PAR ,PAPISMA dan Darul Syifa' : Khidmat kesihatan percuma
Posted by Unknown on 9 Januari 2012 | 0 komen pembaca
GELANG PATAH, 9 Januari 2012 – Pusat Aduan Rakyat (PAR) Nusajaya dengan kerjasama daripada Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) secara sukarela telah mengadakan program pemeriksaan kesihatan secara percuma di Kampung Desa Paya Mengkuang, Gelang Patah semalam.
Program anjuran bersama ini turut melibatkan beberapa orang ustaz dari Darul Syifa, Ustaz Rifki dan Ustaz Zaifiddin yang sama-sama menghulurkan perkhidmatan rawatan secara Islam percuma kepada penduduk kawasan sekitar.
Penduduk Kampung Desa Paya Mengkuang sejak awal pagi telah mula mengunjungi lokasi pemeriksaan kesihatan bagi mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan secara percuma yang disediakan.
“Kita yakin dan percaya penduduk di kawasan ini rata-ratanya miskin, dan ramai yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan rawatan di hostipal dan klinik-klinik berhampiran,” jelas Penyelia Pusat Aduan Rakyat Nusajaya, Tuan Haji Dzulkefli Bin Ahmad.
Dalam program yang sama, Tuan Haji Dzulkefly turut menyampaikan sumbangan daripada PAS Kawasan Gelang Patah kepada 12 keluarga yang memerlukan.
Penduduk di Kampung Desa Paya mengkuang ini asalnya merupakan penduduk di kawasan nelayan berhampiran kawasan laut yang kemudiannya dipindahkan ke sini ekoran pengambilan tanah untuk kerja-kerja perindustrian dan pembangunan dalam kawasan Wilayah Pembangunan Iskandar Johor.
Menurut salah seorang doktor PAPISMA, pesakit yang datang kebanyakkannya menghidap masalah darah tinggi dan kencing manis dan seharusnya mereka mendapat rawatan lanjut di hospital kerajaan mahupun klinik kesihatan berhampiran.
Lima orang doktor yang bertugas memberi khidmat rawatan terbaik dan bekalan ubat secara percuma kepada penduduk yang hadir.
Rawatan kesihatan percuma ini bertujuan untuk meringankan beban masyarakat setempat dan menyedarkan mereka tentang betapa pentingnya menjaga kesihatan diri, anak-anak serta seluruh ahli keluarga.
Penduduk terus menerus mengunjungi lokasi rawatan sehingga sebelah petang. Program tersebut berakhir kira-kira jam 5 petang.
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**
0 komen pembaca for "PAR ,PAPISMA dan Darul Syifa' : Khidmat kesihatan percuma"
Leave a reply