RM600 Untuk Surirumah Dalam Agenda Wanita Malaysia PR
Posted by Unknown on 22 Januari 2013 | 0 komen pembaca
Oleh:
Nur Qurratun A'yun
Nusaybah Kaab
MUAR, 19 Januari 2013 - Perhimpunan Agenda Wanita Malaysia, Wanita Berdaya Negara Sejahtera, anjuran Pakatan Rakyat yang diadakan di Balai Islam Saidina Abu Bakar, Batu 2 1⁄2, Jalan Bakri, Muar berlangsung dengan suasana aman dengan kehadiran hampir 2, 000 orang penduduk di kalangan wanita dari pelbagai kawasan.
Majlis yang berkonsepkan hi-tea itu bertujuan menerangkan tentang 7 fokus Agenda Wanita Malaysia iaitu Dasar Pendidikan Celik dan Cerdik, Kelangsungan Kesihatan dan Hidup Berkualiti, Penglibatan dan Peluang Ekonomi, Kesejahteraan Sosial, Pendemokrasian Politik, Pemberdayaan dan Penguatkuasaaan Undang-undang dan Agenda Wanita Muda yang disampaikan oleh wakil-wakil dari PAS, PKR dan DAP.
“Semasa pelancaran di Sarawak, kita perhatikan ramai wanita yang hidup serba daif, anak dilahirkan di tepi jambatan, tetapi yang kaya hanyalah pemimpin. Hidup yang berkualiti perlu diterapkan. Kita akan adakan program-program memahirkan wanita dengan penubuhan Kolej Kemahiran Wanita. Surirumah-surirumah yang berpendapatan isirumah bawah RM1500, akan diberi RM600 setiap tahun sebagai caruman,” ujar YB Siti Zailah Mohd. Yusof selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia dalam ucaptamanya pada majlis tersebut.
Naib Ketua Wanita PKR, YB Gan Pei Nei menerangkan indeks-indeks negara dari segi pendidikan dan kesihatan berbanding dengan negara-negara luar. Pakatan Rakyat menawarkan RM5 billion untuk pembangunan wanita berbanding hanya RM500 juta yang ditawarkan oleh BN.
“Kita berhasrat mengubah sistem yang korup kepada yang beramanah. Di Selangor, wanita mendapat hak untuk bersuara dengan menampilkan 4 EXCO Wanita bersama 6 EXCO Lelaki. Kita akan berusaha untuk mendapatkan hak yang sama di Johor juga,” kata YB Gan Pei Nei.
Naib Pengerusi Wanita DAP Kebangsaan, YB Leong Mee Meng pula berkata, “AWM sebelum ini sudah dirasmikan di Pulau Pinang, Perak dan Pahang. Hampir separuh penduduk Malaysia terdiri daripada golongan wanita. Sejak BN menerajui, tiada polisi yang betul-betul menjaga wanita.”
Majlis dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, YB Salahuddin Ayub dengan ucapan syabas kepada wanita PR kerana walau apapun berlaku, PR tetap bersatu. Sumbangan turut diberikan oleh YB Siti Zailah Mohd. Yusof kepada beberapa orang wanita di kalangan penduduk yang memerlukan. Majlis diakhiri dengan bacaan ikrar yang diketuai oleh Hjh. Fatimah.
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**
0 komen pembaca for "RM600 Untuk Surirumah Dalam Agenda Wanita Malaysia PR"
Leave a reply