BlogList Malaysia

Selatan Online

Irshad Manji diharamkan, Najib dan Mahathir bila lagi?

Posted by Unknown on 6 Jun 2012 | 0 komen pembaca


Bicara Kolumnis : AMNI JAGAT

Buku ‘Allah, kebebasan dan cinta’ telah ditarik balik penerbitannya baru-baru ini. Tahniah kepada jabatan-jabatan yang prihatin dan bertanggungjawab dalam menjaga hak agama Islam di Malaysia dalam menangani isu ini dengan baik.

Irshad Manji pun secara tiba-tiba meletup namanya implikasi dari apa yang berlaku terhadap karyanya. Seluruh majlis agama mengambil bahagian sehingga habis toko-toko buku digeledah bagi mencari buku tersebut.

Teringat saya suatu masa dulu di mana novel ‘Shit’ karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad diharamkan. Teringat pula peristiwa di zaman ‘Black Metal’ diharamkan sehinggakan kumpulan Metallica pun dituduh sebagai kumpulan yang berunsur muzik ‘Black Metal’.

Memang bernas semua tindakan dilakukan demi menjaga kepentingan agama Islam sebagai agama yang suci. Tahniah sekali lagi kepada Majlis Fatwa yang cepat bereaksi dalam kes seperti buku Irshad Manji tersebut walaupun majlis itu nampak seperti suam-suam kuku.

Tindakan demi tindakan ini cukup memberangsangkan. Jabatan Agama Islam di seluruh negeri seperti mencari harta karun sewaktu mengeledah toko-toko buku. Hebat ternyata memang hebat apatah lagi tindakan yang dilakukan itu adalah perintah dari ‘pihak atasan’.

Persoalannya mengapa hanya Irshad Manji sahaja yang diambil tindakan? Mana perginya kekebalan Majlis Fatwa dalam hal-hal yang lain bila ia terang-terang menentang dan menghina Islam?

Tak perlulah dicontohkan, buka mata lihat, pasang telinga dengar, buka mulut berkata benar. Takkanlah majlis agamawan tidak membaca surah Al-Baqarah serta maksudnya. Agak malulah jika hari ini artis yang mulai bertudung bercakap soal agama lebih fasih dari para majlis agama.

Bila timbul soal karya yang terpesong cepat sahaja diiktiraf sebagai haram. Bagaimana jika kenyataan dari pemimpin yang memesong? Cuba haramkan pemimpin tersebut. Berani kerana benar takut kerana salah.

Jangan menuduh atau menghukum sebelum menceburi ilmu tersebut. Jika Irshad Manji diharamkan sepatutnya pihak majlis agama mengharamkan juga kata-kata yang dikeluarkan dari bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohammad yang terang-terang menentang Hudud.

Samalah juga kenyataan yang dilemparkan oleh Perdana Menteri Malaysia Najib Razak yang turut sama mengeluarkan kenyataan mengenai ketidak relevanan Hudud pada masa ini. Persoalannya di mana Majlis Fatwa dan majlis agama setiap negeri serta mufti-mufti?

Ternyata hanya mufti Perlis sahaja yang berani mengeluarkan kenyataan menentang kenyataan perdana menteri dan bekas perdana menteri itu. Hairan juga, suara-suara majlis agama menjadi sunyi sejuta bahasa. Masih tidak sampaikah ilmu mengenai Hudud dalam Islam di sisi majlis agama?

Kenapa para majlis agama menjadi takut? Ada kepentingankah atau ada yang mengikut telunjuk para politikus sesat. Siapa yang bermasalah sebenarnya? Ini soal agama bukan soal politik. Apa status Irshad Manji yang majlis agama dahulukan?

Irshad Manji dituduh sebagai mengelirukan pandangan manusia terhadap Islam tetapi kenyataan bekas perdana menteri dan perdana menteri memang jelas menentang hukum Islam tersebut. Sepatutnya yang lebih diutamakan adalah kenyataan daripada dua pemimpin tersebut.

Dalam isu Himpunan Bersih 3.0, Majlis Fatwa hanya mengambil masa tidak lebih dari seminggu untuk mengeluarkan fatwa yang menyatakan himpunan berunsur keganasan adalah haram. Amboi begitu mudah dan cepat sekali mengeluarkan fatwa.

Apa sebenarnya yang berlaku pada majlis agama di Malaysia ini? Siapa sebenarnya yang menjadi penunggang untuk majlis-majlis agama tersebut? Mengapa perlu ada diskriminasi dalam soal hukum agama? Agama bukan milik sesuatu golongan manusia, ia milik semua.

Janganlah disebabkan kefasihan agama membuatkan majlis agama dan Majlis Fatwa boleh mengeluarkan fatwa sesuka hati. Agama tidak perlukan kepentingan. Dalam kes Irshad Manji majlis agama cepat mengambil tindakan, tapi apakah alasan sebenarnya?

Pertama, Irshad Manji tidak ada kuasa dan kepentingan di sisi pemerintahan negara. Kedua, Irshad Manji adalah individu yang turut terbabit dalam LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual and Transeksual) yang cuba disangkut pautkan dengan agenda politik kotor untuk menghentam individu-individu tertentu dalam Himpunan Bersih.

Ketiga, pengaruh Irshad Manji tidak begitu besar di Malaysia maka beranilah majlis agama mengambil tindakan. Inilah diskriminasi yang bakal meruntuhkan tembok akidah di hati umat Islam di Malaysia ini. Perkara seperti ini harus disingkirkan di minda majlis agama dan fatwa.

Haramkan juga sesiapa yang berani menghina Islam tidak kira siapa sekali pun dan besar mana pengaruh mereka. Janganlah tidak habis-habis menghentam Tok Guru Nik Abdul Aziz manusia pengamal ilmu fiqah. Lawan majlis agama adalah mereka yang menghina Islam bukan yang mengagungkan Islam.

Jadilah manusia yang adil. Tahniah dan terima kasih kepada majlis agama dan Majlis Fatwa kerana menyekang perebakan buku yang ditulis oleh Irshad Manji tersebut tetapi majlis agama dan Majlis Fatwa perlu mempertimbangkan juga kenyataan karut dari pemimpin-pemimpin seperti kenyataan Perdana Menteri dan bekas Perdana Menteri itu.

**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**



PENAFIAN DAN PERINGATAN - Ini merupakan web rasmi Nusajaya Kini. Semua artikel di sini adalah hak mutlak Nusajaya Kini, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika diletakkan nama pemiliknya. Semua gambar di web ini adalah hak milik Nusajaya Kini dan juga ehsan dari Google. Nusajaya Kini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Sebarang pertanyaan dan pendapat boleh dikemukakan terus melalui email kepada kami di nusajayakini@gmail.com


Kongsikan pandangan anda


0 komen pembaca for "Irshad Manji diharamkan, Najib dan Mahathir bila lagi?"

Leave a reply

Terbaru di Nusajaya Kini

Cari Blog Ini

Like Nusajaya Kini

Ruang Iklan

Fanpage Nusajaya Kini

Twitter Nusajaya Kini

Arkib

Jumlah Paparan Halaman

Daftar Ahli Blog Nusajaya Kini