Tuntut Baki Pampasan
Posted by Unknown on 12 Mac 2013 | 0 komen pembaca
JOHOR BAHRU – Seramai 272 penduduk dari empat kampung di Gelang Patah, di sini, mendesak kerajaan negeri segera menunaikan janji menyerahkan baki pampasan Felcra Tebing Runtuh yang dianggarkan berjumlah hampir RM2.5 juta yang tertunggak sejak 17 tahun lalu.
Empat kampung yang terlibat adalah Kampung Pendas, Kampung Sungai Melayu, Kampung Tebing Runtuh serta Kampung Danga.
Mereka mendakwa tanah mereka diambil alih oleh kerajaan sekitar tahun 1996 untuk membangunkan kompleks pentadbiran Lerajaan Negeri Johor dengan menawarkan pampasan RM70,000 bagi setiap 0.4 hektar seperti termaktub dalam perjanjian secara bertulis yang dibuat.
Bagaimanapun, mereka mendakwa menerima tidak sampai sebahagian daripada nilai pampasan tanah masing yang mana melibatkan 2.4 hektar bagi setiap 100 penduduk, manakala 172 penduduk sebanyak 1.6 hektar.
Kesemua penduduk mahu perkara itu diselesaikan sebelum menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
Penduduk, Jamilah Kosni dari Taman Nusa Perintis berkata, dia kecewa kerana masalah itu tidak diselesaikan dan beberapa memorandum yang dihantar sebelum ini seolah-olah dipandang sepi oleh kerajaan negeri.
“Saya hanya menerima RM173,000 dan menuntut baki pampasan sekitar RM240,000 lagi. Perkara ini telah termasuk dalam perjanjian secara bertulis yang pernah dibuat 17 tahun lalu. Bahkan kami pernah membawa perkara ini ke mahkamah.
“Sebenarnya, kalau ikut nilai taksiran semasa, lebih tinggi kerajaan negeri perlu bayar. Nilai perjanjian yang adapun tidak dapat dijelaskan. Kami sekadar mahukan hak kami,” katanya ketika ditemui di Bangunan Datuk Jaafar di Kota Iskandar, dekat sini, semalam.
Bagi Harun Sulaiman, 53, dari Kampung Pendas berkata, pendapatannya sebagai nelayan yang tidak menentu menyebabkannya berharap kerajaan dapat menyelesaikan masalah itu dengan segera bagi menampung perbelanjaan harian.
“Selama ini saya hanya menerima RM137,000 sedangkan jumlah yang sepatutnya saya terima adalah RM280,000 membabitkan 1.6 hektar. Jadi, saya sangat berharap agar kerajaan memandang serius masalah kami ini dan diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Felcra Tebing Runtuh, Pandak Ahmad berkata, selepas demonstrasi itu, mereka akan berusaha untuk mengaturkan pertemuan bersama Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman secepat mungkin.
“Kami bukannya berniat untuk membantah kerajaan jauh sekali menolak pembangunan, namun hak kami juga tidak harus diketepikan dan dipandang sepi. Sebelum ini, kami pernah membawa perkara ini kepada kerajaan persekutuan namun ditolak.
“Mereka meminta kami mengadakan perundingan dengan kerajaan negeri terlebih dulu. Justeru, kami berharap usaha kami dipertimbangkan kerajaan negeri untuk diselesaikan dengan seberapa segera supaya kami tidak rasa teraniaya,” katanya.
Terdahulu, 100 penduduk terbabit terdiri daripada peserta Felcra Kampung Tebing Runtuh mengadakan demonstrasi secara aman memegang sepanduk masing-masing di hadapan bangunan itu sekitar 10 minit sebelum menghantar memorandum kepada wakil Menteri Besar.
Sumber: Sinar Harian
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**
0 komen pembaca for "Tuntut Baki Pampasan"
Leave a reply