BlogList Malaysia

Selatan Online

Kit Siang - Dr Mahathir ‘Pembohong Besar’, ‘Bapa Fitnah’

Posted by Unknown on 15 April 2013 | 0 komen pembaca | Leave a comment...

GELANG PATAH, 14 APRIL: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menganggap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pembohong besar dan ‘bapa fitnah’ kerana menuduhnya meminta orang Cina di Gelang Patah dan Johor menolak kerjasama dan berkongsi dengan orang Melayu.

Sehubungan itu, beliau memberi tempoh satu lagi 24 jam untuk Dr Mahathir menarik balik kenyataannya atau meminta maaf terhadap fitnah tidak berasas itu atau menghadapi tindakan undang-undang.

Katanya, ini kerana Dr Mahathir dalam blognya membuat serangan tidak bertanggungjawab mengatakan beliau meminta orang Cina di Johor “untuk tidak suka dan benci orang Melayu” bagi mewujudkan “konflik dan permusuhan antara kaum” sedangkan beliau tidak pernah bercakap sedemikian.

Semalam, Kit Siang meminta Mahathir menghentikan membuat pembohongan dan fitnah tanpa bukti yang menjejaskan reputasi dan imej beliau sebagaimana yang dilakukan dalam blognya, Khamis lalu.

“Semua dakwaan Mahathir adalah tidak benar dan fitnah keranna saya tidak pernah berucap di Gelang Patah dan Johor sejak pengumuman akan bertanding di Gelang Patah, 18 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan media di Pusat Operasi PRU-13, di Gelang Patah, semalam.

Menurutnya, sejak menceburi politik selama 47 tahun beliau tidak pernah melakukan seperti yang dituduh Dr Mahathir sebaliknya mahu rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama atau geografi bersatu sebagai satu rakyat untuk mewujudkan sebuah negara yang akan menjadi contoh antarabangsa dan inspirasi sebagai sebuah negara berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya.

“Saya berulang kali mengatakan di Gelang Patah, saya harap tidak menang hanya bergantung kepada undi Cina, tetapi mahu undi semua kaum di negara ini iaitu Cina, Melayu dan India. Saya mahu pengundi Cina, Melayu dan India di Gelang Patah membuktikan kepada Barisan Nasional (BN) bahawa mereka boleh bersatu di bawah panji-panji Pakatan Rakyat daripada DAP, PAS dan PKR sekaligus membuktikan tuduhan Mahathir itu palsu,” katanya.

Kit Siang yang juga penyandang Parlimen Ipoh Timur berkata, terdapat cubaan untuk menjadikan PRU-13 pilihan raya umum paling kotor dalam sejarah Malaysia selama 56 tahun dengan memfitnah pemimpin PAS, DAP dan PKR serta mewujudkan ketegangan kaum.

“Fitnah paling kotor ialah penyebaran video seks membabitkan pemimpin PR, termasuk video seks sintetik yang dianggap paling keji dan pengecut. Saya sendiri dituduh menghasut kebencian kaum hingga mencetuskan ketegangan di Kuala Lumpur pada 11, 12 dan 13 Mei 1969,” katanya.

Sumber : Roketkini.com

Menifesto Pakatan Rakyat Johor Disambut Tepukan Gemuruh Rakyat

Posted by Unknown on 13 April 2013 | 1 komen pembaca | Leave a comment...

JOHOR BAHRU - Majlis Pelancaran Menifesto Pakatan Rakyat Johor berlangsung dengan kehadiran luar jangka apabila ratusan rakyat Johor membanjiri Dewan Ballroom Hotel New York, Johor Bahru hari ini.

Majlis dihadiri oleh beberapa personaliti penting Pakatan Rakyat ini yang antaranya ialah Mursyidul Am, Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, Dato’ Chua Jui Meng, Pengerusi PKR Johor, Dato’ Saifudin Nasution dan mantan ahli parlimen Ipoh Timur.

Beberapa janji yang mengutamakan kebajikan dan keutamaan rakyat dibentangkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat.

Menurut mantan ahli parlimen Kubang Kerian, Saudara Salahuddin Ayub, Menifesto Rakyat Johor yang dibentangkan hari ini jelas membuktikan bahawa pimpinan Pakatan Rakyat Johor benar-benar mengutamakan kepentingan rakyat Johor.

Antara yang disenaraikan dalam menifesto rakyat Johor adalah berkenaan pemberian kontrak secara terbuka, menghadkan pemerintahan menteri besar kepada dua penggal, membasmi rasuah dan ketirisan, mengkaji semula polisi penswastaan yang merugikan rakyat, 10 meter padu air percuma, kurangkan kadar cukai tanah dan kurangkan kadar cukai harta.


Selain itu, menifesto rakyat Johor ini juga mengemukakan bantuan RM1000 untuk kelahiran anak, gaji minimum RM1100 dan mewujudkan 40,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Johor.

"Kita yakin bahawa menifesto rakyat Johor yang diutarakan oleh pimpinan Pakatan Rakyat Johor mampu untuk meyakinkan seluruh warga Johor untuk memenagkan semua calon-calon Pakatan Rakyat yang bertanding dalam PRU-13 5 Mei ini," jelas belliau.




Kit Siang: Contohi Pengasas Umno di Gelang Patah

Posted by Unknown on 10 April 2013 | 0 komen pembaca | Leave a comment...

Pemimpin popular DAP Lim Kit Siang menyeru semua pihak mencontohi pengasas Umno Datuk Onn Jaafar dengan bersikap melampaui sentimen perkauman dalam pilihan raya umum di Gelang Patah.

Calon Pakatan bagi Parlimen itu berharap "pertempuran" di kerusi itu merealisasikan "impian Malaysia" Datuk Onn ke arah penyatuan bangsa berbilang kaum, seperti tergambar daripada tindakannya untuk membuka keahlian Umno kepada semua pada 1951.

"Malah, saya merujuk kepada pengundi Gelang Patah sebagai rakyat Malaysia, bukan pengundi Cina, Melayu atau India demi mencapai 'impian Malaysia' masyarakat bersatu-padu," katanya.

Onn juga bertanggungjawab mencadangkan Umno menggunakan nama Inggeris United Malayans National Organisation. Tokoh negara itu kemudia meninggalkan Umno dan menubuhkan parti baru.

Beliau merujuk kepada kenyataan Tun Dr Mahathir yang menuduhnya cuba mengganggu keharmonian Melayu-Cina di Gelang Patah.



Sebelum ini juga, pergerakan undi di kawasan dengan majoriti Cina 55 peratus, Melayu 33 peratus dan India 11 peratus itu dijangka mengikut kaum, di mana Cina dilihat pro-Pakatan manakala Melayu pro-BN.

Malah, sekiranya ura-ura Menteri Besar Datuk Seri Abdul Ghani Othman berdepan dengan Lim menjadi kenyataan, DAP mungkin mengalami masalah besar apabila kehakisan sokongan Melayu terhadap BN di Nusajaya (satu antara tiga kerusi negeri dalam parlimen itu) dilihat akan dikurangkan ke tahap paling minimum.

Sumber : Malaysiakini

Kit Siang Mahu Kerusi DUN Pula Di Johor?

Posted by Unknown on 31 Mac 2013 | 0 komen pembaca | Leave a comment...

Selepas mendapat respon baik daripada penduduk Johor, Ketua anggota Parlimen DAP Lim Kit Siang dikatakan mengintai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula bagi memperkasakan usaha Pakatan Rakyat merobek kubu kuat BN di negeri itu.

Lim disebut-sebut berminat dengan kerusi Johor Jaya.

Menurut sumber pasukan Lim di Gelang Patah - Parlimen baru yang akan ditandinginya dalam pilihan raya umum akan datang - Lim mengarahkan mereka turut membina pasukan kempen di Johor Jaya, kerusi di Parlimen jiran Pasir Gudang.

"Setakat ini pasukan kami hanya berkempen di Gelang Patah, bertemu dengan pemimpin tempatan dan pengundi daripada pelbagai tempat di kawasan Parlimen yang besar ini.|

"Tetapi malam tadi, Lim tiba-tiba minta kami buat perkara sama di Johor Jaya," kata seorang pemimpin kanan DAP kepada Malaysiakini semalam.

Pemimpin yang enggan dikenali itu merujuk kepada mesyuarat pasukan Lim di Johor pada Khamis malam.

Sumber : Malaysiakini

Pakatan Rakyat Bakal Tawan Kubu BN di Johor

Posted by Unknown on 27 Mac 2013 | 0 komen pembaca | Leave a comment...

Dengan turunnya Lim Kit Siang ke Gelang Patah, Pakatan Rakyat bakal menganjak kekuatannya bagi membantu ketua anggota parlimen DAP dan calon lain di Johor, kawasan Melayu yang didominasi BN.

Sebagai tempat kelahiran Umno, parti politik paling lama dan terkuat, Johor mempunyai ciri-ciri unik pemilih, termasuk taburan pengundi dan budaya politik, yang menjadikannya tempat selamat untuk banyak pemimpin BN.

Kunci untuk menawan negeri ini terletak pada kemampuan Pakatan untuk mendapatkan sokongan pelbagai kaum, kelemahan berpanjangan mereka yang cuba diatasinya selama ini.

Melihat 15 kerusi Parlimen yang bagi Lim boleh dimenangi, ia sekali gus mendedahkan bahawa Pakatan sedang membina barisan perang mereka di kawasan Selatan, tengah dan Utara negeri itu.

Kerusi-kerusi itu: Bakri, Segamat, Muar, Labis and Ledang in the north; Kluang, Batu Pahat and Sembrong in the centre; and Tebrau, Pasir Gudang, Johor Baru, Pulai, Gelang Patah, Kulai dan Tanjung Piai di Selatan.

Kerusi-kerusi itu terledak di sebelah Lebuh Raya Utara-Selatan dan dibina di sepanjang Pantai Barat Johor.

Kebanyakannya terdiri daripada kawasan pengundi campuran di bandar dan kawasan separa bandar.



Sumber: Malaysiakini

Isu Tanah Bukan Isu Politik

Posted by Unknown on 18 Mac 2013 | 0 komen pembaca | Leave a comment...

Oleh: Nur Qurratun A'yun

SKUDAI – Kerajaan Pakatan Rakyat Johor telah mengadakan Himpunan Tanah Rakyat Negeri Johor kali ketiga, bertempat di Taman Pulai Utama Skudai semalam.

Himpunan yang dipengerusikan oleh Tuan Hj. Dzulkefly bin Ahmad , Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor ini, membicarakan berkaitan isu-isu tertunggak tanah termasuk penempatan semula setinggan, pengambilan balik tanah, permohonan tanah yang tidak/lambat diproses, pemberian tanah oleh BN yang merugikan, tanah rezab Melayu, projek perumahan terbengkalai serta perumahan generasi kedua Felda.

Turut hadir, Tuan Guru Dato’ Hj Abd Hadi Awang, Lim Kit Siang, Penasihat DAP, Dr Boo Cheng Hau, Pengerusi DAP Johor, Mazlan Aliman, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Hassan Abd Karim, Naib Pengerusi PKR Johor, Anis Afida, Pengerusi NGO Pengerang.

“Sepatutnya isu tanah bukan isu politik. UMNO-BN edar borang permohonan tanah tetapi tidak diberi percuma. Islam menyuruh tanah-tanah dibangunkan untuk tujuan kemajuan dan pembangunan serta hendaklah diurus tadbir dengan amanah dan bertanggungjawab.

“Tetapi ada pemaju ambil 25 000 ekar untuk pembangunan yang memerlukan 6,000 ekar sahaja sedangkan tanah-tanah kerajaan pun sudah mencukupi. Contoh di Felda Cahaya Baru, kerajaan BN janji hendak membayar pampasan berjuta-juta tetapi tidak ditunaikan (tanah dirampas dan dijual oleh kroni)”, tegas Dato' Dr Mahfodz Mohamed.

Di dalam ucapannya, beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Johor, meminta agar rakyat memberi sokongan kepada calon-calon Pakatan Rakyat kerana dengan tumbangnya Barisan Nasional, kerajaan Pakatan Rakyat dapat mentadbir dengan lebih baik dan semua bangsa akan diberi kurniaan tanah.



Himpunan yang berlangsung semalam ini telah menarik ramai masyarakat berbilang kaum sekitar negeri Johor untuk hadir menyatakan kesediaan mereka menyokong pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri Johor. Himpunan ini berakhir dengan jamuan rakyat.


15 Kerusi Parlimen Di Johor Bakal Ditawan PR?

Posted by Unknown on 8 Mac 2013 | 0 komen pembaca | Leave a comment...

Pakatan Rakyat (PR) memberi tumpuan untuk memenangi 15 kerusi Parlimen di Johor sekaligus mengakhiri status negeri itu sebagai “deposit tetap’ UMNO/Barisan Nasional (BN) serta membolehkan PR mentadbir Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ketika dua hari melawat tiga kawasan Parlimen di selatan Johor iaitu Johor Bahru, Kulai dan Gelang Patah dan menghadiri tujuh majlis memberikan beliau keyakinan bahawa angin perubahan akan bertiup kencang dari negeri itu pada PRU-13 nanti.

Katanya, pada PRU 2008 “tsunami politik 308” melanda dari utara Malaysia apabila PR memenangi Pulau Pinang, Kedah, Perak (yang dirampas secara tidak demokratik oleh UMNO/Barisan Nasional (BN), Selangor dan Kelantan.

Negeri Sembilan juga turut cemas dan PR hampir memenangi satu lagi negeri dalam tsunami politik itu.

“Selepas dua hari melawat Taman Pelangi, Taman Sentosa, Plentong, Gelang Patah, Senai, Bandar Seri Alam dan Johor Jaya serta menyertai ceramah utama DAP UBAH Dream Truck, sambutan orang ramai begitu di luar dugaan sebab itu saya yakin “tsunami politik” lebih besar akan melanda bermula dari selatan dan mara ke semua bahagian di Malaysia.

“Selepas bencana politik yang melanda selepas menjemput bintang K-Pop Korea Selatan, Psy ke Pulau Pinang pada hari kedua Tahun Baru Cina dengan perbelanjaan RM3.5 juta, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terbang ke Johor pada hari berikutnya untuk mendapatkan ketenangan politik.
“Sebab itu pada mesyuarat tertutup dengan UMNO dan BN Johor pada 12 Februari, Najib mengisytiharkan BN yakin menang dan kekal sebagai kubu kuat BN pada PRU-13 nanti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Najib yakin BN dapat mempertahankan kerusi yang dimenangi dan merampas kerusi yang dimenangi pembangkang pada PRU 2008.

Pada PRU 2008 lalu, BN memenangi 25 daripada 26 kerusi Parlimen dan 50 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi di Johor.

Katanya, BN yakin akan melakukan yang terbaik di Johor pada PRU-13 nanti dan kini Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek turut menuatakan bahawa pengundi Cina di Johor masih kekal teguh di belakang BN walaupun pembangkang cuba melakukan perubahan di kawasan kubu kuat BN.

“Saya akan terkejut jika PR gagal meraih kemenangan yang lebih besar di Johor pada PRU-13 sebab itu akan membuktikan sokongan pengundi di kalangan orang Cina, Melayu dan India sudah berubah kepada PR.

“Sebab itu PR akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap 15 kerusi Parlimen di Johor pada PRU-13 iaitu Gelang Patah, Kulai, Bakri, Kluang, Segamat, Johor Bahru, Tanjong Piai, Labis, Batu Pahat, Ledang, Muar, Pulai, Pasir Gudang, Tebrau dan Sembrong dan yakin akan memenanginya,” tambahnya.

Beliau berkata, jika PR boleh menang lebih daripada satu pertiga iaitu sekurang-kurangnya 10 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor serta dengan sekurang-kurangnya satu pertiga kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak, PR sudah pasti akan menawan Putrajaya dan membentuk kerajaan Persekutuan.

Ternyata pimpinan Umno/BN berada dalam keadaan serba salah dengan perkembangan terbaru di mana rakyat akan bangkit menolak BN pada PRU 13 nanti. Keyakinan dapat dilihat di mana program-program anjuran PR khususnya di kawasan majoriti pengundi Cina mendapat sambutan sangat luar biasa. Ini berbeza dengan situasi semasa PRU 12 dahulu.

Sebab inilah Najib dan kuncu-kuncu berasa takut untuk berhadapan dengan PRU 13 sehingga Najib terpaksa menangguhkan pembubaran Parlimen beberapa kali.

Sumber : Selatanonline

Manifesto Rakyat Bakal Beri Manafaat Pada Semua

Posted by Unknown on 1 Mac 2013 | 0 komen pembaca | Leave a comment...

JOHOR BHARU: DAP yakin manifesto yang dikemukakan Pakatan baru-baru ini bakal memberikan manafaat kepada semua rakyat di negara ini.

Ia dianggap realistik kerana janji-janji yang dibuat berdasarkan pengiraan yang terperinci kepada kemampuan negara ini jika ia diuruskan dengan betul.

Ia juga berdasarkan pengalaman yang ada pada negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan selama lima tahun ini, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis sambutan Tahun Baru Cina dan perasmian Wisma DAP Johor, di Taman Nusa Indah, dekat sini.

“Manifesto yang kita kemukakan kepada rakyat untuk PRU13 akan memberi manfaat yang sangat besar kepada 28 juta rakyat negara ini.

“Pemimpin BN kata manifesto kita tidak baik sebab mereka dan kroni-kroni tidak mendapat keuntungan melaluinya, berbeza dengan manifesto BN yang hanya memberi keuntungan kepada mereka dan kroni-kroni saja," kata Lim Guan Eng.

Sumber : Harakahdaily

Pemimpin Pas Kena Berani -Salahuddin

Posted by Unknown on 19 Februari 2013 | 0 komen pembaca | Leave a comment...

SHAH ALAM - Pemimpin-pemimpin Pas perlu berani tampil bagi menjelaskan kerjasama politik parti itu dengan DAP dan PKR tidak bertunjangkan kepada cita-cita politik semata-mata - memperoleh kemenangan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, pemimpin parti itu tidak perlu takut untuk menjawab apabila timbul dakwaan dan persepsi kononnya Pas sudah tersasar daripada landasan perjuangannya serta menjadi kuda tunggangan DAP dan mahu terus kekal bersama Pakatan Rakyat.

"Tidak ada apa yang kita perlu takut dengan DAP ini. Saya boleh bercakap dari segi objektifnya, DAP ini bertanding pun tidak sampai 50 kerusi parlimen. Jadi apa yang perlu kita takutkan dengan DAP?

"Sebenarnya momokan itu datangnya daripada propaganda BN, Cina akan jadi PM, DAP akan jadi menteri besar. Itu sebenarnya fakta yang tidak ada asas sama sekali," katanya dalam satu wawancara bersama Sinar Harian Online.

Mengakui begitulah cara Umno dan medianya berfungsi dalam menjatuhkan seteru politik mereka, Salahuddin mahu pemimpin Pas lebih bersikap terbuka dan proaktif dengan menerangkan kepada rakyat akan situasi sebenar dalam perikatan itu.

"Saya rasa, kita harus tampil menerangkan kepada masyarakat, tidak ada apa yang mereka perlu ditakutkan dengan DAP ini," katanya yang akan bertanding di Johor pada PRU13.

Bahkan perlu diingat katanya, Pas sama sekali tidak pernah menggadai prinsipnya apatah lagi jika ia melibatkan Melayu dan Islam.

"Tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Kita tidak gadai dasar Islam kita. Kita tidak tinggal prinsip-prinsip asas tentang moral, akhlak, tentang apa sahaja yang menjadi pegangan Pas selama ini," ujar Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Sebaliknya, kata Salahuddin, Pas pada hari ini bersama-sama dengan rakannya dalam Pakatan Rakyat telah pergi ke suatu dimensi yang lebih luas bagi menyediakan kehidupan jauh lebih selesa kepada rakyat.

"Kita tidak terikat kepada sentimen perkauman, Pas tidak duduk dalam kelompoknya sendiri pada hari ini. Tetapi kita telah mula keluar, kita telah mencipta satu platform yang lebih luas. Kita hari ini sudah bercakap tentang negara," kata Salahuddin.

Malah katanya, Pas terus mendapat dokongan daripada masyarakat khususnya Melayu berdasarkan kepada penyertaan dan komitmen ahlinya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti yang ditonjolkan dalam Himpunan Perdana Ummah bersama Pas dua minggu lalu.

"Ini membuktikan bahawa kelompok-kelompok teras Melayu itu terus memberi dokongan kepada Pas. Tidak timbul isu Pas ini ditinggalkan oleh penyokong tegar mereka kerana tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke atas Pas, tidak benar sama sekali," tegasnya lagi.

Pada majlis itu, lebih 200 ahli baru Pas dari pelbagai latar belakang menyertai himpunan tersebut yang diadakan di sebuah hotel di Ampang dekat ibu negara.

Mereka berhimpun sebagai tanda sokongan kepada perjuangan Pas bersama pimpinan parti menjelang pilihan raya umum akan datang ini.

Mengulas mengenai penegasan daripada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu sama sekali tidak akan mengulangi kerjasama politiknya dengan Umno, adakah itu bermakna Pas menolak perpaduan ummah, Salahuddin berkata, "tidak timbul pula satu teori yang mengatakan hanya bersama Umno sahajalah maknanya boleh membuktikan kita berpadu."

"Tidak betul sekiranya ada yang mendakwa begitu," katanya.

Tambah beliau, isu perpecahan ummah seperti satu kariah dua imam, suami isteri bercerai kerana perbezaan fahaman politik hanyalah kes terpencil yang berlaku di negara ini.

"Sebenarnya tidak pernah berlaku perpecahan ummah. Yang berlaku hanya perbezaan pandangan politik.
"Ummah khususnya orang Melayu pada hari ini tidak pernah berpecah memutuskan silaturrahim.

"Pas tidak memusuhi orang Melayu, kita hanya berlawan dengan Umno sebagai parti politik tetapi apa yang menjadi kekuatan Melayu, asas perjuangan Islam, tetap kita perjuangkan bersama," tegasnya lagi.

Pas pernah bersama Umno di tahun 70-an dan menubuhkan kerajaan bersama BN. Hubungan itu retak pada tahun 1978.

Pas juga pernah mengadakan tahaluf siyasi dengan Parti Melayu Semangat 46 (S46). Parti S46 pula mengadakan kerjasama dengan DAP. Parti ini tidak ada lagi dan gagasan yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan Pas, Parti Melayu Semangat-46, Berjasa dan Hamim sudah tamat.

Akhirnya Pas mengadakan tahaluf siyasi bersama PKR diikuti dengan DAP sejak PRU12.

Sumber : Sinar Harian

Dialog dan Sumbangan Bersama Masyarakat India

Posted by Unknown on 27 Januari 2013 | 0 komen pembaca | Leave a comment...

Oleh: Seenja 

SKUDAI - Satu Program Dialog dan Sumbangan kepada Kaum India telah diadakan bertempat di Taman Universiti, pagi semalam. 

Dialog penerangan tersebut disampaikan oleh Saudari Kumutha A/P Raman. Turut hadir di dalam program ini, Pn. Sabariah Amin, Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan Gelang Patah.

Dalam ucapan yang disampaikan oleh Saudari Kumutar, beliau menyentuh beberapa isu tempatan antaranya pendidikan percuma, Bersih, kejayaan yang dicapai oleh negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat serta kepincangan dalam pentadbiran UMNO Barisan Nasional.

“Terpulang sesiapa sahaja yang akan memerintah Malaysia tetapi yang paling penting pemerintah itu hendaklah berlaku adil kepada semua”, kata Saudari Kumutar di akhir ucapannya.

Beliau turut menyeru seluruh masyarakat khususnya masyarakat India untuk bijak dalam membuat pilihan dalam PRU13 yang bakal menjelang nanti.

Program anjuran Lujnah Perpaduan Nasional kawasan Gelang Patah ini telah mendapat sokongan padu dari masyarakat India setempat. Seramai 50 orang dari kalangan Kaum India telah hadir bagi menjayakan program ini.

Di akhir sesi, sumbangan wang ringgit dan barang keperluan asas telah diberikan kepada 22 keluarga yang memerlukan. Turut diedarkan adalah risalah penerangan Pakatan Rakyat. Program berakhir pada jam 11.30 pagi.

RM600 Untuk Surirumah Dalam Agenda Wanita Malaysia PR

Posted by Unknown on 22 Januari 2013 | 0 komen pembaca | Leave a comment...

Oleh:
Nur Qurratun A'yun
Nusaybah Kaab

MUAR, 19 Januari 2013 - Perhimpunan Agenda Wanita Malaysia, Wanita Berdaya Negara Sejahtera, anjuran Pakatan Rakyat yang diadakan di Balai Islam Saidina Abu Bakar, Batu 2 1⁄2, Jalan Bakri, Muar berlangsung dengan suasana aman dengan kehadiran hampir 2, 000 orang penduduk di kalangan wanita dari pelbagai kawasan.

Majlis yang berkonsepkan hi-tea itu bertujuan menerangkan tentang 7 fokus Agenda Wanita Malaysia iaitu Dasar Pendidikan Celik dan Cerdik, Kelangsungan Kesihatan dan Hidup Berkualiti, Penglibatan dan Peluang Ekonomi, Kesejahteraan Sosial, Pendemokrasian Politik, Pemberdayaan dan Penguatkuasaaan Undang-undang dan Agenda Wanita Muda yang disampaikan oleh wakil-wakil dari PAS, PKR dan DAP.

“Semasa pelancaran di Sarawak, kita perhatikan ramai wanita yang hidup serba daif, anak dilahirkan di tepi jambatan, tetapi yang kaya hanyalah pemimpin. Hidup yang berkualiti perlu diterapkan. Kita akan adakan program-program memahirkan wanita dengan penubuhan Kolej Kemahiran Wanita. Surirumah-surirumah yang berpendapatan isirumah bawah RM1500, akan diberi RM600 setiap tahun sebagai caruman,” ujar YB Siti Zailah Mohd. Yusof selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia dalam ucaptamanya pada majlis tersebut.

Naib Ketua Wanita PKR, YB Gan Pei Nei menerangkan indeks-indeks negara dari segi pendidikan dan kesihatan berbanding dengan negara-negara luar. Pakatan Rakyat menawarkan RM5 billion untuk pembangunan wanita berbanding hanya RM500 juta yang ditawarkan oleh BN.

“Kita berhasrat mengubah sistem yang korup kepada yang beramanah. Di Selangor, wanita mendapat hak untuk bersuara dengan menampilkan 4 EXCO Wanita bersama 6 EXCO Lelaki. Kita akan berusaha untuk mendapatkan hak yang sama di Johor juga,” kata YB Gan Pei Nei.

Naib Pengerusi Wanita DAP Kebangsaan, YB Leong Mee Meng pula berkata, “AWM sebelum ini sudah dirasmikan di Pulau Pinang, Perak dan Pahang. Hampir separuh penduduk Malaysia terdiri daripada golongan wanita. Sejak BN menerajui, tiada polisi yang betul-betul menjaga wanita.”

Majlis dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, YB Salahuddin Ayub dengan ucapan syabas kepada wanita PR kerana walau apapun berlaku, PR tetap bersatu. Sumbangan turut diberikan oleh YB Siti Zailah Mohd. Yusof kepada beberapa orang wanita di kalangan penduduk yang memerlukan. Majlis diakhiri dengan bacaan ikrar yang diketuai oleh Hjh. Fatimah.

Rakyat Atau Pemimpin Yang Didahulukan?

Posted by Unknown on 11 Januari 2013 | 0 komen pembaca | Leave a comment...

PONTIAN – Jumlah hutang negara sehingga ke paras 54% telah menimbulkan tanda tanya adakah perbelanjaan negara yang diurus itu untuk kepentingan rakyat atau menyelamatkan kuasa sang pemerintah.

Menurut Dr Ungku Mohd Noor ungku Mahmood, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Pulai Sebatang, hutang negara kini hampir mencecah 55% dan ia merupakan suatu jumlah yang boleh menyebabkan negara ini akan menghampiri kepada tahap muflis.

”Hanya kurang 1% sahaja lagi menuju paras muflis iaitu pada 55%.

”Namun Najib terus berbelanja besar menghamburkan wang negara melalui pelbagai projek merasuah pengundi bagi menyelamatkan bebanan pada UMNO BN yang kini ditolak rakyat.

”Yang sepatutnya beliau berhemah demi mengurangi bebanan hutang negara,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapan daripada YB Dr Mujahid Yusuf Rawa pada program Pelancaran 100 hari menuju Pilihan raya (PRU) 13, di Pusat Tarbiyyah PAS Kawasan Pontian, dekat sini, semalam.

Hadir sama, YB Dr Mujahid Yusuf Rawa, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Hu Pang Chau, Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (Dhpp) Pusat, Subramaniam, Ketua Penerangan DHPP Johor, Nasir Prayitno Thum, Ketua Lajnah Perpaduan Nasional Pemuda PAS Johor, Raden Sarobo Pono, Yang Dipertua Pontian dan Dr Mumazaini Misri, Timbalan Yang Dipertua.

Sementara itu, Dr Ungku Mohd Noor begitu optimis bahawa Bajet 2013 merupakan bajet untuk menyelamatkan kuasa UMNO BN bukan mengurangkan hutang negara.

”Yang akhirnya rakyat memikul bebanan tersebut,” katanya lagi.

Sumber : Ibn Bacoks

Kehadiran Luar Jangka Himpunan Kebangkitan Rakyat Johor

Posted by Unknown on 2 Disember 2012 | 14 komen pembaca | Leave a comment...



BATU PAHAT: Lautan rakyat Johor semalam membanjiri Dataran Rakyat, Parit Haji Salleh Ros, Parit Raja sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat Negeri Johor malam tadi.

Walaupun pada awalnya disebelah petang terdapat sedikit hujan, namun kehadiran luar biasa  ini menunjukkan semangat perubahan politik rakyat negeri ini.

Program malam tadi bermula dengan ucapan wakil-wakil badan bukan kerajaan NGO yang membawa agenda perjuangan hak rakyat.

Antaranya termasuk NGO Anti-PPSMI, Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Gerakan Mansuh ISA (GMI), Hak Air Untuk Semua (Haus), Gabungan Menuntut Royalti Kelantan 'R', Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak), Gabungan menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), NGO Pengerang, serta NGO alam sekitar dan Anti Lynas.





Turut berucap menyemarakkan lagi himpunan kebangkitan rakyat malam tadi ialah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Tuan Haji Muhammad Sabu yang merupakan Timbalan Presedin PAS.

Mereka telah memberi ucapan penutup sekaligus menjawab beberapa tuduhan - tuduhan songsang yang dikemukakan oleh Umno sepanjang perhimpunan agung parti itu.

Oleh : Umar Farouk

Ribuan Rakyat Bakal Berhimpun Di Johor

Posted by Unknown on 1 Disember 2012 | 0 komen pembaca | Leave a comment...


JOHOR BAHRU: Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Johor akan diadakan pada 1 Disember 2012 di Dataran Rakyat, Parit Salleh Ros, Parit Raja, Batu Pahat.

Menurut Pengarah Himpunan, Tuan Haji Aminulhuda Hassan, program berkenaan akan bermula pada pukul 8 pagi dengan acara konvoi Jelajah Johor daripada Senggarang menuju ke Parit Sulong dan seterusnya ke tapak himpunan.

Program yang dijangka akan bermula jam 3 petang ini akan berakhir dengan ucapan daripada pimpinan-pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat di sebelah malam.

Seluruh rakyat negeri Johor dijemput untuk sama-sama memeriahkan lagi Himpunan Kebangkitan Rakyat kali ini.

Bandar Diraja : Momentum Sokongan PR Bertambah?

Posted by Unknown on 30 November 2012 | 0 komen pembaca | Leave a comment...

MUAR – Pemilihan bandar Maharani sebagai Bandar Di Raja Johor oleh Sultannya merupakan suatu yang unik, seni yang tersirat, kata Dr Ungku Mohd Noor Ungku Mahmood, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Pulai Sebatang.

Dalam pada itu, sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR) diharap boleh bertambah ekoran pemikiran rakyat di situ dikatakan ‘bijak’ membuat pilihan memandangkan dalam pilihan raya yang lalu, PAS dinobatkan sebagai penyandang bagi kerusi Maharani.

”Syabas dan Tahniah ! Bandar Maharani rasmi di istihar Bandar Di Raja . Pemilihan yang sangat tepat , sesuatu yang unik dan seni yang tersirat pasti di miliki olih Baginda Sultan Johor yang menyebabkan Baginda memilih Bandar Maharani yang terletak di Daerah Muar .

”Tahniah kepada rakyat di sekitar yang bijak memilih PAS dan DAP mewakili mereka . Semoga pemikiran rakyat yang bijak menyokong PR di Daerah Muar dan Bakri akan bertambah semarak Bandar Di Raja Maharani. Daulat Tuanku ! . Tahniah ,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ibn bacoks sebelum ini pernah melaporkan, pada Pilihan raya Umum 2008 lalu, PAS Johor telah mencatatkan satu lagi kejutan apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Maharani berada didalam genggaman parti Islam itu.

Kemenangan Dr Mohammad Taslim jelas telah menguburkan keangkuhan UMNO BN setelah habis-habisan mempertahankan kononnya kubu kuat mereka.

Namun takdir Allah SWT menentukan bahawa Parlimen Muar telah terlepas ditangan pembangkang, sekaligus menepis dakwaan songsang bahawa pembangkang tidak mungkin boleh bersuara di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Darul Takzim ini.

Muar atau sinonim dengan Maharani, sebuah pekan tua. Walaupun setengah orang menggelar bandar Muar sebagai bandar “pencen’ (bandar untuk menikmati persaraan), ia sebenarnya sesuai bagi mereka yang inginkan ketenangan.

Hal ini diakui sendiri oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sewaktu mengisytiharkan Bandar Maharani di sini sebagai Bandar Diraja Johor.

Sultan Johor membuat pengisytiharan tersebut pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Jamek Sultan Ibrahim baru-baru ini.

Bagi rakyat jelata pula, pengisytiharan itu merupakan penghormatan buat mereka dan disifatkan sebagai mercu tanda bandar Muar.

Justeru, disebalik kebanggaan rakyat Muar menerima gelaran baru itu, sudah pastinya UMNO BN berasa tersentak kerana PAS sebagai saingan terdekat mereka terlebih dahulu mencipta mercu tanda yang selama ini tidak termimpi bahawa Maharani boleh terlepas dari tangan.

Sumber : Ibn Bacoks

Peluang Pakatan Rakyat Menang Di Johor Seimbang

Posted by Unknown on 26 November 2012 | 0 komen pembaca | Leave a comment...

KUALA LUMPUR: Berdasarkan analisis Pusat Penyelidikan PAS (PPP) terhadap kajian-kajian yang dibuat oleh beberapa pihak termasuk oleh kumpulan penyelidikan di bawah Majlis Profesor Negara (MPN) seperti yang diumumkan oleh Prof Dr Shamsul Amri Baharuddin baru-baru ini, peluang untuk Pakatan Ralyat menawan Johor adalah seimbang.

Meskipun negeri Johor sebelum ini dianggap sebagai “fix deposit” Barisan Nasional (BN) dan kubu kuat UMNO, penemuan-penemuan hasil daripada kajian-kajian tersebut menunjukkan perubahan yang memberansangkan, kata Dr Zuhdi Masduki, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP).

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataannya hari ini. Beliau mengulas kenyataan MPN yang mendakwa BN akan mendapat 120 kerusi Parlimen dalam pilihan raya akan datang.

PPP, kata Dr Zuhdi, menyimpulkan peluang untuk PR menawan Johor adalah cerah sekiranya usaha berterusan dilakukan untuk menarik pengundi-pengundi Melayu di samping mengekalkan momentum perubahan pengundi-pengundi Cina di negeri tersebut.

13 kerusi tidak selamat

Berdasarkan analisis PPP, sokongan akar umbi BN di 13 kerusi Parlimen di Johor adalah berada di bawah 50% iaitu Segamat, Labis, Ledang, Bakri, Muar, Batu Pahat, Keluang, Gelang Patah, Teberau, Pasir Gudang, Johor Baharu, Pulai dan Kulai.

Kemenangan sesuatu parti di kawasan-kawasan berkenaan akan bergantung kepada pengundi-pengundi atas pagar termasuklah mereka yang hanya di saat akhir membuat keputusan.

Daripada kawasan-kawasan tersebut, lapan kawasan pula memperlihatkan sokongan akar umbi BN berada di bawah 44 % yang biasanya di ketegorikan sebagai kawasan kelabu hitam bagi BN.

"Kebanyakan kawasan-kawasan tersebut adalah kawasan campuran, iaitu perbezaan antara komposisi pengundi Melayu dan Bukan Melayu tidak besar," kata Dr Zuhdi.

Sepertimana yang disebut oleh Naib Presiden PAS,  Salahuddin Ayub, berdasarkan tinjauan yang dibuat oleh sebuah kumpulan kajian politik dari sebuah universiti awam, sokongan pengundi-pengundi Melayu di Johor kepada Pakatan meningkat antara 3 % - 5 %, katanya.

"Berdasarkan analisis PPP pula, sokongan pengundi Melayu di Johor meningkat 2 % - 3 % kepada Pakatan, yang kebanyakannya datang daripada pengundi-pengundi muda dan golongan kelas pertengahan," beritahu Dr Zuhdi.

Peningkatan sokongan pengundi Melayu ini ditambah pula dengan perubahan besar sokongan pengundi Cina, akan menjana peralihan (swing) undi yang amat signifikan, sehingga dijangkakan tidak kurang 7 lagi kerusi parlimen boleh jatuh kepada PR di samping kerusi PR yang sedia ada.

"Penemuan ini hampir selari dengan penemuan kajian MPN yang menyatakan 9 kerusi parlimen di Johor dalam kategori hitam bagi BN," katanya.

Pola sokongan pengundi-pengundi di Parlimen ini, katanya, turut mempengaruhi pola sokongan di peringkat DUN.

Hanya 26 DUN putih BN

Berdasarkan analisis PPP, dari segi kawasan DUN di negeri Johor pula, hanya 26 kerusi DUN di negeri Johor yang dikategorikan sebagai kawasan putih bagi BN, manakala selebihnya kelabu dan hitam.

Kerusi-kerusi DUN yang dikategorikan sebagai putih bagi BN di Johor ialah Buluh Kasap, Kemelah, Bukit Serampang, Jorak, Serom, Bukit Naning, Sungai Balang, Semerah, Sri Medan, Semarang, Parit Yaani, Parit Raja, Penggaram, Senggarang, Mahkota, Kahang, Panti, Pasir Raja, Sedili, Johor Lama, Penawar, Tanjung Surat, Tiram, Benut, Pulai Sebatang dan Kukup.

"Bagaimanapun kedudukan ini, tidak mengambilkira isu-isu terkini seperti kes RAPID di kawasan Parlimen Pengerang yang melibatkan DUN Penawar dan Tanjung Surat, serta cadangan menamakan calon Menteri Besar Melayu oleh PR," tambah beliau.

Tindakan menamakan calon Melayu sebagai Menteri Besar Johor oleh PR memberi impak besar kepada peralihan sokongan pengundi terutama golongan muda dan kelas pertengahan, beritahu beliau.

"Sebenarnya perlantikan Menteri Besar Johor di kalangan kaum Melayu bukanlah isu kerana sememangnya Undang-undang Tubuh Negeri Johor perkara 31 dan perkara 34 telah menetapkan sedemikian. Bagaimanapun, ramai pengundi Melayu yang tidak menyedari perkara ini, menyebabkan mereka bimbang kalau PR menawan Johor," jelasnya.

Katanya, tindakan menamakan calon Melayu sebagai Menteri Besar oleh PR sememangnya memberikan kesan positif.

Salahudin 74 %

Menurut kajian MPN terhadap “Tingkah Laku Pengundi” dalam memilih pemimpin negeri Johor, Salahuddin Ayub memperolhi kedudukan yang tertinggi iaitu 74 % diikuti Mazlan Aliman 71 %. Pemimpin-pemimpin UMNO tertinggal di belakang termasuk Menteri Besar Johor sekarang.

Berdasarkan penemuan-penemuan di atas, hasil analisis PPP terhadap kajian-kajian yang dilakukan oleh beberapa pihak, peluang PR untuk menawan Johor adalah seimbang.

Kedudukan PR, katanya, semakin cerah dengan bangkitnya isu RAPID di Pengerang dan peningkatan pengundi Melayu disebabkan keyakinan terhadap kepimpinan Melayu Johor dari kalangan PR.

Selain daripada itu, beberapa isu yang besar seperti isu FELDA, Projek Wilayah Iskandar dan kepememimpinan bersih adalah berpihak kepada PR.

Oleh sebab itu, perluang PR untuk menawan Johor disebabkan perkembangan-perkembangan mutakhir ini adalah semakin cerah, tegas beliau lagi.

Sumber: Harakahdaily

Judi Internet Berleluasa

Posted by Unknown on 23 November 2012 | 1 komen pembaca | Leave a comment...

SEGAMAT – Bantahan kegiatan judi internet yang semakin berleluasa di daerah ini oleh Gabungan Pakatan Rakyat Parlimen Sekijang dan DAP DUN Jementah telah dilakukan baru baru ini.

Bantahan yang diketuai oleh Ketua Wanita Keadilan Johor telah menyerah memorandum kepada Timbalan Ketua Pegawai Daerah Segamat dan Wakil Yang DiPertua Majlis Daerah Segamat.

”Memorandum mengenai bantahan wujudnya kegiatan judi internet perlu dihantar kepada pihak yang berkenaan memandangkan kegiatan yang tidak sihat serta haram ini telah berleluasa sehingga wujudnya banyak premis perniagaan telah bertukar kepada premis yang menjalankan judi internet.

”Kos operasi murah, keuntungan lumayan!’ – antara kata-kata yang kedengaran di kalangan mereka yg menjalankan judi ini.

”Berita dan gambar selanjutnya boleh dibaca dari akhbar Oriental Daily dan lain-lain akhbar Bahasa Mandrin.

”Media arus perdana (msm) Bahasa Melayu tak sudi nak memapar suatu realiti hidup yang melanda segolongan masyarakat dalam daerah Segamat ni.

”Takut menjejas sensitiviti sesetengah individu, kot?.” lapor facebook Keadilan Sekijang dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Ibn Bacoks baru-baru ini.

Sumber : Ibn Bacoks

Pendedahan Sensasi : Pemantapan Institusi Masjid, Inikah Caranya?

Posted by Unknown on 10 November 2012 | 0 komen pembaca | Leave a comment...


Felda telah menganjurkan Persidangan Pemantapan Institusi Masjid di Tanah Rancangan Felda dengan tema ' Pemodelan Semula Institusi Masjid'. Ia diadakan di Hotel Flamingo, Ampang dari 4-6 sept yang lalu. Peserta yang terlibat terdiri dari wakil-wakil jawatankuasa Masjid, pegawai agama Felda dan para imam seluruh Felda.

Objektifnya ialah untuk menjadi sesi sumbang saran bagi mengkaji dan menilai peranan sebenar masjid, langkah-langkah menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti dan pemerkasaan tadbir urus masjid. 

Persidangan ini membabitkan pembentangan 6 kertas kerja dari tokoh-tokoh undangan. Ia sangat baik ke arah transformasi institusi masjid sebagai pusat aktiviti kehidupan yang syumul.

Namun, apa yang mencurigakan ialah kertas kerja 1 yang dibentangkan oleh Tuan Hj Husaini Ibrahim, Dekan Halehwal Pelajar, Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah, Perak. Kertaskerja bertajuk 'Ancaman terhadap Kelangsungan Agama Islam & orang melayu di Malaysia'.

Sangat rasis dan ulasan yang tidak amanah. Dipaparkan peristiwa 13 mei 1969, analisis pilihanraya dan kedudukan melayu. Dinukilkan persoalan kemana arah agama Islam dan generasi melayu. 

Rumusannya, konon melayu akan lingkup di tangan Pakatan Rakyat.

Susulan dari persidangan tersebut, secara berpakej, imam-imam Felda dihantar ke Singapura. Lawatan sambil belajar katanya. 

Imam-imam dibawa dengan bas dan ditaklimatkan di Masjid Kg Melayu Majidee Johor Bharu sebelum masuk ke Singapura. Menginap beberapa hari, di bawa ke Masjid Sultan dan beberapa tempat lain.

Apa yang menimbulkan tandatanya, kebaikan dari urustadbir masjid di Singapura tidak ditonjolkan sangat. Tapi propaganda halusnya ialah azan dalam masjid (corong speaker tidak boleh ke luar masjid), tahrim sebelum subuh tiada, melayu kononnya didiskriminasi.

Akan diperbesarkan isunya, melayu ke mana jika Pakatan Rakyat menang. Contohnya nasib melayu Singapura. Inilah jarum jahat kerajaan Barisan Nasional. Maklumat ini diberikan oleh beberapa orang pegawai Felda dan imam yang terlibat kepada saya.

Saya akan dedah berapa kos untuk persidangan ini dan lawatan imam-imam ke Singapura. Ini projek pertama Faizoull Ahmad, Pengarah Besar Felda. 

Baru sahaja menjadi Pengarah Besar tetapi memperlihatkan tindakan yang amat tidak cerdik. Bazirkan duit peneroka untuk propaganda palsu.

Isu pemantapan institusi masjid tenggelam dek jarum halus strategi menakutkan orang melayu jika Pakatan Rakyat menang dalam Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.

Sumber : FB Mazlan Aliman 

Kelantan sokong program 'menjohorkan' PAS di Johor

Posted by Unknown on 7 November 2012 | 0 komen pembaca | Leave a comment...

KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Kelantan mengalu-alukan rancangan PAS Johor untuk 'menjohorkan' PAS di negeri itu.

Bagi mereka, ianya bersesuaian dengan ‘mood’ pelbagai lapisan masyarakat terhadap perjuangan parti itu yang dilihat semakin hebat.

Ketua Dewan Pemudanya, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman (gambar), ketika ditemui selepas mesyuarat Dewan Harian dewan berkenaan memberitahu, rakyat akan lebih mudah memahami dasar dan matlamat perjuangan PAS menerusi cara itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad berhubung program baru parti itu yang mahu menjohorkan PAS di negeri itu.

PAS di Kelantan juga mengambil pendekatan yang sama iaitu mendekati rakyat negeri itu melalui program sosiobudaya mereka untuk memenangi hati mereka.

Ia termasuklah menjadikan kesukaan rakyat Kelantan sebagai program PAS termasuklah dikir barat, bola sepak, memperkasakan makanan tradisi Kelantan termasuk budu dan sebagainya.

Dr Mahfodz ketika memberikan ucaptama dalam Konvensyen PAS Johor Ahad lepas menggariskan program 'menjohorkan' PAS di negeri itu.

Pendekatan tujuh perkara itu bertujuan untuk membolehkan PAS dapat masuk ke dalam sosiobudaya rakyat Johor sehingga ke akarnya.

Antara nama penting dalam tradisi Johor adalah majlis yasinan, marhaban, berzanji, merewang, memakai songkok tinggi, nasi embeng, laksa Johor dan sebagainya.


(Peserta konvensyen PAS Johor makan nasi dalam talam antara program 'menjohorkan' PAS di negeri itu)

PAS Johor juga mengkaji untuk mengaitkan PAS dengan tarian tradisional Johor iaitu kuda kepang dan zapin serta muzik ghazal asalkan tidak bertentangan dengan Islam.


Mendapat sambutan


“Lebih membanggakan kita mana-mana program Pakatan Rakyat yang dianjurkan di negeri ini mendapat sambutan rakyat termasuk jualan meja untuk makan malam baru-baru ini.

“Untuk itu PAS perlu memperlengkapkan diri untuk menerima keluarga besar yang bakal menyertai parti itu,”ujar Abdul Latif ketika menyokong cadangan Johor itu.

Pada masa yang sama, Abdul Latif turut mencadangkan program memasyarakatkan PAS di setiap negeri termasuk di Kelantan perlu digerakkan dengan lebih agresif.

“PAS dilihat bukan hanya sebuah wadah perjuangan Islam, sebaliknya membawa masyarakat ke arah keharmonian dan kasih sayang,”ujarnya.


Sumber: Harakahdaily

Johor Dilanda Angin Perubahan

Posted by Unknown on 3 November 2012 | 0 komen pembaca | Leave a comment...

KHAIRUL Faizi Ahmad Kamil, 39, (gambar) adalah Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat. Dalam masa yang sama beliau adalah Yang Dipertua PAS kawasan Kluang, Johor.

Beliau adalah antara tokoh muda PAS yang memberikan tumpuan sepenuhnya kepada politik. Kerja sepenuhnya masanya adalah ahli politik.

Menjadi rutin mingguan Khairul Faizi untuk pulang ke Johor, bersama rakan-rakan dalam PAS dan Pakatan Rakyat di Kluang.

Minggu lalu, ketika penulis turun ke Johor, beliau sibuk menguruskan majlis dialog pemimpin PAS Johor dengan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di sebuah hotel di Kluang, antara bandar utama di Johor selepas Johor Bahru.

Malamnya, mereka mengadakan ceramah di depan Pejabat PAS Kawasan Kluang. Ia disertai oleh pelbagai pihak termasuk penduduk bukan Islam di bandar Kluang.

Khairul Faizi hanya baru menjadi Yang Dipertua PAS Kluang sessi lalu. Namun beliau sudah dua kali bertanding dalam pilihan raya umum iaitu tahun 2004 dan 2008. Kedua-duanya beliau kalah di DUN Mahkota dalam parlimen Kluang.

Dalam pilihan raya 2004, beliau hampir hilang wang deposit apabila hanya mendapat 4,107 undi sedangkan lawannya dari Umno mendapat 19,045 undi.

Namun dalam pilihan raya 2008, Khairul Faizi mendapat 9,809 undi iaitu peningkatan 100 peratus manakala lawannya mendapat 17,487 undi.

Dalam pilihan raya akan datang, Khairul Faizi akan bertanding lagi, mencuba untuk kali ketiganya. Walaupun namanya disebut-sebut untuk turut bertanding di peringkat Parlimen, namun beliau tidak berapa berminat.

Dun Mahkota adalah satu satu dari 28 kerusi DUN yang bakal ditandingi oleh PAS dalam pilihan raya umum akan datang di Johor.

Dari segi rankingnya, Mahkota diletak yang kelima selepas Sungai Abong, Maharani (dua DUN yang dimenangi PAS 2008), Puteri Wangsa dan Sungai Balang.

Turut bersama Mahkota adalah Nusajaya, Gambir dan beberapa DUN lagi yang disasarkan oleh PAS Johor untuk menang dalam pilihan raya ini.

Hampir kesemua DUN ini adalah kawasan pengundi campuran antara Melayu, Cina dan India. Daripada 41,000 pengundi DUN Mahkota misalnya, 21,000 darinya Melayu (51.2%), 19,000 (Cina - 46.3% ) dan 2,000 (India - 0.48%).

Minggu lalu, PAS Kluang melancarkan lima lagi cawangannya. Cawangan-cawangan itu adalah Kampung Baru, Taman Ilham, Kampung Abdul Rahman Yassin, Kampung Bentong dan Taman Sri Impian.

"Cara kami bergerak di Johor ini agak berbeza sedikit di mana kami utamakan usaha untuk membantu rakyat dan mendekati mereka. Bila mereka dah dekat baru kami cakap pasal Islam," kata Khairul Faizi kepada penulis.

Dalam pilihan raya umum 2008, pengundi di Johor khasnya pengundi Cina tidak terlibat dengan tsunami politik yang melanda Semenanjung Malaysia. Begitu juga pengundi Sabah dan Sarawak.

Ketika itu orang Johor fikir, negeri itu adalah kubu Umno. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa dengannya. Rutin hidup harian mereka hanya tertumpu kepada mencari makan. Ramai antara mereka pula bekerja di Singapura dan tv yang mereka tonton adalah TV Singapura.

Namun selepas 2008 baru mereka sedar bahawa perubahan boleh berlaku jika mereka mahu. Hasilnya, dalam tinjauan penulis ke Kulai, Kota Tinggi dan Kluang, jelas kelihatan mereka mahukan perubahan.

Majlis-majlis yang dianjurkan oleh PAS, DAP serta PKR mendapat sambutan hangat. Majlis yang dianjurkan PKR di Skudai disertai lebih 5,000 orang, majlis PAS di Kota Tinggi penuh dewan manakala majlis DAP di Kulai penuh sesak dengan tetamu.

Kesemua mereka bercakap soal perubahan yang mereka terlepas dalam pilihan raya 2008 lalu.

"Sekarang kita mahu ke Kota Tinggi, kubu Umno di Johor. Kalau sambutannya bagus dan Cina juga menyertai majlis ini, ia adalah petanda jelas Johor sedang dilanda perubahan," kata Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS yang bakal bertanding di Johor kali ini kepada penulis dalam perjalanan kami ke Kota Tinggi.

Terbukti, Dewan Chun Moi, Kota Tinggi penuh dengan manusia. Separuh darinya adalah Cina.

Dalam pilihan raya ini, PAS Johor mensasarkan 17 kerusi Dun untuk dimenangi dari 28 kerusi yang mereka akan tandingi, termasuk kerusi DUN Mahkota yang bakal ditandingi Khairul Faizi.

"Saya rasa DAP akan menang kesemua kerusi yang ditandinginya iaitu antara 13 - 14 kerusi," kata beliau kepada penulis.

Dengan pilihan raya umum yang hampir tiba, suasana semakin panas di Johor. Penganalisa politik Bridget Welsh berkata, 15 dari 26 kerusi Parlimen di Johor boleh dimenangi oleh Pakatan Rakyat kali ini.

Apakah ini benar dan bakal berlaku? Kita hanya boleh meramalkan berdasarkan tinjauan dan penemuan kita tetapi Allah yang lebih tahu apa sebenarnya yang akan berlaku.

Sumber : Harakahdaily

Terbaru di Nusajaya Kini

Cari Blog Ini

Like Nusajaya Kini

Ruang Iklan

Fanpage Nusajaya Kini

Twitter Nusajaya Kini

Arkib

Jumlah Paparan Halaman

Daftar Ahli Blog Nusajaya Kini