Padah Jual Kad Sim Haram
Posted by Unknown on 31 Oktober 2012 | 0 komen pembaca
KLUANG - Seorang lelaki warga asing ditahan polis Kluang kerana disyaki menjual kad sim haram di sebuah kedai runcit di Jalan Mersing, di sini, Isnin lalu.
Lelaki terbabit ditahan kira-kira jam 10.10 pagi oleh sepasukan polis hasil aduan orang awam berkaitan penjualan kad sim haram yang berleluasa di kawasan berkenaan sejak beberapa bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, ketika pemeriksaan di bawah meja kaunter tempat bayaran di premis terbabit, polis turut menemui beberapa kad sim dipercayai boleh digunakan terus tanpa perlu didaftarkan dengan syarikat komunikasi berkenaan.
“Suspek, seorang lelaki berusia 30 tahun yang mengaku penjaga kedai ditahan. Ketika disoal siasat suspek mendakwa tidak tahu kad sim itu haram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, semalam.
Menurutnya, dipercayai sesiapa sahaja yang ingin membeli kad sim tersebut tidak perlu mendaftar seperti kebiasaannya apabila membeli kad sim yang sah.
“Apa yang membimbangkan, jika seseorang itu membuat panggilan menggunakan kad sim haram ini, si penerima panggilan tidak akan dapat mengesan panggilan tersebut dari nombor apa dan hanya tertera perkataan ‘private number'’,” katanya.
Abdul Majid berkata, dengan wujudnya kad sim seumpama itu, kad tersebut boleh digunakan untuk pelbagai tujuan jenayah kerana ianya tidak boleh dikesan oleh sesiapa.
“Hasil penahanan suspek tersebut, polis berjaya merampas 125 kad sim haram yang menggunakan pelbagai syarikat komunikasi berjumlah kira-kira RM3,445.
“Suspek akan didakwa di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Katanya, ini adalah kesalahan jenayah yang pertama dilakukan suspek dan dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Beliau berkata, suspek kini masih direman sehingga semalam untuk soal siasat.
Sumber: Sinar Harian
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**






0 komen pembaca for "Padah Jual Kad Sim Haram"
Leave a reply