Mahfodz Minta DAP-PKR Johor Runding
Posted by Unknown on 21 Februari 2013 | 0 komen pembaca
JOHOR BAHRU - PAS Johor menyelar tindakan menghebahkan permasalahan parti kepada media dan menasihati konflik perebutan kerusi antara DAP dan PKR perlu diselesaikan secara meja bulat.
Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, kedua-dua parti yang bernaung di bawah PR itu perlu mencari jalan penyelesaian secara rundingan.
“Bagi saya kedua-dua pihak kena bertolak ansur, seperti apa yang dilakukan PAS yang bersedia menukar kerusi yang bakal ditandingi pada PRU13, di beberapa kawasan dengan rakan parti lain bagi mencapai situasi menang-menang.
“Apa yang penting perbezaan yang berlaku tidak perlu didedahkan kerana perkara ini tidak bagus yang akhirnya kita akan berlawan bersama menentang Barisan Nasional, bukan sesama sendiri. Ia juga beri imej kurang baik buat rakyat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Jelasnya, perebutan kerusi itu juga hanya membabitkan kerusi panas di Parlimen Gelang Patah yang dianggap boleh diselesaikan.
“Tidak dinafikan ia akan memberi kesan kepada orang ramai dan tahap keyakinan terhadap Pakatan Rakyat.
“Bagi PAS yang sebelum ini kita bertanding di 34 kerusi kini hanya tinggal 28/29 kerusi sahaja, tentunya kita tidak akan bersetuju sepenuhnya, namun ia dilakukan menerusi proses rundingan,” katanya.
Menurutnya, selaku senior dalam Pakatan Rakyat, dirinya juga tidak keberatan menjadi orang tengah bagi mencapai penyelesaian pergolakan DAP dan PKR, sekiranya khidmatnya diperlukan.
“Di peringkat negeri kita cuba berunding. Jika tidak berjaya, biar kepimpinan tertinggi PR pusat membuat keputusan mengenai perkara ini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**
0 komen pembaca for "Mahfodz Minta DAP-PKR Johor Runding"
Leave a reply