BlogList Malaysia

Selatan Online

Sampai Ke Liang Lahad Pun Melayu Masih Tidak Selamat

Posted by Unknown on 21 Februari 2013 | 0 komen pembaca


Kolumnis : AMNI JAGAT

Sudah lebih dua bulan berlalunya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra. Telah berkumandang dengan kuat dan gahnya slogan ‘Hidup Melayu’ sepanjang berlangsungnya perhimpunan itu. Lebih dari puluhan kali sebutan slogan itu disuarakan bukan sahaja dari peringkat perwakilan malah lebih gah lagi dari peringkat Majlis Tertinggi.

Hebat sungguh slogan ‘Hidup Melayu’ yang dilaungkan. Jika dilihat dari pecahan perkataan ‘Hidup Melayu’ itu dapatlah dihuraikan kepada beberapa perkara. Pertama hidup melayu bermaksud sesuatu yang selama ini mati lalu cuba dihidupkan kembali. Mati bukan bermaksud secara realitinya tetapi mungkin secara yang lebih dalaman atau imanginasi.

Mungkin sesuatu yang lebih dalam seperti semangat, sikap, sifat dan budaya hidup yang selama ini mati maka ia perlulah dihidupkan semula. Jadi slogan yang dilaungkan itu boleh dikonsepkan kepada sifat dalaman bangsa Melayu itu yang selama ini mati perlu dihidupkan semula.

Kedua, konsep slogan hidup melayu bolehlah diasaskan kepada sesuatu tekad yang membawa maksud pejagaan terhadap nasib bangsa Melayu itu agar terus terbela. Biasanya perkara ini dilakukan oleh mereka yang menjadi pejuang Melayu sebagai asas perjuangan mereka dan slogan hidup Melayu itu disemarakkan dengan semangat dan laungan yang jitu.

Perkara yang ketiga dalam membawa erti hidup Melayu ini adalah berkenaan dengan sesuatu perasaan puas hati atau lega dengan pencapaian bangsa Melayu dalam segala sudut atau faktor kehidupan. Contohnya pemikiran, ekonomi, sosial, akhlak, budaya, bahasa dan pemerintahan yang membawa kejayaan yang cemerlang sehingga slogan itu seolah-olah menyambut kekuatan berdaya saingnya bangsa Melayu itu.

Dari ketiga-tiga perkara ini dapatlah dihuraikan untuk mencari apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan slogan ‘Hidup Melayu’ yang bergema di dewan PAU tempoh hari? Adakah perkara pertama sebagai pengukurnya atau kedua dan ketiga? Yang mana satu?

Jika mengambil perkara yang pertama, apakah selama ini bangsa Melayu itu tidur dan jati diri mereka mati? Kalau itulah pilihan slogan itu dilaungkan maka, malulah menjadi sebuah parti dominan Melayu tetapi masih menyebut slogan tersebut. Hampir lima puluh enam tahun kemerdekaan dicapai, pemimpinnya Melayu, partinya Melayu dan Rajanya juga Melayu tetapi masih timbul soal melayu mati dalam usia lebih lima dekad itu.

Masihkah lagi menyebut soal menghidupkan Melayu? Mengambil kira soal perkara yang kedua, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Perkembar / UMNO) harus sedar slogan yang sekadar menaikkan semangat mereka itu adalah seperti tin yang diketuk desing bunyinya namun isinya kosong.

Bangsa Melayu hari ini melarat dan merempat di pinggir kota kerana kesempitan hidup adakah itu suatu kebanggaan dalam perjuangan kebangsaan selama ini? Bukan sahaja yang hidup malah bangsa Melayu yang sudah mati pun tetap tidak selamat dan tenteram. Perkara yang berlaku seperti kes di Penggerang Johor, tapak perkuburan Islam dipunggah untuk dipindahkan sehingga sanggup mengaibkan jenazah yang disemadikan di situ.

Kubur-kubur yang dipindahkan telah dikorek semula dan sisa jenazah seperti tulang dan sebagainya telah dibalut dengan kain putih serta dilonggokkan setempat di bawah sebatang pokok dan bercampur dengan sisa jenazah yang lain.

Perbuatan ini cukup tidak bermoral. Sensitiviti terhadap jenazah umat Islam tidak langsung dipandang oleh kontraktor yang diamanahkan oleh pihak kerajaan dalam menguruskan soal perpindahan kubur tersebut. Memang kalau dilihat salah ini terletak dibahu kontraktor. Tetapi pada dasarnya, pemantauan dari pihak kerajaan tidak begitu peka sehingga ada yang sanggup melakukan perbuatan sambil lewa itu berleluasa.

Kewajipan sebagai seorang umat Islam adalah dengan menutup aib si mati. Maka dengan perbuatan terkutuk itu dapat dihujahkan bahawa kerajaan sendiri sentiasa mengambil mudah dalam mengurus tadbir soal kematian sehingga sanggup membiarkan jenazah diaibkan sedemikian rupa.

Kerajaan negeri Johor yang diketuai oleh parti UMNO tidak langsung mengambil berat soal nasib bangsa Melayu. Tanah perkuburan Islam itu majoritinya berbangsa Melayu. Andai UMNO ingin mengambil berat soal semangat kebangsaan, maka perkara ini perlulah dicegah terlebih dahulu sebelum segala tindakan dan kerja dijalankan.

Menyebut soal perkara yang kedua di atas, jika benar parti yang melaungkan hidup Melayu itu betul-betul bersemangat untuk mempertahankan bangsanya sendiri, mengapa di sekitar bandaraya negeri Johor terutamanya sudah mulai kepupusan tempat kediaman bangsa Melayu? Bangsa Melayu di kawasan bandar negeri Johor sudah tidak mampu bersaing dengan kadar kehidupan yang memaksa mereka untuk terusir jauh ke kawasan pendalaman.

Mana tidaknya, rumah teres dua tingkat boleh mencecah harga hampir setengah juta. Apakah itu kemampuan bagi golongan bangsa Melayu sekitarnya? Ternyata bangsa Melayu makin terpinggir dengan kepesatan di bawah kepimpinan parti bangsa mereka sendiri. Bangsa Melayu hanya wujud di bandar dengan memenuhkan kawasan rumah pangsa bertaraf Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Perkara itu bukan suatu kebanggaan. Jika disebut dari soal jati diri sekali pun, parti UMNO sudah lari dari jati diri sebenar Melayu. United Malays Nation Organisation – bukanlah sebuah bahasa yang berteraskan bahasa Melayu. Itu bahasa Inggeris. Mengapa tidak menggunakan nama rasmi parti mereka dengan bahasa Melayu? Apa lebihnya bahasa Inggeris dalam memperjuangkan bangsa Melayu?

Ternyata banyak percanggahan dalam perjuangan yang berteraskan semangat kebangsaan yang diterapkan oleh parti UMNO. Memilih slogan ‘Hidup Melayu’ dalam perkara yang kedua itu ternyata jauh menyimpang dari matlamat asalnya.

Perkara yang ketiga dalam huraian slogan hidup Melayu. Slogan yang membawa maksud kepuasan dalam pencapaian bangsa Melayu itu sendiri. Hari ini bangsa Melayu adakah nyenyak tidur mereka? Jika tidak nyenyak itu bermaksud mereka runsing atau gelisah. Runsing dan gelisah adalah kata lawan bagi kepuasan atau kelegaan.

Adakah di pihak kepimpinan tertinggi Melayu sudah lega dan berpuas hati dengan apa yang telah dicapai bangsa mereka? Perkara ini sekaligus telah jauh menyimpang. Tahap daya saing bangsa Melayu hari ini jauh ketinggalan berbanding dengan bangsa yang lain.

Contoh soal ekonomi. Bila sebut sahaja soal ekonomi, bangsa Melayu hari ini boleh dikatakan jauh ketinggalan berbanding bangsa lain yang ada di Malaysia. Soal sosial juga memainkan peranan yang penting dalam kehidupan, adakah bangsa Melayu harus berbangga dengan gejala keruntuhan sosial yang berlaku? Dari anak yang baru dilahirkan sehinggalah kepada atuk yang akan kembali ke kuburan semuanya terbabit dengan gejala keruntuhan sosial.

Pemenang pingat emasnya adalah dari kalangan bangsa Melayu. Ternyata perkara yang ketiga dalam huraian slogan hidup Melayu ini juga tidak mencapai matlamatnya. Pemikiran bangsa Melayu yang semakin hari semakin sempit ini tidak membawa keuntungan yang secara luas dan hanya menguntungkan sesuatu pihak kecil sahaja seperti pemimpin.

Kesan dari kesempitan hidup dan pemikiran ini suatu hari nanti akan menjadikan tamadun bangsa Melayu terus ketinggalan dan akan hilang ditelan zaman. Kepupusan bangsa dunia selama ini telah menjadi bukti kukuh. Bangsa Red Indian, Apache, pribumi Afrika, Bushman, pribumi oceania dan pribumi yang lain telah menjadi contoh yang baik untuk direnungkan.

Jangan kata sewaktu hidup, sampai mati pun bangsa Melayu masih tidak aman dan selamat. Begitulah nasib bangsa yang terbesar di Malaysia ini yakni bangsa Melayu. ‘Hidup Melayu’ ternyata lebih mengutamakan kantung sesetengah golongan elit pemimpin sahaja tidak menyeluruh kepada seluruh bangsa Melayu.

Apa yang jelas, slogan ‘Hidup Melayu’ yang dilaungkan sewaktu PAU berlangsung bolehlah disama ertikan dengan pepatah Melayu, tin kosong yang deras bunyinya atau pepatah yang lebih keras dan kasar lagi seperti anjing menyalak bukit. Tindakan pemimpin Melayu yang menjerit slogan tersebut bolehlah disandarkan kepada maksud pepatah ‘telunjuk lurus kelengking berkait’.




**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**



PENAFIAN DAN PERINGATAN - Ini merupakan web rasmi Nusajaya Kini. Semua artikel di sini adalah hak mutlak Nusajaya Kini, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika diletakkan nama pemiliknya. Semua gambar di web ini adalah hak milik Nusajaya Kini dan juga ehsan dari Google. Nusajaya Kini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Sebarang pertanyaan dan pendapat boleh dikemukakan terus melalui email kepada kami di nusajayakini@gmail.com


Kongsikan pandangan anda


0 komen pembaca for "Sampai Ke Liang Lahad Pun Melayu Masih Tidak Selamat"

Leave a reply

Terbaru di Nusajaya Kini

Cari Blog Ini

Like Nusajaya Kini

Ruang Iklan

Fanpage Nusajaya Kini

Twitter Nusajaya Kini

Arkib

Jumlah Paparan Halaman

Daftar Ahli Blog Nusajaya Kini