Bau Aneh Disyaki Bau Gas Asli
Posted by Unknown on 8 Oktober 2012 | 0 komen pembaca
PENGERANG - Gabungan NGO Pengerang telah menerima aduan dari Penduduk Kampung Jawa, Kampung Batu Mas dan Sungai Kapal bahawa mereka terhidu bau yang aneh sekitar jam 12.00 tengah hari, Jumaat yang lalu.
Hasil siasatan, Ahli-ahli Jawatankuasa Gabungan NGO Pengerang mendapati bau aneh tersebut disyaki berpunca daripada bau gas asli.
Menurut salah seorang penduduk, beliau ternampak sebuah kapal berhenti di luar persisiran pantai Kampung Jawa. Bau aneh tersebut disyaki datangnya dari kapal tersebut, memandangkan pada masa itu angin bertiup menuju ke persisiran pantai. Bau aneh tersebut beransur hilang sekitar jam 6.00 petang pada hari yang sama.
Susulan dari kejadian terhidunya bau aneh ini, Anis Afida Mohd Azli berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera.
“Pihak berkuasa terutamanya Jabatan Laut perlu membuat siasatan terhadap bau aneh tersebut. Sama ada ianya berpunca dari persisiran Sungai Kapal atau dari tempat lain”, ujar beliau yang juga merupakan Pengerusi Gabungan NGO Pengerang.
Menurut beberapa orang pekerja penambakan Dialog Group Berhad pula, sekitar jam 1.30 petang pada hari yang sama, kelihatan sebuah ambulan hospital swasta bergerak keluar dari tempat penambakan. Difahamkan bahawa ada yang tidak selesa dan memerlukan perkhidmatan kecemasan telah berlaku.
Selain itu, banyak khabar angin telah tersebar bahawa kemalangan industri kerap berlaku sehingga ada yang meragut nyawa pekerja semenjak projek penambakan yang dijalankan oleh Dialog Group Berhad di persisiran Sungai Kapal ini. Kemalangan terakhir meragut nyawa di sini berlaku pada bulan Julai tahun ini.
“Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di kawasan penambakan ini. Bagi mengelakkan khabar angin tersebut terus tersebar sehingga menyebabkan penduduk sekitar menjadi panik, JKKP diharap dapat tampil memberi penjelasan terhadap perkara ini’, tegas beliau lagi.
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**
0 komen pembaca for " Bau Aneh Disyaki Bau Gas Asli "
Leave a reply