BlogList Malaysia

Selatan Online

Bila Genta Barat Membunuh Malaysia

Posted by Unknown on 14 Mei 2012 | 0 komen pembaca


 Bicara Kolumnis: AMNI JAGAT

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baru Dr. Awang Sariyan pernah mengatakan bahasa Inggeris adalah ‘bahasa penjajah’. Perkara itu juga disambung ulas oleh bekas pengarah DBP Dato’ Hassan Ahmad di dalam buku ‘Ke Luar Jendela’.

Ada yang berpendapat pandangan itu agak fundamental, tetapi melalui pandangan yang berbentuk nalar, memang ia adalah kesanan yang benar. Perebakan bahasa selain bahasa Inggeris adalah dengan cara ketamadunan sesuatu bahasa yang mengabstrakkan dunia melalui budaya dan daya saing mereka.

Berbeza dalam struktur kolonial yang banyak mengajak manusia tanah jajahan mereka menggunakan bahasa mereka seperti bahasa Inggeris dengan cara paksaan. Malaysia adalah sebuah negara yang tergolong sebagai mangsa paksaan bahasa dalam era kolonialisasi.

Itu di era kolonialisasi, tetapi hakikatnya kini Malaysia sudah pun mencapai kemerdekaan. Bila sebut sahaja soal kemerdekaan pastinya ia haruslah bebas dalam mengurus tadbir sistem pemerintahannya sendiri dan tidak bergantung kepada kolonial yang telah ‘pulang’.

Tidak sepatutnya rasional yang dilakukan oleh sesebuah pemerintah di Malaysia yang masih menggunakan bahasa selain bahasa kebangsaan untuk diangkat sebagai bahasa resmi. Ini sama sekali bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia (artikel 152).

Bahasa Melayu adalah bahasa resmi negara. Tidak ada persoalan yang harus dipertikaikan lagi. Baik dari segi apapun, bahasa utama negara adalah bahasa resmi kebangsaan. Ternyata ramai hari ini yang terlepas pandangan mengenai perkara yang kian pupus ini.

Di Astro Awani baru-baru ini telah mengadakan sebuah rancangan yang bertajuk ‘Meja Bulat Merdeka Awards’ benar-benar mendukacitakan penonton apatah lagi pencinta bahasa. Kononnya program itu berunsur sebuah program ilmiah.

Namun hakikatnya program itu sebenarnya telah menunjukkan betapa kurangnya kesedaran awam tentang masalah penggunaan bahasa. Hosnya yang bernama Bettina Khan tidak langsung menyebut walau sebutir perkataan dalam bahasa Melayu.

Ini adalah sebuah eksistensi yang terlalu membebalkan pemikiran rakyat Malaysia untuk mengenali mandiri mereka sebagai seorang rakyat di Malaysia. Program tersebut disiarkan pada setiap minggu dengan menjemput tokoh-tokoh penerima anugerah ‘Merdeka Awards’.

Tidak akan datang nalarnya program tersebut apabila jatidiri awal-awal lagi telah dikorbankan dengan membidik bahasa Inggeris sepanjang program itu berlangsung. Dengarnya, anugerah ‘Merdeka Awards’ itu adalah anugerah yang tertinggi di Malaysia.

Ia seola-olah sama dengan anugerah Noble dunia tetapi ini dikhususkan kepada Malaysia sahaja. Anugerah itu sebenarnya bagus tetapi nama anugerah itu tidak menunjukkan langsung jatidiri sebuah negara yang beremansipasi.

Merdeka Awards kalau dilihat dari sudut yang lain, anugerah yang berbahasa rojak. Sebetulnya ‘Independent Awards’ atau dalam bahasa Melayunya ‘Anugerah Merdeka’. Tidak bererti merdeka bila pemikiran masih dibelenggu dengan sistem imperialis.

Dalam buku ‘Ke Luar Jendela’, Hassan Ahmad banyak menegaskan peri penting bahasa untuk membentuk satu resolusi peradaban sebagai sebuah negara yang bertamadun.

Masih saya teringat lagi apabila di dalam buku tersebut ada berlaku satu peristiwa di mana Hassan Ahmad menceritakan dia menegur seorang penyambut tetamu di sebuah hotel yang menyambutnya dengan bahasa Inggeris di Malaysia.

Dalam buku itu juga menceritakan bagaimana perasaan sedih serta marah dengan nama-nama bangunan yang tersergam indah di ibu kota Malaysia tetapi sayangnya semuanya disebut bukan dalam bahasa Melayu.

Perkara ini disoroti dengan himpunan mega suatu ketika dulu, desakan para pejuang bahasa akhirnya membuahkan hasil dalam himpunan GMP (Gerakan Mansuhkan PPSMI) sehingga melahirkan seorang tokoh terkemuka juga pejuang bahasa yakni A. Samad Said.

Pendeta Za’aba juga adalah salah seorang pejuang bahasa yang berjaya mengangkat martabat bahasa Melayu sehingga menjadi bahasa ketiga dunia sekitar tahun 60an. Alangkah sayangnya para pemerintah aristokrat pada hari ini seperti mempersendakan perjuangan para ahli bahasa.

Perkara-perkara di atas adalah sebagai manifestasi disharmoni antara pemikiran seorang pengamal bahasa dengan pemerintah fasis. Ini membicarakan soal gerak perjuangan bahasa seperti dilihat lesu oleh pihak pemerintah selama ini.

Sebuah anugerah yang paling berprestij di Malaysia menggunakan bahasa luar sebagai penamanya. Bahasa Melayu makin terpinggir di sisi buminya sendiri. Inilah salah satu budaya imperialis barat yang berjaya membunuh sebuah jatidiri kenegaraan bernama Malaysia.

Pejuang serta pengamal bahasa seperti Dinsman, Hasni Abas, SN Anwar Ridhwan, Lutfi Othman, Sayuti Omar, Shukur Harun, SN Muhammad Haji Salleh dan ramai lagi telah banyak berkeruh memberi buah fikiran.

Hujungnya, tetap kuasa politik aristokrat yang terus menguasai dengan hanya bertitah kononnya untuk ‘global’. Jepun, Indonesia, negara-negara Arab, Perancis, Jerman, Russia, China juga ‘global’ tapi tidak pun menghilangkan jatidiri mereka sebagai sebuah negara merdeka.

Bahasa adalah sebuah jatidiri negara yang mandiri. Ia adalah sebuah tamadun yang memberitahu bahawa negara itu sudah beremansipasi tanpa pengaruh kolonial. Penjajah sudah pulang apakah anak didik penjajah masih terus menerus mengadakan resmi penjajah di negara ini?

Inilah golongan perosak seumpama api dalam serkam yang bila-bila masa sahaja boleh membunuh sebuah negara berdaulat yakni Malaysia dengan pembutaan jatidiri kebangsaan.   

**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**



PENAFIAN DAN PERINGATAN - Ini merupakan web rasmi Nusajaya Kini. Semua artikel di sini adalah hak mutlak Nusajaya Kini, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika diletakkan nama pemiliknya. Semua gambar di web ini adalah hak milik Nusajaya Kini dan juga ehsan dari Google. Nusajaya Kini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Sebarang pertanyaan dan pendapat boleh dikemukakan terus melalui email kepada kami di nusajayakini@gmail.com


Kongsikan pandangan anda


0 komen pembaca for "Bila Genta Barat Membunuh Malaysia"

Leave a reply

Terbaru di Nusajaya Kini

Cari Blog Ini

Like Nusajaya Kini

Ruang Iklan

Fanpage Nusajaya Kini

Twitter Nusajaya Kini

Arkib

Jumlah Paparan Halaman

Daftar Ahli Blog Nusajaya Kini