BlogList Malaysia

Selatan Online

Murtad! Jangan salahkan agama lain

Posted by Unknown on 27 September 2011 | 0 komen pembaca


Membaca saja tajuk di atas, pasti umum banyak menimbulkan persoalan ‘adakah penulis ingin membela agama selain agama Islam?’ Jawapnya bukan membela tetapi mencari punca. Punca yang muncul dari pelbagai keadaan. Cuba timbulkan semula soalan tadi tapi ianya diubah sedikit seperti ‘adakah agama selain Islam betul-betul agresif dan aktif untuk mengkafirkan umat Islam di Malaysia?’

Ramai yang bertanya pada penulis berkenaan kes tindakan JAIS terhadap institusi gereja Methodist mengikut laporan baru-baru ini. Secara azalinya adakah salah tindakan JAIS atau adakah salah pula tindakan gereja tersebut menganjurkan majlis berbuka puasa dengan menjemput warga dari kalangan umat Islam? Persoalan dari rakan-rakan itulah yang membuatkan penulis ingin menulis artikel berkenaan isu ini.

Kenapa individu yang beragama Islam itu datang ke gereja Methodist tersebut? Sepatutnya persoalan inilah yang perlu dibangkitkan. Cuba ingati kembali peristiwa yang pernah berlaku suatu ketika dulu, di mana seorang artis ditangkap di kelab malam ‘The Zouk’ oleh JAWI. Pengakhiran peristiwa tersebut disudahi dengan pegampunan maaf terhadap artis berkenaan. Siapa yang menyelamatkan artis tersebut? Ternyatalah yang menyelamatkan itu adalah di kalangan manusia-manusia yang masih memegang jawatan di dalam ‘kabinet menteri’ di Malaysia hari ini. Bukan sekadar itu saja, yang turut berusaha melepaskan artis tersebut juga adalah manusia yang digelar ‘Ustazah Lawa’ yang sibuk dengan kes saman di mahkamah berkenaan pokok kesayangan dengan jiran sebelah rumahnya. Hal ini adalah sejarah hodoh yang pernah berlaku di Malaysia.

Tindakan dari JAIS itu adalah sebahagian tindakan yang luar dari kotak pengetahuan rakyat umum. Samalah juga perkara yang dilakukan JAWI suatu ketika dulu. Sama ada benar atau salah tindakan mereka, kita bukanlah orang yang terbaik untuk menghitungnya kerana kita tidak berada di tempat kejadian. Jika ianya dilakukan dengan sebab konspirasi, juga kita bukanlah penghukumnya.

Seperti tajuk di atas tadi, persoalan ‘siapa’ yang sebenarnya bertanggungjawab memurtadkan umat Islam di Malaysia ini? adalah rencah makalah ini dihasilkan. Berbalik semula mencari punca sebenar apa yang telah berlaku. Siapa yang sebenarnya mendorong umat Islam di Malaysia ini untuk murtad? Ada beberapa faktor yang sebenarnya menghantui kotak pemikiran masyarakat atau umat Islam di Malaysia ini.

Faktor yang pertama adalah kecelaruan. Kecelaruan ini timbul apabila sesuatu budaya suci dicampuradukan dengan suatu budaya yang lain (bukan berlandaskan kesucian). Hal ini terang disebutkan dalam Surah Al – Baqarah ayat 42 yang berbunyi ‘Dan janganlah kamu campurkan kebenaran itu dengan kebatilan (kepalsuan) dan (jangan) kamu sembunyikan kebenaran itu sedang kamu mengetahuinya’. Firman ini boleh ditafsirkan sebagai firman yang berbentuk penegasan dari Allah kepada umat Islam. Allah melarang sama sekali untuk kita campurkan antara kebenaran dengan kebatilan yakni kepalsuan. Kesan dari percampuran (antara kebenaran dengan kepalsuan) inilah yang menyebabkan umat Islam menjadi celaru dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

Dalam Surah Al – Baqarah itu juga, Allah menyebutkan jangan menyembunyikan kebenaran itu sedangkan kamu mengetahuinya. Cara penerangan bukan terletak pada tutur bicara di bibir semata. Penerangan juga boleh dilakukan dengan piagam perbuatan atau akhlak. Sesuatu perlakukan atau perbuatan yang baik pasti akan diikuti oleh golongan lain dengan melakukan perkara yang sama yakni kebaikan. Hal ini terang apabila Islam di bumi barat pada hari ini mulai mendapat sambutan yang meluas di kalangan penduduknya kerana kesan kebaikan yang ditonjolkan melalui sirah berjaya menambat hati orang-orang bukan Islam di sana.

Hakikat di Malaysia hari ini, Islam semakin lama semakin malap. Kecelaruan yang membuatkan Islam itu malap di hati para penganutnya. Tindakan segolongan penguatkuasa agama dilihat seperti acuh tidak acuh dalam kes mempertahankan akidah di hati umat Islam di Malaysia ini. Oleh disebabkan itu, tindakan penguatkuasa agama di negara ini sentiasa dipertikaikan oleh sebahagian pihak. Contoh yang terbaik, kedai nombor ekor atau kedai judi. Judi pada hari ini juga ada dua kategorinya di Malaysia yakni haram dan halal, sah dan tidak sah. Samalah juga boleh dilihat melalui penguatkuasaan mencegah dari umat Islam melayari kelab-kelab malam di seluruh Malaysia. Kecelaruan ini berlaku apabila pihak atasan penguatkuasa agama tidak sedar dengan kerosakan ini. Justeru itu kerosakan inilah yang membuatkan umat Islam di negara ini tidak peka dengan hukum dan sekaligus mereka akan terjebak dengan wadah-wadah kesesatan yang pasti akan memberi impak murtad sebagai kesan yang terakhir. Bila sudah celaru, Islam akan dilihat seperti lesu dan tidak mampu untuk memberi ‘para pelaku kerosakan’ itu kepuasan.

Faktor yang kedua adalah hidangan liur kemaksiatan berluasa. Baru-baru ini kerajaan telah membenarkan seorang artis ‘gay’ Adam Lambert untuk membuatkan konsert di Malaysia. Bila sesuatu perkara yang salah di sisi Islam dilakukan secara terang-terangan maka akan menjadi ‘kebiasaan’ di kotak minda manusia atau individu ramai yang cetek dalam ilmu agama. Sejak konsert itu dilangsungkan dengan jayanya, kita dapat saksikan di dada akhbar-akhbar utama di mana terdapat pergaulan seks di luar tabi’i secara berluasa. Sehinggakan umum mengetahui di Malaysia pada hari ini sudah ada persatuan dan kelab gay yang bergerak secara sembunyi. Hal ini juga membimbangkan seluruh masyarakat terutamanya umat Islam di Malaysia ini. Mereka (kelab gay Malaysia) dengan berani mengadakan satu laman sosial Facebook yang bertajuk Kelab Gay Malaysia. Namun sehingga hari ini tidak ada pencegahan dilakukan.

Kenapa saya berkata tidak ada pencengahan? Sebabnya, filem-filem berbentuk hubungan sejenis ini bersepah kalau dilihat di kaca televisyen rumah kita. Contoh filem ...Dalam botol. Filem ini berjaya dan telahpun memasuki panggung wayang di seluruh negara. Apakah tidak ada tindakan yang dilakukan bagi mencegah wabak ini? Dapat ditonton juga filem-filem yang berbentuk membela golongan mak nyah di kaca televisyen. Drama serta filem ini bersepah di setiap waktu perdana di kaca televisyen di rumah. Bila sebut saja berkenaan di rumah, yang menonton pastinya ahli keluarga. Dan bila sebut saja mengenai ahli keluarga ianya pasti mengaitkan ‘bapa, ibu dan anak atau sebaliknya’. Inilah realiti yang harus ditempuhi oleh masyarakat atau penduduk di Malaysia pada waktu ini.

Antara contoh lain pula yang dapat dilihat adalah penapisan penyiaran di Malaysia. Hari ini filem-filem berbentuk seks terlalu meliurkan makin mendapat tempat di hati penonton di negara ini. Aksi ranjang, pakaian seksi, eksploitasi wanita dan berbagai lagi cernaan seks ini berluasa dan bersepah. Semua perkara ini membuatkan seluruh ahli keluarga atau individu yang melihat merasa terliur dan akhirnya mereka turut serta ingin mencuba. Akibat ketelanjuran itu, mereka secara langsung menyesal dan akibat tidak ada ilmu Islam yang tinggi mereka secara langsung bertindak untuk keluar dari agama Islam kerana bagi mereka agama Islam melarang untuk melakukan zina atau kerosakan lain yang disebut tadi.

Kekuatan Islam terletak pada akidah. Bagaimana seseorang itu boleh dikatakan warak jika pakaian sikapnya tidak melambangkan ciri-ciri yang dituntut wajib oleh Islam. Jika pemimpin itu seorang pemimpin Islam, maka dia hendaklah menjalankan segala sistem atau perbuatan dengan berlunaskan Al-Quran dan As-Sunnah seperti yang dituntuti Allah. Perkara ini tidak berlaku di Malaysia. Seluruh agensi penguatkuasaan agama juga seperti terbatas untuk membuat tindakan kerana sesetengah individu yang ditangkap atas kesalahan agama bukan beralasan bahawa mereka yang bersalah tetapi hakikatnya disebabkan kecetekan ilmu agama. Terkadang ada pula individu yang ditangkap dilindungi oleh seseorang yang mempunyai kuasa di negara ini. Contohnya seperti kes artis yang ditangkap di kelab malam The Zouk. Seluruh menteri wanita memberi respon agar tindakan yang dilakukan terhadap artis tersebut perlulah dimaafkan. Hanya berlesenkan ianya seorang artis maka perkara ini harus diselesaikan dengan cara ‘lain’.

Diskriminasi ini berlaku. Ada juga di antara artis yang berani dengan secara terbuka menghina isteri Rasulullah dan diri Rasulullah sendiri. Namun sehingga hari ini dapat kita lihat masih ada lagi wajah-wajahnya berlakon dalam drama yang terbaru. Sepatutnya penghinaan itu harus dibalas dengan pengharaman secara terus menerus bukan setakat berbulan-bulan sahaja. Kesedaran mengenai ilmu Islam semakin pudar atau malap di Malaysia. Habuan kerosakkan yang ditayang berulang-ulang inilah yang membuatkan seluruh penonton di kalangan umat Islam menjadi terliur dan keinginan melakukan kerosakkan yang sama tanpa memikirkan kesan negatifnya. Bila akidah rosak maka dengan mudah mereka boleh membelakangkan agama yang selama ini mereka anuti.

Faktor yang ketiga adalah faktor kurangnya hidangan ilmu ‘tulen’ agama Islam. Suatu ketika dulu, kerajaan di Kelantan pernah bermohon untuk menjalankan sistem ‘hukum hudud’ mengikut lunas Islam di negeri tersebut. Namun perkara itu ditentang kuat oleh pemerintah persekutuan yang memegang institusi kepimpinan negara. Bukan setakat ditentang malah ianya dipersendakan, dihina serta dipermainkan oleh pemerintah persekutuan tersebut. Berbagai-bagai sendaan yang diberi, jika masih ingat slongan ‘kalau nak makan sup tulang tangan pergi ke negeri Kelantan’ adalah penghinaan pada sistem hukum hudud untuk pesalah mencuri dalam syariat Islam.

Perkara itu membuatkan seluruh umat Islam di negara ini memandang bahawasanya Islam itu tidak sekata dan tidak bersependapat sehinggakan ada yang berani mengatakan Islam UMNO dan Islam PAS. Angkara siapa pemisahan ini berlaku? Jawapnya bukanlah dari agama selain Islam ianya datang dari orang yang beragama Islam itu sendiri. Hari ini golongan yang mempersendakan perkara mengenai hukum hudud tersebut cuba menjadi hero dengan mengatakan kononnya merekalah yang membela Islam di negara ini. Secara langsung penipuan ini berlaku lagi apabila baru-baru ini di Kelantan mengharamkan adanya pusat perjudian di negeri tersebut, namun golongan yang kononnya mengatakan mereka adalah hero penyelamat akidah Islam di Malaysia membisu malah menentang keras dengan tindakan kerajaan negeri Kelantan tersebut. Hal ini sekaligus makin membingungkan rakyat keseluruhannya.

Dalam kes tuntutan IFC (Inter Faith Commission atau Suruhanjaya Antara Kepercayaan) bagi menggantikan Mahkamah Syariah yang sedia ada, pemerintah tidak mengambil jalan untuk menyelamatkan api tuntutan yang sedang marak itu. Malah IFC itu sendiri dipersetujui oleh beberapa kabinet menteri (ada yang pada hari ini masih memegang jawatan menteri kabinet) yang beragama Islam untuk menubuhkan suruhanjaya tersebut. Persetujuan itulah yang membuka jalan seluasnya bagi pergerakan memurtadkan umat Islam di Malaysia ini bergerak secara aktif.

Faktor-faktor yang disebutkan di atas adalah sebahagian kecil dari faktor yang menjadi punca sebenar ‘mengapa umat Islam di negara ini memilih jalan murtad sebagai pilihan sejati hidup mereka?’ Tidak ada paksaan dalam beragama. Perkara itu harus diakui semua. Maka jawapan bagi persoalan murtad ini adalah berkenaan faktor punca kecelaruan, liur kemaksiatan dan kurangnya hidangan ilmu tulen agama Islam.

Ketiga-tiga punca ini bukanlah datangnya dari agama luar dari Islam, ianya datang dari orang atau umat Islam itu sendiri. Jangan cepat melihat kuman di seberang laut sedangkan buaya yang bahaya di depan mata kita tidak nampak. Bila hari ini kita berbicara soal agama yang sebenar, kita cepat dituduh sebagai seorang yang ekstrem dalam beragama. Ada pula yang akan menuduh kita sebagai seorang yang tidak global atau liberal.

Bagi mengejar soal penglobalan kita tidak seharusnya mengadaikan tertib beragama. Islam tidak mengajar umatnya menyanggah kemodenan. Islam juga tidak menghalang umatnya berfikiran sempit. Cuma perlakukan sesetengah pemerinah itu sahaja yang salah. Jika hendak moden, global dan liberal bukanlah dengan mengambil pendekatan secara membabi buta tanpa memikirkan kesannya kepada akidah umat Islam. Jepun juga sebuah negara yang maju, namun negara Jepun tidak pula mengadaikan budaya, bahasa malah tertib agama mereka untuk mencapai kemajuan tersebut.

Seperti juga di zaman kegelapan barat dulu. Di Cordoba yakni Andalusia jauh lebih maju berbanding dengan negara-negara barat pada waktu itu. Namun bila sarjana atau ilmuan barat yang belajar di Andalusia balik dari tempat pengajian mereka, mereka mengguna pakai ilmu yang telah dipelajari sebagai pengerak kemajuan di negara mereka. Akhirnya mereka maju tanpa mengadaikan agama mereka (Kristian) sedangkan guru-guru atau pendidik yang mendidik mereka adalah di kalangan umat Islam (Andalusia pada waktu itu di bawah kerajaan Islam).

Ternyata kemajuan bukanlah alasan untuk kita mengadaikan agama Islam itu. Maka dengan itu, tidak perlulah menyalahkan agama lain sebagai punca murtadnya penganut agama Islam di Malaysia ini. Perlu dilihat semula apakah puncanya umat Islam di Malaysia pada hari ini menjadi murtad? Janganlah kita menjadi bisu dalam sesuatu isu yang berkaitan dengan kepentingan diri kita semata dan menjerit kuat dengan sesuatu isu yang memberi pulangan material berharga pada diri kita.

•Natrah 1950 – Persoalan yang timbul ‘mana UMNO waktu itu? Kenapa tidak membela nasib Natrah pada waktu tersebut?’

AMNI JAGAT
24 Ramadhan 1432 / 24 Ogos 2011

**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**



PENAFIAN DAN PERINGATAN - Ini merupakan web rasmi Nusajaya Kini. Semua artikel di sini adalah hak mutlak Nusajaya Kini, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika diletakkan nama pemiliknya. Semua gambar di web ini adalah hak milik Nusajaya Kini dan juga ehsan dari Google. Nusajaya Kini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Sebarang pertanyaan dan pendapat boleh dikemukakan terus melalui email kepada kami di nusajayakini@gmail.com


Kongsikan pandangan anda


0 komen pembaca for "Murtad! Jangan salahkan agama lain"

Leave a reply

Terbaru di Nusajaya Kini

Cari Blog Ini

Like Nusajaya Kini

Ruang Iklan

Fanpage Nusajaya Kini

Twitter Nusajaya Kini

Arkib

Jumlah Paparan Halaman

Daftar Ahli Blog Nusajaya Kini