Dadah dirampas di Nusajaya
Posted by Unknown on 5 Oktober 2011 | 0 komen pembaca
Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my
JOHOR BAHRU 4 Okt. – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri merampas lima jenis dadah bernilai RM130,750 dalam dua serbuan yang diadakan di Nusajaya, minggu lalu.
Timbalan Ketua JSJN negeri, Supritendan Giam Kar Hoon berkata, berat kesemua dadah jenis heroin, syabu, ketamin, pil ekstasi dan Eramin 5 itu melebihi satu kilogram.
Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Taman Bukit Indah II, Rabu lalu dan pihaknya merampas 920 gram heroin yang boleh dibekalkan kepada 2,300 penagih.
“Dalam serbuan itu, kami menahan seorang suspek berusia 30 tahun yang berasal dari Sitiawan, Perak dan turut merampas sebuah kereta jenis Nissan Cefiro yang menggunakan nombor pendaftaran Singapura.
“Hasil siasatan mendapati suspek yang bekerja di sebuah kedai telefon bimbit itu terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar Nusajaya, Johor Bahru dan Singapura,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Kar Hoon berkata, pihaknya masih mengesan suspek lain yang terlibat dan bekalan itu dipercayai dibawa dari Singapura untuk pasaran di Johor Bahru.
Sementara itu, serbuan kedua pula dilakukan di sebuah pangsapuri di Bandar Selesa Jaya, Jumaat lalu dan menahan dua suspek berumur 43 dan 45 tahun.
Polis merampas heroin seberat 93.3 gram, syabu (64,10 gram), ketamin (121.3 gram), pil Eramin 5 (13 biji) dan pil ekstasi (476 biji).
Beliau memberitahu, semua dadah tersebut bernilai RM57,150 yang boleh dibekalkan kepada 1,417 penagih.
Kar Hoon memberitahu, suspek yang berumur 45 tahun memiliki 11 rekod jenayah seperti pecah rumah, curi, mendatangkan cedera dengan senjata dan samun, manakala seorang lagi suspek mempunyai tujuh rekod jenayah antaranya memiliki bahan lucah, barang curi dan menghalang tugas penjawat awam.
Kedua-dua suspek direman sehingga Khamis ini dan semua kes itu disiasat di bawah Sesyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan Seksyen 32 ADB (Perlucutan Harta) 1988.
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**
0 komen pembaca for "Dadah dirampas di Nusajaya"
Leave a reply