Rapid: Apa lagi Umno BN nak sembunyi
Posted by Unknown on 20 September 2012 | 0 komen pembaca
KUALA LUMPUR - Apa lagi yang disembunyikan oleh kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) dalam isu pengambilan tanah rakyat di Pengerang, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mempersoalkan.
"Sebelum ini, kita didedahkan bahawa pengambilan tanah rakyat di Pengerang untuk projek Pembangunan Bersepadu Kilang Penapis dan Petrokimia (Rapid) tidak ikut prosedur dan perkara itu ternyata disembunyikan dari pengetahuan rakyat.
"Apa lagi yang disembunyikan oleh kerajaan Umno BN Johor pimpinan (Menteri Besar Datuk) Abdul Ghani (Othman)?" katanya.
Salahuddin mengingatkan Abdul Ghani supaya tidak menyembunyikan apa-apa perkara pun dari pengetahuan rakyat Pengerang, khususnya mereka yang terlibat dalam pengambilan tanah dan pemunggahan kubur keluarga dan saudara mara mereka.
"Walaupun cuba disembunyikan, Pakatan Rakyat (PR) termasuk jawatankuasa petugas PAS bagi menangani isu pengambilan tanah penduduk yang terlibat di kawasan Rapid akan membongkar satu demi satu supaya diketahui secara terbuka oleh rakyat," katanya.
Kerajaan Johor akan mengambil lebih dari 20,000 ekar tanah di Pengerang bagi pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) yang bernilai berbilion-bilion ringgit, dengan kira-kira 6,300 ekar daripada kawasan itu dimajukan Petronas untuk projek Rapid. PIPC mengandungi projek Rapid dan dan Terminal Petroleum Air Dalam Bebas.
Kira-kira 3,122 orang dari 927 keluarga terlibat dengan penempatan semula untuk projek itu. Salahuddin juga mengingatkan Abdul Ghani supaya tidak mengulangi apa yang berlaku dalam Akta IRDA 664 dahulu.
"Walaupun para mulanya berdiam diri dan boleh dianggap menyembunyikan fakta, akhirnya Abdul Ghani yang mengakui bahawa terdapat kemungkinan bahawa Akta IRDA 664 tidak digubal dengan tatacara sepatutnya," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.
Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris) pernah mendedahkan bahawa Akta IRDA 664 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang bercirikan demokrasi berpelembagaan kerana Akta IRDA 664 dan Pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) mengenepikan hak Bangsa Melayu, menggugat kesucian agama Islam dan mencabar kedaulatan Raja dan Negara.
Salahuddin berharap Abdul Ghani bersikap lebih telus terhadap kepentingan rakyat yang terlibat dalam projek PIPC itu dan jangan mengulangi sikap berdiam diri ketika Akta IRDA 664 mula-mula dibentangkan. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Pengerang, Kasran Abdullah sebelum ini menyatakan, kajian yang dijalankan November tahun lalu di tujuh kampung terbabit, menunjukkan 96 peratus penduduk membantah projek Rapid.
Penduduk terlibat malah mengadakan tunjuk perasaan membantah projek tersebut yang menurut mereka turut mengancam mata pencarian mereka. Selain itu, kira-kira 1,545 kubur orang Islam dan kira-kira 3,000 kubur orang Cina akan dipunggah dan dipindahkan untuk memberi laluan kepada projek itu.
Sumber : Harakahdaily
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**
0 komen pembaca for "Rapid: Apa lagi Umno BN nak sembunyi"
Leave a reply