Selamatkan Malaysia Dalam Himpunan BERSIH 3.0
Posted by Unknown on 18 Oktober 2011 | 0 komen pembaca
Tak kiralah tarikhnya bila, tapi yang penting Malaysia harus diselamatkan. Kerajaan Malaysia hari ini harus ditegur dengan cara yang lebih berkesan. Himpunan adalah medium yang terbaik untuk menyedarkan pemimpin Malaysia tentang hak rakyat sebagai warga negara.
Isu-isu yang berbangkit setiap hari menunjukkan graf pentadbiran kepimpinan di Malaysia semakin parah. Isu seperti pemberian kerakyataan kepada warga asing dengan mudah serta isu warga asing yang ada hak untuk mengundi adalah cermin betapa kotor dan tirisnya rasa cinta pada negara di kalangan pemimpin.
Dalam artikel saya yang tersiar di portal Harakah Daily yang bertajuk ‘Kerakyatan Malaysia seperti membeli ikan di pasar’, saya telah mengariskan beberapa perkara yang sebenarnya songsang dalam sistem penerimaan terhadap warga asing sebagai rakyat di Malaysia.
Isu seperti isu Mismah masih tidak berjaya ditangani dari pihak pemimpin negara dengan baik. Sehingga kini kenyataan Mismah yang tidak mengaku pernah mengisi borang sebagai daftar pemilih masih belum terjawab.
Dalam isu yang terbaru, tujuh buah bas yang dipercayai mengangkut penumpang warga asing untuk mengambil ‘Mykad’ di Putrajaya berjaya dikesan. Segala dokumen telah ada di tangan setiap seorang warga asing tersebut untuk menerima ‘Mykad’secara remeh. Namun perkara ini telah dinafikan oleh pihak berkuasa Polis.
Pengadaian atau pelacuran terhadap maruah negara ini perlu dibendung. Ini kerana mereka yang melakukan pengadaian atau pelacuran ini adalah mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap semangat patriotisme dan perasaan cintakan negara hanya untuk memastikan kerusi kepimpinan yang mereka kecapi tidak terlepas.
Bencana ini adalah prioriti serius yang sedang menghantui rakyat Malaysia. Pencabulan undang-undang kewarganegaraan ini akan memberi impak yang negatif terhadap negara.
Sudah pasti semangat cintakan negara akan pudar jika penerimaan terhadap warga asing yang bukan berasal dari Malaysia ini menjadi rakyat di Malaysia. Ruang-ruang pekerjaan akan menjadi semakin sempit dan rakyat harus bersaing dengan warga asing tersebut.
Bulan September yang lalu, Perdana Menteri Bangladesh dalam kenyataannya telah memaklumkan terdapat ramai rakyat Bangladesh diberikan hak kerakyataan di Malaysia.
Kenyataan Menteri Dalam Negeri baru-baru ini yang berhasrat untuk bertemu dengan Perdana Menteri Bangladesh bagi mencari jawapan akan persoalan yang telah dikemukakan dari pihak negara Islam itu, masih belum direalisasikan. Persoalan ini terus dibisukan tanpa jawapan konkrit dari pihak Malaysia.
Walhasil dari kebisuan itu, suara rakyat sekali lagi bakal menjadi suara keramat untuk menegur kepimpinan negara agar maruah Malaysia dapat dipertahankan. Kritikan pernah dieksistensikan sewaktu himpunan BERSIH 2.0 bulan Julai yang lalu diadakan di ibu kota.
Ada juga yang mengeluh kerana berlaku kesesakan yang dahsyat sehingga Ibrahim Ali pun tidak dapat sampai dan masuk ke ibu kota Kuala Lumpur. Tetapi implikasi dari sokongan itulah yang membuatkan Suruhanjaya Pilihanraya bertindak ‘kononnya' membersihkan seramai 40,000 nama-nama dalam daftar pemilih.
Konklusi dari itu, maka himpunan besar seperti BERSIH 2.0 patut diadakan semula. Kali ini sasarannya adalah untuk menyelamatkan Malaysia dari longgokan warga asing yang diberi kerakyatan secara membuta tuli dan diberikan hak untuk membuang undi sewaktu Pilhanraya Umum (PRU) akan datang.
Inilah medan sejarah hitam yang perlu dijernihkan. Semangat kenegaraan semakin pudar di hati pemimpin-pemimpin negara waktu ini. Longgokan warga asing yang mudah menerima kerakyatan negara ini perlu ditangani dengan segera.
Ia bukan untuk menyelamatkan sesuatu fahaman atau kuasa politik, tetapi ia bertujuan menyelamatkan negara yang kita cintai yakni Malaysia ‘tanah tumpahnya darahku’.
Sejarah telah membuktikan penglibatan profesional, para intelektual dan rakyat marhaen telah berjaya merubah sistem pendidikan yang menindas sewaktu GMP (Gerakan mansuh PPSMI) dengan cara turun ke jalan raya. Implikasi dari himpunan itu, pada tahun 2012, PPSMI akan dimansuhkan.
Sejarah himpunan GMI (Gerakan mansuh ISA) dan GERAM (Gerakan rakyat anti manipulasi minyak) telah berjaya merubah sistem pentadbiran untuk lebih memfokus kepada kehendak rakyat.
Hari ini hasilnya, ISA akan dimansuhkan dan GERAMM yang menentang kenaikan harga minyak waktu itu telah berjaya didengari oleh pemimpin dengan menurunkan semula harga minyak pada paras yang tidak terlalu membebankan rakyat keseluruhannya.
Tamadun sesebuah negara akan pupus dengan adanya pemimpin yang tidak pernah menghiraukan kesan buruk yang berlaku demi mencapai cita-cita peribadi mereka. Di dalam buku ‘Il prinsiple’ atau ‘Sang Penguasa’ karya Niccolo Macheavelli, beliau telah menggariskan kata-katanya yang menyebut:
‘Yang sangat penting ialah bahwa ia melakukan segala sesuatu yang perlu untuk mempertahankan kekuasaannya. Kerana itu segala jalan yang haram dihalalkan demi mencapai tujuan (cita-cita dan matlamat).’
Paus Niccolo Macheavelli (Tanggal 1532M)
Fahaman Macheavellis inilah yang sedang bertakhta di minda pemimpin-pemimpin di Malaysia. Semangat demi agama, bangsa dan negara perlu digadaikan bagi mencapai matlamat peribadi mereka.
Dengan itu, suara kebangkitan rakyat amat diperlukan untuk mempertahankan hak mereka sebagai warga negara demi mempertahankan semangat kecintaan terhadap negara Malaysia. Rakyat perlu bersedia bila-bila masa sahaja untuk bersama menyertai himpunan BERSIH 3.0 andai ia dilaksanakan.
AMNI JAGAT
18 Zulkaedah 1432 / 16 Oktober 2011
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**
0 komen pembaca for "Selamatkan Malaysia Dalam Himpunan BERSIH 3.0"
Leave a reply