Masalah Loji Beracun Dapat Pembelaan MP Pokok Sena
Posted by Unknown on 10 Oktober 2012 | 0 komen pembaca
KEMPAS – Ribuan penduduk rumah pangsa di Taman Bukit Mewah di sini, menghadapi masalah apabila terpaksa menghirup udara beracun dan memualkan berpunca daripada loji kumbahan najis di perumahan mereka rosak.
Masalah ini telah mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Pokok Sena. Rata-rata penduduk yang kesal dengan kejadian yang berlaku sangat terharu dan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Pusat Aduan Rakyat Kempas, MTD Kempas & PAS Kawasan Pulai kerana prihatin dan sanggup turun padang untuk mendengar sendiri masalah dan rintihan yang dihadapi mereka.
Dengan bantuan Saudara Suhaizan Bin Kaiat, Pengerusi Pusat Aduan Rakyat Kempas, masalah yang membelenggu penduduk rumah pangsa Taman Bukit Mewah ini telah diadukan kepada Majlis Bandaraya Johor.
“Masalah seperti ini tidak sepatutnya timbul, apatah lagi ia berlaku di kawasan bandar raya kota metropolitan yang kononnya hebat seperti Johor Bahru ini. Sepatutnya pemantauan lebih awal dan langkah pencegahan perlu diambil terlebih dahulu sebelum berlakunya kejadian sedemikian”, kata YB Dato Haji Mahfuz Omar yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena.
“Kerajaan negeri yang ada pada hari ini sangat lemah hingga mengakibatkan berlakunya banyak ketirisan hasil negeri. Apatah lagi untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyatnya.”
“Rakyat perlu berani membuat perubahan dalam Pilihanraya Umum ke-13 yang akan datang bagi membentuk sebuah kerajaan negeri baru yang lebih efisien, cekap, telus, terbuka dan professional dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat”, tegas beliau lagi dalam pertemuan bersama rakyat di sebelah petangnya.
Ucapan beliau itu mendapat tepukan gemuruh daripada para hadirin yang terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa.
YB Dato Mahfuz Omar bersama kepimpinan PAS Kawasan Pulai dan masyarakat setempat sempat mengedarkan risalah di Pasar Raya @mart, Kempas sebelum pertemuan bersama rakyat bermula.
Turut hadir bersama YB Dato Mahfuz Omar adalah Saudara Suhaizan Kaiat, calon PAS DUN Kempas dalam PRU-13 akan datang, Saudara Abdullah Ideris, YDP PAS Kawasan Pulai, Saudara Yusaini Ali, Ketua KRT Taman Bukit Mewah, Ketua Pemuda PAS Pulai dan seluruh saf kepimpinan.
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**
0 komen pembaca for "Masalah Loji Beracun Dapat Pembelaan MP Pokok Sena"
Leave a reply