Ijtimak Tarbawi vs konsert Elton John
Posted by Unknown on 10 November 2011 | 0 komen pembaca
Saya adalah salah seorang peserta Ijtimak Tarbawi Pemuda Pas Pusat yang berlangsung pada 28 hingga 30 Oktober yang lalu. Saya mewakili kawasan Parit Sulong. Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang telah mengizinkan saya menyertai program tersebut yang dibuat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUISZM) Taman Melewar Selangor.
Banyak ilmu, nasihat dan pandangan yang telah diberikan oleh ahli panel. Dimulai dengan kuliah Maghrib oleh Mursyidul Am Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dan diakhiri dengan Taakul Surah As Saf oleh Tuan Presiden YB Tuan Guru Haji Hadi Awang.
Semua ahli panel telah menyampaikan ucapan dan ceramah mereka dengan baik. Mereka terdiri daripada pimpinan Pemuda Pas Pusat Ustaz Nasarudin Tantawi dan Pengarah Ijtimak iaitu Ustaz Nik Abduh.
Pimpinan Pas Pusat juga turut mencurah ilmu dan pandangan seperti, YB Salahudin Ayub, YB Mahfuz Omar, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ustaz Idris Ahmad (sekadar menyebut beberapa nama). Turut serta ialah wakil dari Hamas dan Ikhwanul Muslimin Mesir.
Malahan terdapat juga ingatan dan teguran seperti teguran daripada Pengarah Pilihanraya Pemuda Pas Pusat, saudara Sany Hamzah yang mengingatkan pemuda agar bersiap siaga menghadapi pilihanraya yang bakal tiba.
Ini ditambah dengan fakta-fakta yang jarang diketahui umum yang disampaikan oleh Ustaz Fadil Ghani .
Di dalam ucapan penutup Ketua Pemuda, Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi, beliau telah memberi jawapan kepada komen yang dilemparkan oleh bekas mufti Perlis Dr. Asri Zainul Abidin yang mengatakan Pemuda Pas jangan menjadi seperti Taliban yang bersikap keras dalam usaha mereka untuk menegakkan Islam.
KP mengutarakan perkara berkenaan akidah dan akhlak songsang yang bakal terjadi kepada anak muda Islam di negara ini. Sebagai contoh, seorang peminat bolasepak pasti akan mengikut imej, personaliti dan gaya hidup pemain bolasepak pujaan mereka.
Selain daripada penjelasan KP Ustaz Nasarudin dan hujah sokongan oleh Pemuda Pas Pahang, saya ingin melontarkan beberapa perbandingan sebagai renungan semua.
Pertama, InsyaAllah Ijtimak Tarbawi yang diadakan itu mendapat kunjungan dan doa para malaikat Allah. Manakala konsert hiburan Elton John pastinya mengundang kemurkaan Allah. Ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW.
Kedua, Ijtimak Tarbawi mengandungi ilmu, pengetahuan, pandangan, fakta dan saranan bernas daripada ahli panel di mana para peserta dapat bertukar-tukar pandangan tetapi konsert Elton John dikhuatiri para penontonnya akan bertukar-tukar pasangan pula.
Ketiga, Ijtimak Tarbawi juga mengumpul dana untuk kebaikan dan kebajikan seperti tabung Palestin, anak-anak yatim, amal, pembinaan masjid, madrasah dan sekolah agama tetapi konsert Elton John duitnya mengalir ke arah kemungkaran.
Kepada Dr. Asri, marilah bersama dengan jemaah Pas di dalam menegakkan syariat Islam seperti Firman Allah di dalam surah As Saff yang disampaikan oleh Tuan Guru Presiden sebelum majlis penutup, “Sesungguhnya Allah Ta‘ala menyintai hamba-hambanya yang berjihad pada jalan Allah melalui Saff yang tersusun seperti mana bangunan yang kukuh.”
Begitu juga dengan Saidina Umar Al Khattab yang mempunyai kekuatan separuh pemuda Mekah telah melimpahkan segala kudrat dan ilmu beliau ke jalan Allah mengikut pimpinan Rasulullah SAW, walaupun beliau mampu untuk mengharunginya seorang diri.
Malanglah rasa sekiranya Dr. Asri yang mempunyai kekuatan ilmu, hujah dan pengalaman yang mampu menggegarkan kejahilan manusia tetapi hanya bertindak sendirian.
Wali Loro,
Parit Sulong
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**
0 komen pembaca for "Ijtimak Tarbawi vs konsert Elton John"
Leave a reply