BlogList Malaysia

Selatan Online

Salahuddin Sahkan Bekas Menteri Besar Sertai PAS

Posted by Unknown on 14 April 2013 | 0 komen pembaca | Leave a comment...

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mengesahkan seorang bekas menteri besar akan menyertai PAS dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, bekas menteri besar itu sendiri menghubungi beliau dan menyatakan hasrat tersebut.

"Saya mengesahkan salah seorang bekas menteri besar akan menyertai PAS.

"Beliau sendiri menelefon saya pagi ini dan memberitahu hasrat itu dan akan menyatakan hasrat itu kepada Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Tambah Salahudin, bekas menteri besar itu akan mengisytiharkan perkara tersebut kepada umum dalam masa terdekat.

"Beliau sendiri akan mengumumkan kemasukan ke dalam PAS dalam masa terdekat ini," katanya.

Harakahdaily difahamkan, bekas MB berkenaan adalah dari negeri utara semenanjung.

Beliau berbuat demikian kerana kesal dengan perebutan, cantas mencantas dan perpecahan teruk yang sedang berlaku dalam Umno sekarang.

Sumber : Harakahdaily

Ketika Di Johor, Tian Chua Didakwa Hina Tentera Di Puchong

Posted by Unknown on 4 Mac 2013 | 0 komen pembaca | Leave a comment...

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Batu, Tian Chua (gambar) menyifatkan tuduhan beliau telah menghina anggota keselamatan dengan istilah "Komando Mati Katak" di satu ceramah di Puchong satu penipuan yang nyata.

Ini kerana, semalam beliau tidak berada di Puchong dan tidak pernah memberi ucapan menghina pengorbanan pasukan keselamatan.

"Sebenarnya saya berada di Johor dan dalam semua ucapan saya, saya menyatakan keyakinan dan sokongan saya terhadap pasukan keselamatan dan anggota-anggotanya," kata Tian Chua kepada Harakahdaily.

Tragedi Lahad Datu kini dimanipulasi oleh cybertrooper Umno untuk menjana kebencian terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Tian Chua.

Sebelum ini datuk Seri Anwar dikaitkan dengan peristiwa ini sehingga menjadi lawak paling popular di kalangan pengguna sosial media.

Semalam beberapa blog pro-BN telah menyiarkan berita palsu bahawa Tian Chua telah menghina pembunuhan anggota keselamatan kita dengan istilah "Komando Mati Katak" di satu ceramah di Puchong.

"Ini adalah cerita yang dipalsukan dan tidak benar sama sekali," katanya.

"Blog pro-BN seperti Mymassa, Talk With Hand, Aloqlaloq dan Papagomo sengaja melemparkan fitnah terhadap saya," katanya.

Selain dari siaran berita palsu mereka juga mendesak pembaca terutamanya anggota polis dan askar untuk menghantar sms maki-hamum serta panggilan bantahan kepada beliau.
 
"Saya akan mengambil tindakan termasuk tindakan undang-undang terhadap mereka-mereka yang rekakan fitnah dan berniat untuk mengancam saya," kata beliau.

Beliau merayu rakyat Malaysia supaya jangan percaya kepada propaganda niat jahat ini.

Kini rakyat, katanya, harus bersatu dan menyatakan setiakawan kepada anggota keselamatan bukan memainkan taktik politik murahan untuk memburukkan parti lawan.

 Sumber : Harakahdaily

'Projek IC Mahathir' Didedah

Posted by Unknown on 1 Mac 2013 | 0 komen pembaca | Leave a comment...

PETALING JAYA - Bekas ahli Umno, Siti Aminah Mahmud, 63, berkata, beliau bersama kumpulannya pernah membantu pendaftaran setengah juta kad pengenalan (IC) kepada pendatang tanpa izin di Sabah untuk dijadikan pengundi BN.

Menurutnya, pendaftaran segera itu dibuat di bawah ‘projek IC Mahathir’ dari 1990 hingga 1994.

“Setiap kali dihantar berguni-guni (IC). Ia diproses dalam jangka masa sebulan. Katakan (pendaftaran) dibuat pada satu hari bulan, maka ia (IC) akan diserahkan pada tarikh yang sama pada bulan yang akan datang,” kata bekas ahli Umno Cawangan Skudai Kanan, Johor Bahru itu pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN hari ini.

Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu ditemani Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin; Pengarah Guaman, Latheefa Koya dan Ketua Biro Kebudayaan dan Kesenian Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN, Dayangku Intan.

Siti Aminah berkata, pendaftaran projek IC itu bermula di pejabat Umno Sabah di Simbulan, dalam bangunan dimiliki Datu Mustafa Harun, pemimpin Usno Sabah.

Dedahnya, projek itu dibuat ‘dengan kerjasama’ Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah yang turut mengarahkan penerima IC terbabit mengundi BN dalam pilihan raya umum.

Siti Aminah berkata, semasa bertugas sebagai Pegawai Penerangan Umno, lima peranan beliau dalam ‘projek IC Mahathir’ adalah untuk membantu kempen Umno di Sabah, menambahkan undi Melayu, mencari pemastautin Sabah yang tidak memiliki IC dan memastikan Parti Bersatu Sabah (PBS) tumbang.

“Masa mengurus untuk orang ambil IC, kita pergi ke tempat yang sudah sedia dengan satu ‘ketua’. Bila kita sampai di satu-satu kawasan, senarai nama telah siap, meliputi nama asal atau bukan asal,” katanya.

“Bila kita tengok ada nama bertentangan dengan nama orang Islam, kita ubah jadi nama Islam. Lepas itu kita ambil gambar dan cap jari dan hantar ke pejabat Umno,” jelas Siti Aminah lagi.

Sumber : FB Pas KgBharu

[HKR #KL112 Mode] - Malam Ini

Posted by Unknown on 11 Januari 2013 | 0 komen pembaca | Leave a comment...



Rapat Kemuncak 11 Januari di Kg Baru: Festival Rakyat, Pedoman dan Pengarahan Akhir Untuk Hari Kebangkitan Rakyat

Sepertimana yang telah diumum sebelum ini, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan kerjasama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) disokong oleh badan induk sekretariat Himpunan Kebangkitan Rakyat akan menganjurkan sebuah Festival Rakyat yang menjadi Rapat Kemuncak Menjelang Hari Kebangkitan Rakyat.

Bertempat di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru Kuala Lumpur, kemuncak program telah disusun satu festival rakyat mengira detik (countdown) kehadiran tanggal yang bakal menjadi sejarah iaitu 12 Januari 2013. Rapat mengira detik ini juga akan menjadi lapang sambutan bagi peserta himpunan yang datang dari luar Kuala Lumpur yang dijangka sampai awal.

Selain ucaptama amanat pimpinan yang mengetuai himpunan, akan ditampilkan juga rakyat tertindas yang akan muncul menyuarakan masalah mereka sendiri selaku suri rumah, pekerja kilang, pemandu teksi, pesawah dan petani, pekerja swasta, mahasiswa, penganggur, profesional muda dan ramai lagi. Ini akan menjadikan rapat memuncak mengira detik #KL112 ini benar – benar pentas rakyat yang memulakan mood pesta tuntutan rakyat.

Paling penting, pentas Rapat Kemuncak ini akan memberikan pengarahan terakhir agar majoriti peserta himpunan memahami pengarahan untuk esoknya dan menjamin kelicinan dan kejayaan himpunan. Segala pedoman dan pengarahan gerakan pada 12 Januari akan diumumkan oleh badan induk HKR. Pedoman ini penting bukan sahaja untuk memastikan rakyat yang berhimpun maklum dengan arahan mengharungi 12 Januari, malah pedoman ini juga memberi gambaran kepada pihak polis supaya tidak panik dan termakan provokasi atau arahan pihak atasan yang tidak bertanggungjawab.

Dijangkakan lebih 50 ribu peserta himpunan yang telah menempah kehadiran awal ke Kuala Lumpur akan memenuhi padang Kelab Sultan Sulaiman dan kemuncak mengira detik akan menyaksikan letusan bunga api yang menandakan bermulanya Hari Kebangkitan Rakyat.

Akhir sekali setelah tamat percikan bunga api, sebuah ikrar yang istimewa akan dideklamasikan dan juga doa akan dibaca demi memastikan Hari Kebangkitan Rakyat akan berlangsung dengan aman dan selamat.

Che'GuBard
Ketua Penyelaras SAMM

Dilema Ekonomi Buntu

Posted by Unknown on 6 Disember 2012 | 0 komen pembaca | Leave a comment...


Setelah hampir 40 tahun, Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan semasa pemerintahan Tun Razak kini semakin hari semakin menuju jalan buntu.

Bayangkan sahaja, kesan inflasi ekonomi yang menerima tempias daripada ketidakstabilan ekonomi global, krisis ekonomi Zon Eropah dan krisis sub-prima di Amerika Syarikat tahun 2008 kini semakin terasa. Misalnya di Malaysia, jurang kemiskinan di antara golongan kelas rendah dan tinggi semakin kelihatan. Dan, inflasi yang semakin menjadi-jadi secara mendadak menambahkan lagi keperitan rakyat menjalani kehidupan seharian.

Mengikut perangkaan terbaru yang dikeluarkan, hampir 65% daripada rakyat Malaysia mempunyai pendapatan isirumah di bawah RM3,000 sebulan, 75% daripada rakyat Malaysia mempunyai pendapatan isirumah di bawah RM5,000 sebulan dan 90% daripada rakyat Malaysia berpendapatan kurang daripada RM10,000 sebulan.

Bumiputera terus tersepit?

Lebih aneh, majoriti kaum yang tersepit di bawah pendapatan isirumah di bawah RM3,000 sebulan adalah kaum Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang mendahului peratusan sebanyak 65-70%, diikuti kaum India 20-25% dan kaum Cina 10-15%. Bukankah sepatutnya golongan ‘Melayu dan Bumiputera Sabah-Sarawak’ mendapat manfaat daripada ‘tindakan affirmatif berdasarkan kelas’ hampir 40 tahun ini mencapai ekuiti pembahagian kekayaan negara sebanyak 30%?

Pada masa yang sama, kenaikan harga barang keperluan harian semakin menjadi-jadi. Kos perumahan turut meningkat dengan ketara. Boleh dikatakan, kawasan di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur serta bandar-bandar satelit berdekatan mengalami kos perubahan yang mendadak. Sehinggakan, kos perumahan melonjak pada tahap yang tak masuk akal.

Di Kuala Lumpur sahaja, kos anggaran untuk sebuah unit teres kini bernilai lebih RM500,000 berbanding pada tahun 2008, anggaran kos untuk sebuah unit yang sama, cuma sekitar RM250,000. Hanya dalam masa beberapa tahun sahaja, kos perumahan yang melonjak tinggi membebankan majoriti warga kota yang berkerja dengan pendapatan isirumah di bawah RM3,000 sebulan.

Beberapa analisis terhadap Belanjawan 2013 yang baru sahaja dibentangkan beberapa bulan lalu di Parlimen oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak menunjukkan betapa tidak bersungguhnya kerajaan Barisan Nasional untuk memulihkan kembali kemapanan dan prestasi ekonomi negara yang semakin hari, semakin merosot.

Berdasarkan belanjawan yang dibentangkan, bantuan dan subsidi yang disalurkan lebih bersifat ‘one-off payment’ atau ‘pemberian satu-hala’. Dasar sebegini jika terus diamalkan tanpa disiplin fiskal yang ketat akan berterusan menjana defisit perbelanjaan yang tidak produktif. Lantas, ia ditambah pula dengan kadar defisit perbelanjaan negara yang berterusan selama bertahun-tahun menyebabkan jumlah hutang negara semakin meningkat dan menghampiri ‘National Debt-Ceiling’ atau ‘Siling Hutang Negara’.

Jadi, kadar pertumbuhan ekonomi di bawah kerajaan Barisan Nasional bukan sahaja tidak produktif tetapi semakin tidak sihat dengan perbelanjaan boros mereka.

Kemiskinan ketara meningkat

Kadar ketidakseimbangan pendapatan isirumah di Malaysia kini di tahap yang cukup membimbangkan. Indeks (GINI Coeffecient) pada tahun 2010 yang dijadikan sebagai mekanisme untuk mengesan jurang ketidakseimbangan di antara golongan kelas rendah dan tinggi menunjukkan bahawa kadar (GINI Coefficient) untuk Malaysia adalah sekitar 0.429 sekaligus meletakkan Malaysia sebagai negara yang mengalami jurang perbezaan kekayaan kedua tertinggi di Asia selepas Singapura.

Manakala, menurut statistik yang dikeluarkan PEMANDU, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2009 menganggarkan peratusan miskin tegar yang disenaraikan sebagai mereka yang berpendapatan isirumah kurang daripada RM800 sebulan hanyalah sekitar 3.8%. Ini mungkin pada satu hal, tidak kelihatan begitu merisaukan tetapi jika diambil kira pada realiti sebenarnya, ada hal yang lebih merisaukan.

Misalnya, indeks kemiskinan global mensyaratkan bahawa mereka yang berpendapatan isirumah di bawah RM2,500 sebulan adalah mereka di bawah paras kemiskinan. Jadi, realiti ekonomi di Malaysia sebenarnya lebih rumit daripada yang disangka-sangka.

Lihat sahaja sekiranya:

· Pendapatan di bawah RM800 (Indeks Paras Kemiskinan yang ditetapkan PEMANDU) : 3.8% daripada Jumlah warganegara Malaysia. 60% Melayu dan Bumiputera Sabah-Sarawak, 25% India, 15% Cina.

· Pendapatan di bawah RM1,500 : 15-20% daripada jumlah warganegara Malaysia. 65-70% Melayu dan Bumiputera Sabah-Sarawak, 25-30% India, 5-10% Cina.

· Pendapatan di bawah RM 2500 (Indeks Kemiskinan Global): 45-55.5% daripada jumlah warganegara Malaysia. 80-85% Melayu dan Bumiputera Sabah-Sarawak, 10-17.5% India, 5-10% Cina.
Jadi, berdasarkan analisis di atas, kita mendapati bahawa majoriti rakyat Malaysia berada pada paras kemiskinan global dimana hampir 45-55% daripada mereka berpendapatan di bawah RM2,500 dan 65-70% daripada mereka adalah golongan bumiputera Melayu dan Sabah-Sarawak yang sepatutnya berhak mendapat ekuiti kekayaan negara sebanyak 30%. Ini membuktikan bahawa Dasar Ekonomi Baru yang digembar-gemburkan selama ini hanyalah sandiwara kerajaan menutup kegagalan mereka memerintah selama berpuluh-puluh tahun.

Jika diperhatikan semula, Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan melahirkan golongan baru kelas menengah bumiputera melahirkan satu masalah baru yang lebih merumitkan: iaitu menampakkan jurang perbezaan kekayaan di dalam sesuatu kaum atau (intra-ethnic disparity) di mana menurut indeks hanya 5.9% daripada jumlah rakyat Malaysia berpendapatan lebih daripada RM10000 ini bertindak sebagai golongan kelas elit yang mengawal ekonomi negara.

Tambah menyedihkan, pemilikan orang Bumiputera Melayu dan Sabah-Sarawak yang tergolong sebagai sebilangan kecil golongan elit ekonomi ini hanyalah pada purata 10%.

Jadi, dimana sebenarnya kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) ini? Adakah orang Melayu dan Bumiputera ini yang sepatutnya dimanfaatkan daripada dasar ini tertinggal daripada pembahagian kekayaan sebenarnya.

Kronisme, korupsi dan nepotisme

Tambah tragis, di bawah era pemerintahan Tun Dr. Mahathir, beliau memperkenalkan pula dasar neo-liberal menerusi Dasar Penswastaan Negara. Jadi, peningkatan kekayaan golongan elit kroni ini semakin meningkat apabila mereka dianugerahkan kontrak-kontrak mega kerajaan berdasarkan hubungan baik ‘rakan-rakan kerajaan’ seperti Tan Sri Rashid Hussin, Tan Sri Halim Saad, Tan Sri Syeikh Mokhtar Al-Bukhary dan Tan Sri Vincent Tan dan ramai lagi.

Mereka ini hanya sebilangan daripada kawan-kawan kerajaan yang bertindak sebagai kuasa monopoli yang menentukan harga pasaran. Deregulasi ekonomi, peranan kerajaan yang terhad dalam urusan ekonomi negara menyebabkan rakyat dibebani dengan kos peningkatan sara diri supaya sebilangan kecil kroni dapat menjana keuntungan peribadi.

Lihat sahaja, apa yang berlaku di dalam isu perjanjian penjana tenaga bebas (IPP) dengan syarikat-syarikat kroni seperti Tan Sri Syed Mokhtar (MMC), Tan Sri Ananda Krishnan (Tanjung) dan mendiang Lim Goh Tong (Genting) bertindak sebagai pemegang monopoli ekonomi sehinggakan berjaya mengawal harga bahan api dan utiliti elektrik menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa membayar harga yang mahal untuk membekalkan kuasa elektrik.

Akhirnya, TNB yang dibiayai dengan duit cukai rakyat inilah yang menanggung kos beban demi menjana keuntungan golongan-golongan ini

Isu rasuah yang semakin ketara menampakkan lagi bahawa kerajaan Barisan Nasional sebenarnya tidak mampu lagi berselindung dan menyembunyikan diri daripada ketirisan ekonomi yang dicipta oleh mereka. Kesannya, pelaburan langsung asing (FDI) semakin berkurangan. Malah Indonesia buat pertama kalinya dalam tahun 2011 pada suku ke 2 (Q2) mengatasi jumlah pelaburan langsung negara.

Kejutan demi kejutan seperti isu National Feedlot Corporation dengan penyelewengan duit rakyat lebih RM250 juta, pemberian projek kepada Konsortium George Kent untuk mega-projek MRT juga pengapungan saham Felda Global Venture Holding (FGVH) merupakan sedikit daripadabukti-bukti korupsi di depan mata yang hanya dibisukan oleh kerajaan. Kadar korupsi negara semakin hari menyebabkan ekonomi negara semakin merosot dan pada akhirnya, rakyatlah golongan yang melata kemiskinan akibat beban-beban ketirisan yang ditinggalkan kerajaan.

Quo vadis ekonomi negara?

Masa depan ekonomi Malaysia kini berada di persimpangan. Masalah kelembapan ekonomi global kini semakin ligat kesannya dirasakan semua. Tambahan, kegagalan dasar-dasar ekonomi kerajaan merumitkan lagi kesediaan negara untuk mengharungi krisis ekonomi global di masa hadapan.

Kegagalan 40 tahun Dasar Ekonomi Baru yang melahirkan jurang perbandingan golongan kelas rendah dan kelas menengah menyebabkan rata-rata daripada rakyat Malaysia terpukul dengan derita kemiskinan yang berterusan. Malah, rata-rata golongan yang sepatutnya menerima manfaat penuh daripada dasar ini kini merupakan golongan yang paling tertinggal di dalam mengejar kemajuan ekonomi negara.

Bagi pendokong Dasar Ekonomi Baru, mereka tak perlu menjerit, memaki hamun kritikan terhadap dasar yang telah diseleweng dan disalahgunakan sesama pemimpin kerajaan BN dengan kroni kapitalis mereka. Yang perlu adalah mengaku bahawa dasar itu sudah lama menghakis hak Melayu dan Bumiputera kerana ia menjadi mainan para gergasi korporat dan pemimpin besar serta kecil dari segala sudut UMNO dan BN.

Untuk rakyat jelata, kita hanya melihat Dilema Ekonomi Buntu yang mengkayakan pimpinan BN dan kroni kapitalis. – Roketkini.com

Rupa-rupanya UMNO takut juga doa ulama PAS

Posted by Unknown on 22 November 2012 | 0 komen pembaca | Leave a comment...

MERSING – Isu ‘doa’ yang dimainkan media arus perdana hanya ditujukan kepada parti UMNO bukan buat ahlinya. Demikian tegas Ustaz Azam Abdul Razak, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Johor.

Bagaimanapun Azam mempersoalkan tindakan sesetengah pemimpin UMNO yang bimbang dengan ‘doa’ berkenaan sedangkan selama ini mereka dikatakan melemparkan pelbagai tuduhan buruk kepada PAS.

”Kawan-kawan UMNO marah apabila Ust Nik Razi Nik Mat mendoakan Kehancuran UMNO BN semasa Solat hajat sempena Himpunan Rakyat di Stadium Muhammad yg lalu, kebetulan saya turut bersama di sana mlm itu.

”Rupa-rupanya UMNO ni takut juga doa Ulama-ulama orang-orang PAS. Bagi saya, Kalau pemimpin UMNO tak buat zalim, tak rasuah, tak seleweng wang rakyat, tak buat mungkar, tak hina dan tolak Hukum Islam. Apa yang nak dibimbangkan dan ditakuti kepada doa Ulama-ulamak dan Ahli PAS.

”Selama ni apa yang pimimpin-pemimpin UMNO dan bloggers-bloggers UMNO tak tuduh, tak fitnah, tak sesatkan PAS?

”Kenapa dok takut sangat? ke UMNO dok takut amaran Rasulullah. Sabda Rasul yang bermaksud:” Takutlah kamu doa orang-orang yang dizalimi, sekalipun orang yang dizalimi itu orang-orang kafir, kerana tidak ada hijab antara mereka dengan Allah.

”Ingatlah dan fahamilah wahai sahabat-sahabat ku ahli-ahli UMNO. Kami hanya mendoakan kehancuran UMNO BN saje, bukannya kehancuran ahli2 UMNO,” katanya dalam satu kenyataan.

Sumber : Ibn Bacoks

Isu Mat Yo: PBNJ Tunggu Surat Kafa

Posted by Unknown on 14 November 2012 | 0 komen pembaca | Leave a comment...

Oleh
NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
14 November 2012

PERSATUAN Bola Sepak Johor (PBNJ) belum menerima surat hitam putih daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengenai persetujuan melepaskan Norsharul Idlan Talaha menerusi "perpindahan biasa."

Menurut sumber, selagi belum menerima sebarang surat daripada Kafa, PBNJ tidak boleh mengulas mengenai isu tersebut.

"Buat masa ini, PBNJ masih belum menerima surat daripada Kafa.

"Lagipun, hari ini Johor cuti, jadi sama ada surat itu sudah sampai ataupun tidak belum pasti. Kita lihat macam mana nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa yang memberi masa tujuh hari kepada Johor membalas dan menerima tawaran perpindahan tersebut.

Semalam, Sinar Harian Online melaporkan bahawa Annuar bersetuju untuk melepaskan tonggak utama Harimau Malaya ke Johor menerusi "perpindahan biasa."

Bagaimanapun, perpindahan tersebut bersyarat dan mempunyai terma tertentu yang perlu dipatuhi Johor.

Mengumumkan perkara itu menerusi laman Facebooknya, Annuar berkata, pihak PBNJ mempunyai tempoh seminggu untuk menerima tawaran Kafa dan andai Johor menerimanya maka Mat Yo akan sah menjadi hak milik pasukan Harimau Selatan itu.


Sumber: Sinar Harian

Nurul Izzah Remehkan Isu Aqidah dan Murtad?

Posted by Unknown on 5 November 2012 | 0 komen pembaca | Leave a comment...

Oleh: Nusaybah Kaab


Akhbar Utusan Malaysia hari ini memaparkan kenyataan Nurul Izzah Anwar, berkenaan isu Islam dan masyarakat Melayu dalam satu forum bertajuk “Islamic State: Which version? Whose responsibility?”. Tajuk berita akhbar tersebut yang agak mengelirukan dan bertentangan dengan kenyataan sebenar Nurul Izzah menjadi antara topik hangat di media-media politik hari ini.

Akhbar perdana yang terkenal dengan pelbagai propaganda dan sangat diketahui umum sebagai akhbar pro-kerajaan itu memutar-belitkan kenyataan Nurul Izzah yang memetik maksud ayat 256 surah al-Baqarah di dalam al-Quran:

"Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

Nurul Izzah turut memberi penjelasan dalam blognya di sini berkenaan isu tersebut:-

Saya ucapkan terima kasih di atas pertanyaan lanjutan yang diterima setelah saya menghadiri satu forum bertajuk “Islamic State: Which version? Whose responsibility?” sebagai seorang panelis.

Sewaktu sesi soal jawab, salah satu soalan ditanya kepada saya berkait isu paksaan dalam agama melibatkan masyarakat Melayu. Jawapan saya menegaskan ungkapan – “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)….” – daripada ayat suci Al Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 256. Ungkapan ini merangkumi seluruh umat manusia.

Namun ditambah, saya berpegang pada pendirian umum sedia ada, iaitu setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan Syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan Perlembagaan Persekutuan.

Saya kesal kerana ada percubaan memutarbelitkan kenyataan saya seolah-olah saya meremehkan soal aqidah atau mudah menerima orang Islam yang memilih untuk murtad.

Saya cenderung mendukung program pendididkan dan daawah untuk memperkukuh aqidah dan meningkat kefahaman terhadap Islam.

Saya berdoa agar Allah SWT memberi petunjuk dan hidayah kepada semua, demi kesejahteraan bersama.

Nurul Izzah Anwar
4 November 2012

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Pemimpin Terulung Dunia Islam

Posted by Unknown on 20 Oktober 2012 | 0 komen pembaca | Leave a comment...

Hari ini, 20 Oktober 2012 bersamaan 4 Zulhijjah 1433H, genaplah usia Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang menginjak ke angka 65 tahun. Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang merupakan antara pemimpin besar dunia Islam yang berjiwa kental & bersemangat tinggi dalam memperjuangkan Daulah Islamiah di bumi bertuah bernama Malaysia pada hari ini bagi menentang kebobrokan agenda serta dakyah tinggalan penjajah kolonialis yang masih diamalkan sehingga kini.

Memulakan kariernya dengan menganggotai Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada tahun 1978, beliau tidak menoleh ke belakang, terus memacu dan memimpin jemaah sehingga ke satu tahap yang begitu membanggakan seperti mana saat ini. Beliau merupakan seorang negarawan Islam yang dikagumi oleh kawan yang berjiwa murni dan digeruni oleh pihak lawan yang berniat keji.

Sebagai ketua kepada sebuah pertubuhan Islam yang terbesar di Malaysia dengan keahlian mencecah lebih sejuta orang dan sebaris dengan pertubuhan Islam dunia seperti Hamas dan Ikhwanul Muslimin, cita-cita murni beliau untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi berteraskan Islam iaitu Amar Ma’ruf Nahi Mungkar sentiasa mekar di sanubarinya.

Konsep Negara Berkebajikan yang mahu dilaksanakan beliau, mendapat perhatian bukan sahaja mereka yang berada dalam negara, bahkan mendapat liputan meluas daripada pihak antarabangsa yang mahu melihat negara idaman bagi setiap umat itu menjadi suatu realiti. Hal ini menyebabkan semakin ramai daripada kalangan mereka yang bukan beragama Islam semakin tertarik dan menyatakan minat untuk bersama Parti Islam, suatu perkara yang boleh dikatakan mustahil pada dekad yang sebelumnya.

Penantian kepada suatu kebangkitan Islam sentiasa bermain di minda setiap pejuang Islam. Kejayaan rakan seperjuangan PAS seperti HAMAS di Palestin dan Ihkwanul Muslimin di Mesir serta yang terbaru MILF di Filipina menjadi pemangkin bahawa, negara seperti yang dimaksudkan beliau mampu direalisasikan menjelang pilihanraya umum Malaysia yang bakal berlaku pada bila-bila masa mulai dari sekarang. Inilah masa emas, masa yang terbaik, zaman kecemerlangan dan kegemilangan, yang bakal mengembalikan semula Tanah Melayu kepada suatu sistem atau pemerintahan yang bercirikan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar selepas era pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka, Kerajaan Johor – Riau & Kerajaan Islam Acheh sepertimana yang pernah tercatat di dalam buku Sulalatus Salatin, berhubung sejarah kegemilangan Islam di Tanah Melayu & Nusantara secara amnya.

Kami daripada Dewan Pemuda PAS Kawasan Pulai, bersiap siaga menantikan saat-saat sedemikian. Segala ilmu yang diajar dan dipelajari telah kami perturunkan dengan sebaiknya. Seperti kata sebahagian para cendekiawan Islam menyatakan bahawa Islam Akan Bangkit Dari Timur, begitulah iltizam kami yang senantiasa mengimpikan cita-cita itu menjadi realiti sepertimana janji ALLAH SWT, Islam akan kembali gemilang di akhir zaman. Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang adalah calon pemimpin yang terbaik untuk memimpin ummah menuju kejayaan tersebut. Malaysia atau Suvarnabhumi akan menjadi Tanah Emas yang sebenar selepas dikembalikan semula kepada Islam dan ia menjadi harapan jutaan pejuang lain di Asia Tenggara ini dan seantero dunia jua hendaknya. Kita bakal membina sejarah, sejarah kebangkitan Islam bermula di sini.

Kami para pejuang Islam di Johor sentiasa mendoakan semoga Tuan Guru diberikan kesihatan dan kekuatan oleh ALLAH SWT untuk terus memimpin kami sehingga mengecapi kejayaan di dunia dan di akhirat. Di dalam perjuangan Islam hanya ada dua sahaja keputusan iaitu sama ada menang atau gugur sebagai SyuhadaNYA, dan kami sudah bersedia. Salam ulangtahun yang ke 65 buat Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, dengan ingatan tulus dan ikhlas serta kasih dan sayang daripada kami di Dewan Pemuda PAS Kawasan Pulai.

Perjuangan kami sentiasa bersamamu. Takbir!

Oleh : Dewan Pemuda PAS Kawasan Pulai

Terbaru di Nusajaya Kini

Cari Blog Ini

Like Nusajaya Kini

Ruang Iklan

Fanpage Nusajaya Kini

Twitter Nusajaya Kini

Arkib

Jumlah Paparan Halaman

Daftar Ahli Blog Nusajaya Kini