Pemuda PAS Desak Tubuh Jawatankuasa Bebas Menyiasat Pemberian Kad Pengenalan Secara Mudah Kepada Warga Asing
Posted by Unknown on 18 Oktober 2011 | 0 komen pembaca
Berikutan daripada kejadian 240 orang warga asing yang telah berkumpul di Istana Dugang Country Resort pada Rabu 12hb Oktober 2011, Pemuda PAS Malaysia telah mencurigai perkara-perkara berikut :
1. Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Imran Abdul Rahman telah menyatakan bahawa warga asing yang berkubu di Istana Dugang Country Resort adalah bertujuan untuk kursus keusahawanan adalah tidak konsisten dengan bukti dan keterangan saksi. Antara keterangan yang diperolehi adalah pertama tiada sebarang kursus pun diadakan dalam tempoh 5 jam tersebut dalam resort tersebut. Warga asing tersebut hanya mundar mandir dalam resort tersebut. Ini telah disahkan oleh petugas-petugas pemuda PAS yang berada dilokasi kejadian. Kedua tiada ekonomik suatu kursus dalam tempoh masa hanya 5 jam dengan jarak 800 KM pergi dan balik dari Johor Baharu ke Putrajaya untuk melatih 240 orang warga asing. Ketiga apakah keperluan untuk mengadakan kursus keusahawanan kepada warga asing yang tidak dibenarkan berniaga dalam negara ini. Justru pihak polis seolah-olah melindungi pihak-pihak tertentu dalam kejadian yang berlaku ini.
2. Menurut saksi kejadian terdapat ikrar yang telah dibacakan tanpa mengunakan microfon dalam bas yang memberi maksud bahawa kad pengenalan biru akan diberikan dan diminta mengundi parti kerajaan yang memerintah.
3. Menurut saksi kejadian terdapat seorang wanita yang memakai jaket Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) telah menaiki bas daripada hentian Rawat & Rehat, Kulai. Beliau telah memberi taklimat tertentu di dalam bas tanpa menggunakan microfon. Tetapi beliau tidak bersama kumpulan warga asing ini semasa di Istana Dugang Country Resort.
4. Menurut saksi kejadian arah perjalanan warga asing ini sering berubah-ubah. Mulanya atas tujuan mesyuarat di Putrajaya. Kemudian ada uru-ura dipecahkan dibeberapa lokasi di Johor. Apabila sampai di Putrajaya mereka berpusing-pusing di Putrajaya dan akhirnya di arahkan ke Istana Dugang Country Resort.
5. Menteri Dalam Negeri Datuk Hishmuddin Tun Hussin seolah-olah lepas tangan dalam isu ini dengan kononnya mahu menyerahkan kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkaitan pilihan raya dan SPR. Pemuda PAS berpendapat bahawa Jawatankuasa Terpilih Parlimen ditubuhkan untuk memperbaiki sistem perjalanan pilihanraya di negara ini bukannya bertujuan untuk memperbaiki sistem permohonan kad pengenalan warga asing yang melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara. Menteri Dalam Negeri juga tidak mengetahui apa tujuan 240 orang warga asing tersebut berada di Istana Dugang Country Resort sedangkan Ketua Polis Daerah Sepang mengetahui tujuan mereka berada di situ. Ini memberi isyarat bahawa Menteri Dalam Negeri seolah-olah melindungi pihak-pihak tertentu dalam hal yang berkaitan dengan mempermudahkan pemberian kad pengenalan kepada warga asing bagi tujuan-tujuan tertentu.
Berdasarkan kepada penyatan-penyataan di atas maka Pemuda PAS mendesak agar pihak kerajaan menubuhkan suatu badan penyiasat bebas menyiasat kejadian yang berlaku pada 11hb Oktober 2011 dan 12hb Oktober 2011. Semua pihak yang terbabit mesti dipanggil seperti pengusaha Istana Dugang Country Resort, penganjur program, warga asing yang terbabit, pemandu bas, pemuda PAS, pihak polis dan lain-lain pihak. Walaubagaimana pun Pemuda PAS mahu ada satu jaminan bahawa semua pihak diberi kebebasan untuk memberi keterangan kepada jawatankuasa bebas ini bukannya mereka di paksa untuk menyatakan sesuatu yang tidak benar. Kementerian dalam Negeri (KDN), Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) dan agensi yang berkaitan dengan permohonan kewarganegaraan tidak perlu terlibat dalam Jawatankuasa bebas ini. Pemuda PAS akan menghantar satu memorandum kepada Ahli Parlimen berkaitan isu ini pada isnin 24hb Oktober 2011 jam 11 tengahari.
SUHAIZAN BIN KAIAT
PENGERUSI PEMULIHAN DEMOKRASI & MOBILISASI
PEMUDA PAS MALAYSIA.
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**
0 komen pembaca for "Pemuda PAS Desak Tubuh Jawatankuasa Bebas Menyiasat Pemberian Kad Pengenalan Secara Mudah Kepada Warga Asing"
Leave a reply