Haramkan UMNO segera!
Posted by Unknown on 16 September 2011 | 0 komen pembaca
Semakin hari semakin banyak pembongkaran mengenai daftar pemilih dikhabarkan. Ini menunjukkan bahawa kepincangan memang berlaku dalam sistem tadbir urus di Malaysia. Hakikat pembongkaran ini harus diakui oleh semua penduduk di Malaysia. Itu dari segi daftar pemilih pilihanraya. Bagaimana pula mengenai pembongkaran yang baru disuluhkan baru-baru ini, yakni pembongkaran keahlian bertindih dalam sistem pemilihan parti UMNO?
Sejarah telah membuktikan pada tahun 1988 adalah simbol malapetaka bagi seluruh ahli UMNO di mana pada tahun itulah UMNO diharamkan dan selepas itu digantikan dengan kemunculan UMNO (baru) dalam daftar pertubuhan di Malaysia. Pengharaman ini berlaku disebabkan terjadinya beberapa kepincangan dalam undi pemilihan jawatan tertinggi UMNO (Presiden) yang ditandingi oleh Tun Mahathir Mohammad menentang Tengku Razaleigh Hamzah.
Kepincangan itu berlaku apabila mahkamah telah mengesan adanya cawangan yang tidak rasmi (belum didaftarkan) dan adanya undi dari pihak yang bukan ahli UMNO (atau undi hantu) yang turut mengundi dalam pemilihan Presiden tersebut. Implikasi daripada berlakunya kepincangan atau lebih tepat lagi keraguan tersebut maka mahkamah tinggi pada waktu itu telah mengharamkan UMNO sebagai parti yang berdaftar. Hal ini telah memberi ruang kepada Tun Mahathir Mohammad untuk menubuhkan UMNO (baru) sebagai landasan baru kepada ahli-ahli UMNO mengikut acuan Tun Mahathir.
Umum mungkin telah mengetahui akan peristiwa hitam bagi UMNO itu. Namun pada hari ini dapat kita pastikan setelah pembongkaran kad pengenalan klon yang dihebahkan baru-baru ini di mana masih berlakunya kepincangan dan keraguan dalam UMNO dengan terkesannya pendaftaran keahlian UMNO bertindih. Ini sekaligus membuka semula pekung UMNO untuk diharamkan sekali lagi.
Apakah Dato’ Seri Najib Tun Razak sah sebagai Presiden UMNO? Inilah persoalan yang mula bermain diminda semua rakyat khususnya ahli UMNO selepas pembongkaran daftar keahlian UMNO bertindih baru-baru ini. Secara logiknya memang tidak sah pemilihan yang telah dilakukan semasa pemilihan agung UMNO yang lepas. Bagaimana kita boleh mengiktiraf kemenangan sedangkan masih berlaku keraguan dan kecelaruan dalam pendaftar keahlian? Pasti akan ada ‘undi hantu’ dalam pemilihan baik diperingkat cawangan, bahagian, negeri mahupun di peringkat pemilihan tertinggi UMNO. Itu baru segelintir pembongkaran sahaja. Dan pembongkaran tersebut bukanlah dilakukan oleh ahli UMNO sendiri tetapi oleh orang yang luar UMNO. Betapa kepincangan itu terlalu nyata sehinggakan orang luar UMNO pun boleh mengetahuinya serta mengesannya.
Semasa kovensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) tempoh hari, kepimpinan UMNO begitu bersorak dengan mengatakan bahawa ada ‘undi hantu’ yang menjadi rencah dalam pemilihan pucuk pimpinan PKR. Namun sehingga hari ini ‘hantu’ yang dikatakan dalam PKR itu tidak kelihatan atau dikesan. Tetapi tempelaknya tercalit pada UMNO. Puas kepimpinan UMNO menafikan bahawa tidak ada keraguan dalam pemilihan mereka, tetapi akhirnya sudah terbukti pada hari ini. Keahlian bertindih, seorang penama memegang dua kad pengenalan dan dua nombor pendaftaran dalam keahlian UMNO terang didedahkan. Inilah yang dikatakan ‘kata dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih’.
Suruhanjaya pilihanraya (SPR) kuda kepang beremosi
Bagaimana Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) boleh terlepas pandang dengan perkara sebegini? Ini satu lagi persoalan yang timbul selepas pembongkaran ini dilakukan. Pengerusinya usah bernada dengan emosi semata dengan menyatakan ‘bahawa tidak ada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam dunia ini yang bersih’, cubalah membuat sedikit rujukan adakah benar pembongkaran atau pendedahan yang dilakukan walaupun ianya datang dari pihak mana sekalipun. SPR perlu mengesahkan tentang perkara ini. Adakah benar seperti yang dilaporkan tentang adanya daftar pemilih bertindih dan juga keahlian bertindih di dalam UMNO?
Jika SPR tidak tegas dalam melaksanakan kebenaran ini, bolehlah kita anggapkan bahawa SPR juga sebahagian dari kuda kepang UMNO dan Barisan Nasional yang mengikut rentak individu tertentu dan ‘takut’ dalam membuktikan kebenaran. Sebuah badan suruhanjaya haruslah bertindak bebas serta adil. Andai berlaku kepincangan dan keraguan perlulah diselesaikan dengan hemah bukan bercakap mengikut emosi seperti pengerusi SPR tempoh hari.
SPR bukan terletak di bawah penguasaan sesebuah kerajaan. Setiap suruhanjaya ianya bebas bagi melaksanakan setiap perkara tanpa menggira kawan atau lawan. Mengapa harus beremosi dalam menjawab pendedahan yang dilakukan oleh segelintir masyarakat untuk menyuarakan keraguan dan kemusykilan mereka. Ternyata bila didedahkan pula dengan kemunculan bahawa ada pengundi ‘hantu’ dalam pemilihan UMNO, SPR diam membisu. SPR perlu tahu, implikasi atau kesan terhadap pendedahan daftar ahli UMNO bertindih ini akan menyebabkan UMNO boleh diharamkan buat kali yang keduanya.
Sudahlah menjadi pengundi ‘hantu’ untuk Pilihanraya Umum (PRU) ada yang turut menjadi ‘hantu’ dalam pemilihan parti. Kepada seluruh ahli UMNO harap diperhatikan akan perkara ini. Kemungkinan Presiden parti, Timbalan, Naib, Majlis tertinggi serta seluruh kepimpinan UMNO termasuk kepimpinan sayap UMNO itu sendiri bukanlah individu yang mendapat majoriti atau mendapat sokongan penuh dari keahlian UMNO. Bagi yang jawatannya kecil, cuba-cuba perhatikan, kemungkinan Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian serta seluruh kepimpinan perhubungan negeri, bahagian dan cawagan kemungkinan bukanlah seorang pemimpin yang sejati (dipilih secara majoriti dari ahli) malah berkemungkinan ianya adalah pemimpin yang dipilih oleh ‘hantu-hantu’.
Kenyataannya semakin hari semakin terang. Ramai di kalangan ahli UMNO sendiri sudah mengeluh dengan kepincangan dalam parti tersebut sehinggakan terbitnya sebuah buku khusus untuk Dato’ Seri Najib Tun Razak bertajuk ‘Najib Perdana Menteri yang terakhir’ yang dikarang oleh ahli UMNO sendiri. Sejarah diadakan sebagai rujukan. Maka UMNO perlu segera diharamkan kerana berlaku keraguan dalam pendaftaran ahli parti tersebut seperti sejarah 1988.
AMNI JAGAT
DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN PULAI JOHOR
17 OGOS 2011
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**
0 komen pembaca for "Haramkan UMNO segera!"
Leave a reply