UTM Memperkenalkan 'Model Sayangku'
Posted by Unknown on 23 Januari 2013 | 0 komen pembaca
JOHOR BAHRU - Bimbang dengan peningkatan gejala buang bayi yang semakin berleluasa, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membina dan menghasilkan model Sayangku untuk menangani kes pergaulan bebas dalam kalangan golongan sasar.
Model diusahakan oleh pensyarah Fakulti Pendidikan, Dr Faizah Abd Ghani itu telah diuji kebolehpercayaan dan dilihat mampu menangani isu remaja terlibat dengan aktiviti penyimpangan seksual sebelum berkahwin.
Modul dalam Model Sayangku dibangunkan berlandaskan perspektif Islam dengan melihat kepada konsep utama iaitu sayang ALLAH, sayang Rasulullah, sayang kepada diri dan sayang umat.
Faizah berkata, terdapat empat sesi latihan bimbingan kelompok yang mengandungi 25 aktiviti disediakan dalam modul bagi model berkenaan.
“Keterlibatan remaja dalam aktiviti seks semakin meruncing dan memberi implikasi kepada gejala pengguguran, pembuangan bayi dan kelahiran anak tidak sah taraf.
“Ia perlu tindakan segera oleh pihak yang mempunyai kepakaran bagi mengatasinya dan UTM percaya penghasilan model Sayangku tepat pada ketika ini.
“Pengkaji menamakan modul ini sebagai model Sayangku untuk menyerapkan elemen sayang dalam konteks menyayangi ALLAH, Rasulullah, diri dan umat,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di UTM di sini, semalam.
Menurutnya, model Sayangku yang boleh didapati dalam bentuk kit dan e-Book adalah alat yang sesuai digunakan untuk membentuk celik kendiri selain memperbaiki diri.
“Ia sesuai digunakan dalam pendidikan, pencegahan dan rawatan kepada remaja terlibat dengan aktiviti seks. Model ini menekankan unsur-unsur kerohanian kepada transformasi personaliti Muslim sejati.
“Model ini telah disahkan oleh pakar iaitu Mufti Johor, Penolong Pengarah Masjid UTM dan dua pakar dari UTM serta Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Kami sudah menjalankan modul model ini kepada 30 remaja yang terlibat dengan aktiviti seks dan hasil dapatan kajian menunjukkan ia sangat membantu,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**
0 komen pembaca for "UTM Memperkenalkan 'Model Sayangku'"
Leave a reply