Menteri Pendidikan Bunuh Masa Depan Rakyat
Posted by Unknown on 13 Mac 2013 | 2 komen pembaca
Menonton Buletin Awani 10 Mac
yang lalu, saya dikejutkan dengan kenyataan berita yang bertajuk ‘Kemungkinan
besar bahasa Inggeris menjadi subjek wajib lulus di sekolah’. Rupanya masih
tidak reda isu perjuangan bahasa yang pernah memuncak di tahun 2009 dulu.
Tidak ada rasionalnya jika
bahasa Inggeris dijadikan subjek atau mata pelajaran wajib lulus di sekolah.
Perkara ini harus dikaji semula sebelum tindakan membuat keputusan yang melulu
tanpa berfikir panjang mengenai masa depan pelajar atau murid di sekolah.
Belum lagi selesai isu Pengajaran
dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), timbul pula
satu lagi agenda yang ingin merosakkan rumpun kewarganegaraan di Malaysia. Ini
suatu perkara yang tidak masuk akal.
Kerajaan tidak sepatutnya
mengutamakan bahasa Inggeris sebagai perkara yang wajib untuk penduduk di
Malaysia. Sepatutnya kerajaan harus bertindak tegas dalam melaksanakan
undang-undang untuk mencegah kehilangan bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) dalam
sektor swasta mahupun sektor awam, ini yang paling penting.
Lebih 90 peratus penduduk di
Malaysia hari ini terdiri dari golongan yang bukan menjadikan bahasa Inggeris
sebagai bahasa rasmi mereka, jadi apa relevannya bahasa itu dijadikan bahasa wajib
di Malaysia. Sepatutnya kita kena belajar dengan negara-negara maju seperti
Perancis, Jepun, Russia dan Jerman.
Negara-negara ini tidak sama
sekali menjadikan bahasa luar sebagai bahasa wajib mereka. Malah jika kita ke
negara mereka dan bertutur dalam bahasa luar selain bahasa rasmi mereka, pasti
mereka akan menyisihkan kita kerana mereka menganggap kita tidak menghormati
dasar negara mereka.
Sebagai warganegara Malaysia
kita harus berfikir untuk menyelamatkan masa depan pelajar bukan berfikir untuk
memenangkan sesuatu pihak yang sedikit atas kepentingan pihak yang kecil
tersebut. Perkara yang perlu ditegaskan di sini bukanlah menerima bahasa luar
sebagai bahasa wajib lulus tetapi yang harus dilakukan adalah persoalan memperkasakan
bahasa kebangsaan selepas tamat persekolahan.
Kalau dilihat di sektor-sektor
awam ataupun sektor swasta, sifat membudayakan bahasa Melayu dilihat pudar.
Mengambil contoh sebuah univesiti awam di Malaysia yang pelajarnya hampir keseluruhan
orang Melayu atau bumiputera. Universiti tersebut mengamalkan sistem
pembentangan kerja kursus dalam bahasa Inggeris bukan dalam bahasa kebangsaan
atau bahasa Melayu. Sedangkan seluruh pelajarnya terdiri daripada orang Melayu.
Ini perkara yang berlaku dalam
sistem pendidikan di bawah kementerian yang bermaksud ia adalah Institut
Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bukan swasta (IPTS). Sepatutnya ia haruslah memperkasakan
bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang wajib. Ini yang dinamakan
memartabatkan bahasa itu sendiri.
Disebabkan kelonggaran dalam
sistem memartabatkan bahasa Melayu, alasan untuk menjadikan bahasa Inggeris
sebagai mata pelajaran wajib lulus cuba dijalankan. Kekurangan kerja yang
menggunakan bahasa Melayu, kekurangan bahan bacaan dalam bahasa Melayu dan kekurangan
bidang pelajaran yang mengutamakan bahasa Melayu semuanya dijadikan alasan.
Kerajaan tidak patut mengalah
dengan keadaan sekiranya sektor pekerjaan tidak menjadikan bahasa Melayu
sebagai bahasa utama. Sebagai kerajaan yang prihatin, kerajaan seharusnya
bertindak untuk mengariskan kepada seluruh sektor pekerjaan awam mahupun swasta
yang tidak mengutamakan bahasa kebangsaan untuk mengutamakan bahasa tersebut.
Andai ada syarikat swasta dari
luar negara yang ingin membuka perniagaannya di Malaysia dan sekaligus membuka
ruang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, gariskan kepada mereka mengenai dasar
negara yakni mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara atau rasmi.
Dari sudut bahan ilmiah yang
tidak ada dalam bahasa Melayu. Di sini institusi perterjemahan harus memainkan
peranan penting untuk menterjemahkan seluruh bahan ilmiah dari luar ke dalam
bahasa Melayu.
Mengambil contoh keadaan di
zaman gelap eropah dulu, institusi penterjemahan memainkan peranan yang penting
untuk menterjemahkan seluruh bahan ilmiah dari
kerajaan Islam Andalusia atau Kordova ke dalam bahasa yang boleh dibaca
penduduk eropah sehinggakan eropah bangkit dari zaman gelap tersebut menjadi
negara yang maju hari ini.
Dalam peringkat pengajian pula,
kerajaan harus mengambil tindakan untuk menyemak semula seluruh IPTA atau IPTS
agar mengariskan penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh. Perkara-perkara
ini yang sepatutnya dijalankan terlebih dahulu bukanlah membunuh masa depan
pelajar atau murid dengan memaksa mereka belajar dalam bahasa yang bukan
dikuasai mereka.
Sebelum ini pun tidak ada dasar
wajib lulus mata pelajaran bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
tetapi kita dapat lihat ada di antara warganegara Malaysia yang boleh berdaya
saing di peringkat global. Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu
pernah menjadi bahasa pertama dunia (Lingua
Franca) pada kurun ke 15 dan kurun ke 17.
Ini menunjukkan bahawa bahasa
Melayu bukan bahasa yang lekeh atau kecil. Kehebatan bahasa Melayu pada waktu
itu adalah disebabkan penguasaan bahasa yang tinggi bagi pemilik bahasa
tersebut bukan disebabkan kerana terpaksa.
Fikirkan bagaimana pula nasib
kaum pribumi seperti orang asal, Iban, Kadazan, Murut dan orang pendalaman yang
tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan harian mereka. Jika
perkara menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus ini dilaksanakan maka
mereka yang tinggal di pendalaman dan pribumi ini pasti akan lagi jauh
ketinggalan.
Tidak lulus bahasa Inggeris
akan menyebabkan mereka yang gagal itu tidak mendapat sijil SPM. Bila tidak ada
sijil SPM fikirkan bagaimana mereka hendak mencari kerja sedangkan bahasa
Melayu mereka lulus kerana bahasa Melayu telah menjadi bahasa rasmi harian
penduduk di Malaysia jadi tidak timbul permasalahan dalam pemahaman bahasa
tersebut.
Bila mereka tidak berkerja
bagaimana pula mereka menyara kehidupan mereka sehari-harian. Inilah kesan yang
akan berlaku dalam kehidupan masyarakat di Malaysia. Kerana nila setitik rosak
susu sebelangga.
Kepada Persatuan Ibu Bapa untuk
Pendidikan Malaysia (PAGE), harap dapat berfikir secara terbuka. Kenyataan PAGE
dengan bersuara menentang pemansuhan PPSMI sekali lagi mengundang kenyataan
yang berbaur kejam dan zalim.
Perkara yang paling penting
adalah penguasaan sesuatu bahasa itu bukan keterpaksaan untuk belajar sesuatu
bahasa. Penguasaan sesuatu bahasa itulah yang boleh membuatkan seseorang
individu itu berdaya saing kerana kreativiti azali itu berpunca dari penguasaan
sesuatu ilmu bukan dengan cara paksaan.
Begitulah hipotesis psikolinguistik
yang dilakukan oleh Edward Sapir dan Bejamin Lee Whorf (ahli bahasa antropologi
Amerika tahun 1930/40-an) mengenai pemikiran manusia yang akan berfikir
mengikut bahasa asalnya.
Tindakan Menteri Pendidikan untuk menjadikan bahasa
Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus ini bolehlah dianggapkan seperti
membunuh masa depan pelajar rakyat Malaysia. Jagalah amanah ini seperti
menatang minyak yang penuh. Janganlah menjadi pemimpin seperti yang dimaksudkan
kata pepatah ‘beruk mendapat bunga’.
Bicara Kolumnis: AMNI JAGAT
Bicara Kolumnis: AMNI JAGAT
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**
bukan gitu boss. kalau nak guna sejarah untuk dijadikan panduan, harus lah memahami pemikiran orang luar yang datang berdagang di semenanjung. masa itu, tidak banyak tempat berdagang di asia dan china merupakan destinasi yang paling ingin di kunjungi (untuk berdagang). tambahan pula, lokasi semenanjung memang strategik kerana di tengah china dan parsi/india. zaman dulu tiada kapal terbang dan bukan semua bot bot dahulu sesuai untuk belayar di selatan indonesia. jadi, kalau saya pedagang dari eropah, pasti saya akan melayar melalui penang, melaka & singapura (straits of Malacca). semua faktor ini membawa kepada populariti & keperluan pedagang untuk berlabuh di melaka/penang/singapura. Jadi, lama kelamaan, ramai orang luar belajar bahasa melayu untuk kesenangan berdagang atau mendapatkan perkhidmatan membaiki bot dan lain-lain. faktor ini yang orang cina kaitkan juga dengan 'feng shui'. 'Feng shui' mengatakan bahawa lokasi strategik (atau nasib baik kononnya), boleh berlanjutan untuk 20 tahun (atau 40 tahun) bergantung kepada faktor luaran. Jadi, melaka (atau singapura) boleh dikatakan dalam period 'feng shui' yang bagus masa dahulu. tapi yang harus difahami ialah pemikiran golongan pedagang (orang luar). Kalau perlu bersusah payah bina kapal dan cari krew untuk berlayar 3-4 bulan, semestinya bukan dari golongan yang berada (diraja atau kaya). mereka juga mempunyai adat sendiri dan bahasa sendiri, biar perancis, china, sepanyol dan lain lain. persoalannya, kenapa mereka berani dan belajar bahasa melayu di semenanjung? kerana mereka lapar (hungry). jika diperlukan, mereka akan belajar dan menggunakannya. lapar (hungry) tidak seharusnya dikaitkan dengan 'rakus' atau 'tamak'. lapar ialah ketidak-inginan untuk miskin, ketakutan untuk kalah & dimalukan oleh orang lain, kebolehan untuk menunjukkan kepada semua sejauh mana usaha & kemajuan diri dan semangat untuk memberikan yang terbaik untuk generasi akan datang. cuma orang yang memikirkan masa depan anak cucunya yang akan lapar. mereka yang cuma memikirkan sendiri cuma setakat tamak dan senang untuk menjual moral & prinsipal. Kini dunia sedang berubah. Globalisasi telah pun berada di depan pintu Malaysia. jadi, kalau kita terus berdegil dan mengatakan bahawa "kalau nak berdagang di malaysia, harus berbahasa melayu"". kenapa harus negara maju berdagang di sini? ada apa di malaysia yang mereka tidak boleh dapat dari negara lain? seperti dulu, malaysia cuma satu perhentian untuk ke china. faktor 'fengshui' (nasib baik) kita telah pun habis dengan teknologi. Negara maju, dengan senangnya berlayar di laut selatan indonesia. Kapal besar tidak perlu melalui Melaka ataupun Singapura. Tambahan lagi, Singapore merupakan pelabuhan yang paling effisien di dunia. Kalau memaksa orang luar untuk belajar melayu, senang sahaja mereka tukar arah dan berdagang di singapore. lagipun, dengan globalisasi, meskipun negara maju seperti perancis, jepun, korea mengalakkan rakyatnya belajar ingeris. untuk belajar & lancar dalam bahasa ingeris tidak harus difikirkan sebagai menjual bangsa Melayu. fikirkan generasi muda anak malaysia. ramai yang berkebolehan tetapi tidak dapat peluang untuk belajar/bekerja di corporat corporat antarabangsa disebabkan oleh ketidakmampuan untuk bertutur dan bertulis dalam Ingeris. inikah yang dimahukan?
anak malaysia harus diberi peluang untuk belanjar & lancar dalam bahasa melayu dan ingeris agar mereka diberi peluang untuk berjaya dalam kerjaya & seterusnya, hidup. Saya kerap mengemphasis business & kerjaya kerana itulah realiti hidup di dunia globalisasi. dapatkah kita mengawal arah hidup kita jika kita cuma berada di kampung dan bila orang luar datang, kita tidak dapat berkomunikasi dengan mereka? tahukah kamu bagaimana sultan abu bakar (sultan johor) dapat memodenkan johor dan meminggirkan penjajah sekian lama, meskipun sultan negeri lain telah kalah? sultan abu bakar lancar dalam bahasa ingeris dan cerdik dalam memahami apa yang dirancang penjajah. dengan globalisasi, semua anak malaysia seolah olah dalam situasi sultan abu bakar. bagaimanakah kamu dapat mengetahui & merancang jika tidak fasih bahasa orang luar? jangan kata ingeris, meskipun kaum cina (yang begitu dekat) pun tidak difahami. boss, saya rasa comment Ida (facebook) di laman ini, tidak setuju dengan penghapusan PPSMI. bahasa melayu bukan tidak bagus, tetapi mentaliti untuk kekal seperti dulu & tidak berubah yang harus diubah. cuma mereka yang berubah akan kekal (survive).
Alex - kaum cina tapi bangsa Malaysia~