja. Masalah mereka itu akarnya adalah jati diri sebagai seorang manusia yang hilang jati diri mereka. Jati diri yang memupuk kebaikan, jati diri yang mengajar erti kesyukuran, jati diri kebenaran, jati diri keadilan. Inilah yang telah hilang dalam jiwa mereka.
Kalau diperhatikan dari tajuk di atas (Remaja ditelanjangkan) mungkin kita tertanya-tanya, siapakah yang menelanjangkan mereka? Jawapannya adalah ‘sistem’. Sistemlah yang melemahkan seluruh jati diri manusia. Sistem yang sedia ada ini memang 90 peratus mengajar kerosakan dan pemupusan jati diri manusia. Perhatikan saja sistem penyiaran, apa yang kita lihat hiburan begitu melampau seolah tidak ada penapisan lagi. Segala aksi ranjang dan segala aksi bogel bebas berluasa di kaca televisyen di rumah.
Perhatikan saja di siaran apa sekalipun, semuanya hanya menayangkan sebuah perwatakan filem ghairah perosak jati diri. Filem yang berunsur jenayah dan samseng begitu mendapat sambutan di negara ini khususnya remaja dan yang paling menakutkan mula merebak kepada pemikiran kanak-kanak. Iklan-iklan ghairah seperti iklan yang menayang aurat demi kecantikan juga adalah pengaruh kepupusan jati diri manusia. Ini berlaku pada zaman hari ini.
Sistem yang seterusnya adalah sistem pendidikan. Sistem pendidikan hari ini terlalu banyak kepincangan khususnya di kalangan guru-guru yang mengajar di sekolah-sekolah. Guru-guru pada hari ini tidak seperti guru pada zaman pasca merdeka. Guru pada zaman tersebut mengajar benar-benar ikhlas. Jika ada seratus anak murid di bawah tanggungannya maka seratus anak murid itu dianggap seperti anaknya sendiri. Ternyata guru pada hari ini lebih mementingkan kedudukan dan gaji sebagai seorang guru semata tanpa ada naluri sebagai seorang pengajar. Mengapa guru-guru pada hari ini menjadi sedemikian rupa? Jawapannya adalah sistem pendidikan kita yang tidak bebas dan telus dalam menjalankan setiap tindakan dan pengurusan mereka.
Sistem pendidikan yang membelakangkan bahasa ibunda Melayu juga adalah punca mengapa remaja melayu hari ini ramai yang tidak berjaya dalam akademi mereka. Ini adalah punca yang besar kesannya. Kanak-kanak hari ini, sudahlah sibuk mencari rumus-rumus untuk menyelesaikan masalah dalam kerja rumah matematik dan sains mereka malah dipeningkan pula dengan masalah mencari maksud dalam bahasa ibunda melayu mereka bagi mengetahui maksud soalan yang dibentangkan pada mereka. Inilah punca yang menyebabkan kanak-kanak melayu menjadi ketinggalan dalam arus pelajaran mereka sekaligus membunuh jati diri pendidikan mereka. Perkara ini berlaku.
Sistem lain yang menjadi akar kerosakan jati diri manusia adalah sistem ekonomi. Tahun 1990 dulu kalau kita dengar seseorang itu gajinya RM 1500.00 pasti kita akan cakap dia seorang yang berkemampuan tinggi. Tetapi tidak di alaf yang baru ini, kalau gaji RM 1500.00 sudah tidak relevan untuk hidup dengan kemampuan yang tinggi. Taraf hidup yang semakin hari semakin menekan ini adalah faktor penyebab perkara ini berlaku. Kalau diperhatikan, kakitangan kerajaan hari ini masih ada yang menerima gaji serendah RM 800.00 gaji pokok sebulan. Apakah ini relevan untuk hidup di zaman kenaikan taraf hidup pada hari ini? Sedangkan seseorang yang menerima gaji RM 1500.00 gaji pokok sebulan pun masih mengeluh untuk benar-benar berbelanja hingga hujung bulan apatah lagi bagi mereka yang menerima RM 800.00 gaji pokok sebulan. Segalanya berpunca hasil daripada kepincangan sistem ekonomi. Kita harus ingat Malaysia adalah negara pengeluar bukan seperti negara Singapura negara pembeli atau pengimpot namun masih boleh memberikan rakyat mereka servis taraf hidup yang stabil.
Sistem selanjutnya adalah sistem pentadbiran. Sistem inilah ketua segala sistem yang ada di tanah air setiap negara di muka bumi ini. Pentadbiran yang pincang dan seolah didalangi oleh satu kuasa lain sehingga membuatkan pentadbiran di negara ini khususnya tidak bergerak secara shumul ataupun secara bebas. Kalau dapat diperhatikan, pentadbiran di negara ini terlalu banyak kepincangan.
Antara kepincangan yang berlaku dalam kerosakan moral remaja di tanah air ini adalah kepincangan dari segi memberi lesen perkerjaan di sektor hiburan tanah air. Garis panduan sebuah negara yang mengamalkan Islam sebagai agama rasmi haruslah menitik beratkan soal perkerjaan umat Islam itu sendiri. Kebanyakan remaja yang berkerja di pusat-pusat hiburan adalah di kalangan warga umat Islam yang berbangsa melayu.
Hal ini menampakkan kesedaran dalam sistem pentadbiran mengenai akhlak umat Islam di Malaysia ini terlalu rapuh. Umat Islam tidak seharusnya dibiarkan berkerja di pusat hiburan yang di mana pusat hiburan tersebut mengamalkan penjualan arak dan menghalalkan zina sebagai sumber pendapatan sampingan mereka. Pentadbiran harus menitik beratkan soal ini. Ini soal peranan remaja yang memancu negara di masa depan.
Hal lain dapat dilihat dalam kepincangan sistem pentadiran adalah berkenaan kelalaian pengurusan pentadbiran itu sendiri. Semakin hari semakin banyak laporan rasuah yang dikemukakan dari berbagai pihak terhadap pengurusan pentadbiran sehinggakan pihak berkuasa polis sendiri pun terpaksa menyarung lencana yang bertulis ‘saya anti rasuah’. Mungkin ada yang berpendapat hal ini tidak ada kena mengena dengan tajuk di atas (Remaja ditelanjangkan). Untuk pengetahuan umum, hal inilah yang menyebabkan remaja ditelanjangkan.
Bayangkan jika perkara rasuah ini berterusan, apakah jati diri seseorang pemimpin oleh dibeli dengan wang ringgit tanpa memikirkan perit jerih rakyat di bawah tanggungannya. Maka jika pemimpin itu boleh dibeli akhirnya rakyat biasa atau marhaen akan dibiarkan dan tidak dihiraukan lagi oleh pemimpin tersebut. Ini kerana pemimpin tersebut lebih asyik memikirkan serta melayani wang ringgit yang ditaburkan kepadanya dari memartabatkan kepentingan sosial rakyat bawahannya. Maka dapatlah kita lihat pada hari ini, pusat-pusat hiburan tumbuh seperti cendawan selepas hujan tanpa menggira akan keburukannya. Hal ini juga akan menyebabkan sistem penyiaran juga turut terbabit sekaligus sistem penyiaran menyebarkan seluruh iklan mahupun filem tanpa tapisan kerana bila-bila masa saja amalan rasuah itu boleh diadakan.
Usahkan kata sistem penyiaran saja yang terbabit, malah seluruh sistem mahupun agensi akan terbabit sama. Baik sistem pendidikan mahupun sistem ekonomi juga akan terbabit sama. Maka kesannya adalah kepupusan jati diri yang digelar sebagai keruntuhan sosial akan berlaku. Pendidikan yang memeningkan, ekonomi dan taraf hidup semakin sempit ditambah pula dengan hiburan yang mengliurkan cukup membuatkan remaja hari ini terus hanyut dengan ditelanjangkan dek zaman yang sebenarnya bukan dipinta oleh kemodenan sebuah zaman.
Hakikat yang kita harus akur adalah penjajahan kapitalis di lubuk minda sistem di negara kita ini. Perkara ini kita harus akui. Kapitalis datang bertujuan untuk mengaut segala keuntungan sesebuah negara tanpa menghiraukan akan risikonya. Di barat, celerbriti-celebriti mahupun artis mereka dijadikan bahan pemasaran golongan kapitalis. Kita harus merujuk semula kepada seluruh aspek atau ruang lingkup kerosakan masyarakat sekeliling kita. Kita sebagai manusia atau masyarakat di bumi Malaysia ini harus memandang lebih dalam sekaligus memikirkan bagaimana caranya mengusir anasir jahat kapitalis tersebut.
Fesyen-fesyen yang mencolok mata bukanlah pilihan zaman moden. Fesyen tersebut sengaja diadakan bertujuan untuk membuatkan manusia menjadi buta dengan kebenaran, kesyukuran, kebaikan dan keadilan. Inilah agenda kapitalis. Korbannya adalah remaja. Anak luar nikah, penzinaan, jenayah, juvana, dadah, hiburan yang melampau dan kesedaran civik yang kurang adalah kesan dari permainan kapitalis yang menguasai sistem pentadbiran ini tadi.
Kalau baca saja diakhbar, berbagai-bagai tajuk yang pelik dapat dilihat pada hari ini. Sehinggakan ada rakan yang mengeluh pada saya dengan berkata ‘menukar isteri di kalangan orang melayu ni dah jadi perkara biasa. Isteri ini apa? Nafsu ke?’ Saya hanya tersenyum. Ternyata bukan sahaja remaja yang ditelanjangkan walaupun majoritinya remaja, tetapi orang yang sudah melepasi remaja juga turut ditelanjangkan.
AMNI JAGAT
14 OGOS 2011
BATU PAHAT JOHOR
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**
0 komen pembaca for "Remaja ditelanjangkan"
Leave a reply