PASTI Gelang Patah Terbaik di Johor Selama Dua Tahun
Posted by Unknown on 17 November 2011 | 0 komen pembaca
Gelang Patah, 13 Nov - Penaung Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) kawasan Gelang Patah, Ustaz Sallehuddin bin Dahiran, dalam majlis Hari Anugerah Kecemerlangan dan Penyampaian Sijil PASTI kawasan Gelang Patah kali ke-17, berkata, "Pencapaian PASTI Gelang Patah adalah yang terbaik dan nombor satu di Johor selama dua tahun berturut-turut."
Atas kecemerlangan tersebut, beliau yang juga merupakan Timbalan YDP PAS kawasan Gelang Patah mengucapkan tahniah kepada murid-murid yang berjaya. Ucapan terima kasih turut diberikan kepada guru-guru, ibu bapa dan para penggerak PASTI atas kesungguhan memastikan anak-anak pendokong Islam menerima pembelajaran yang terbaik.
Majlis tersebut yang dimulakan dengan bacaan ayat lazim ad-Dhuha oleh adik Muhammad Nuriman bin Mohd. Ridzuan dari PASTI Siswa 1, diadakan di Goodhope Hotel, Johor dengan kehadiran hampir 600 orang tidak termasuk murid-murid PASTI. Persembahan nasyid, boria, pelbagai jenis nyanyian dan lakonan serta aktiviti berbalas pantun turut disampaikan oleh murid-murid dari setiap PASTI kawasan Gelang Patah sebelum sesi penyampaian sijil dan anugerah akademik.
Hadiah Murid Harapan Keseluruhan bagi tahun 2011 dimenangi oleh adik Nur Zafirah binti Mohd. Shafry dari PASTI Siswa 2, manakala Hadiah Murid Cemerlang Keseluruhan bagi tahun 2011 pula dirangkul oleh adik Amer Haziq bin Hiswandi dari PASTI ar-Rahman 1. Pendaftaran PASTI untuk kemasukan tahun hadapan sudah mula dibuka kepada ibu bapa yang mahu mendaftarkan anak masing-masing dengan bayaran yuran RM 80 sebulan.
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**
0 komen pembaca for "PASTI Gelang Patah Terbaik di Johor Selama Dua Tahun"
Leave a reply