BlogList Malaysia

Selatan Online

Dilema Ekonomi Buntu

Posted by Unknown on 6 Disember 2012 | 0 komen pembaca



Setelah hampir 40 tahun, Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan semasa pemerintahan Tun Razak kini semakin hari semakin menuju jalan buntu.

Bayangkan sahaja, kesan inflasi ekonomi yang menerima tempias daripada ketidakstabilan ekonomi global, krisis ekonomi Zon Eropah dan krisis sub-prima di Amerika Syarikat tahun 2008 kini semakin terasa. Misalnya di Malaysia, jurang kemiskinan di antara golongan kelas rendah dan tinggi semakin kelihatan. Dan, inflasi yang semakin menjadi-jadi secara mendadak menambahkan lagi keperitan rakyat menjalani kehidupan seharian.

Mengikut perangkaan terbaru yang dikeluarkan, hampir 65% daripada rakyat Malaysia mempunyai pendapatan isirumah di bawah RM3,000 sebulan, 75% daripada rakyat Malaysia mempunyai pendapatan isirumah di bawah RM5,000 sebulan dan 90% daripada rakyat Malaysia berpendapatan kurang daripada RM10,000 sebulan.

Bumiputera terus tersepit?

Lebih aneh, majoriti kaum yang tersepit di bawah pendapatan isirumah di bawah RM3,000 sebulan adalah kaum Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang mendahului peratusan sebanyak 65-70%, diikuti kaum India 20-25% dan kaum Cina 10-15%. Bukankah sepatutnya golongan ‘Melayu dan Bumiputera Sabah-Sarawak’ mendapat manfaat daripada ‘tindakan affirmatif berdasarkan kelas’ hampir 40 tahun ini mencapai ekuiti pembahagian kekayaan negara sebanyak 30%?

Pada masa yang sama, kenaikan harga barang keperluan harian semakin menjadi-jadi. Kos perumahan turut meningkat dengan ketara. Boleh dikatakan, kawasan di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur serta bandar-bandar satelit berdekatan mengalami kos perubahan yang mendadak. Sehinggakan, kos perumahan melonjak pada tahap yang tak masuk akal.

Di Kuala Lumpur sahaja, kos anggaran untuk sebuah unit teres kini bernilai lebih RM500,000 berbanding pada tahun 2008, anggaran kos untuk sebuah unit yang sama, cuma sekitar RM250,000. Hanya dalam masa beberapa tahun sahaja, kos perumahan yang melonjak tinggi membebankan majoriti warga kota yang berkerja dengan pendapatan isirumah di bawah RM3,000 sebulan.

Beberapa analisis terhadap Belanjawan 2013 yang baru sahaja dibentangkan beberapa bulan lalu di Parlimen oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak menunjukkan betapa tidak bersungguhnya kerajaan Barisan Nasional untuk memulihkan kembali kemapanan dan prestasi ekonomi negara yang semakin hari, semakin merosot.

Berdasarkan belanjawan yang dibentangkan, bantuan dan subsidi yang disalurkan lebih bersifat ‘one-off payment’ atau ‘pemberian satu-hala’. Dasar sebegini jika terus diamalkan tanpa disiplin fiskal yang ketat akan berterusan menjana defisit perbelanjaan yang tidak produktif. Lantas, ia ditambah pula dengan kadar defisit perbelanjaan negara yang berterusan selama bertahun-tahun menyebabkan jumlah hutang negara semakin meningkat dan menghampiri ‘National Debt-Ceiling’ atau ‘Siling Hutang Negara’.

Jadi, kadar pertumbuhan ekonomi di bawah kerajaan Barisan Nasional bukan sahaja tidak produktif tetapi semakin tidak sihat dengan perbelanjaan boros mereka.

Kemiskinan ketara meningkat

Kadar ketidakseimbangan pendapatan isirumah di Malaysia kini di tahap yang cukup membimbangkan. Indeks (GINI Coeffecient) pada tahun 2010 yang dijadikan sebagai mekanisme untuk mengesan jurang ketidakseimbangan di antara golongan kelas rendah dan tinggi menunjukkan bahawa kadar (GINI Coefficient) untuk Malaysia adalah sekitar 0.429 sekaligus meletakkan Malaysia sebagai negara yang mengalami jurang perbezaan kekayaan kedua tertinggi di Asia selepas Singapura.

Manakala, menurut statistik yang dikeluarkan PEMANDU, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2009 menganggarkan peratusan miskin tegar yang disenaraikan sebagai mereka yang berpendapatan isirumah kurang daripada RM800 sebulan hanyalah sekitar 3.8%. Ini mungkin pada satu hal, tidak kelihatan begitu merisaukan tetapi jika diambil kira pada realiti sebenarnya, ada hal yang lebih merisaukan.

Misalnya, indeks kemiskinan global mensyaratkan bahawa mereka yang berpendapatan isirumah di bawah RM2,500 sebulan adalah mereka di bawah paras kemiskinan. Jadi, realiti ekonomi di Malaysia sebenarnya lebih rumit daripada yang disangka-sangka.

Lihat sahaja sekiranya:

· Pendapatan di bawah RM800 (Indeks Paras Kemiskinan yang ditetapkan PEMANDU) : 3.8% daripada Jumlah warganegara Malaysia. 60% Melayu dan Bumiputera Sabah-Sarawak, 25% India, 15% Cina.

· Pendapatan di bawah RM1,500 : 15-20% daripada jumlah warganegara Malaysia. 65-70% Melayu dan Bumiputera Sabah-Sarawak, 25-30% India, 5-10% Cina.

· Pendapatan di bawah RM 2500 (Indeks Kemiskinan Global): 45-55.5% daripada jumlah warganegara Malaysia. 80-85% Melayu dan Bumiputera Sabah-Sarawak, 10-17.5% India, 5-10% Cina.
Jadi, berdasarkan analisis di atas, kita mendapati bahawa majoriti rakyat Malaysia berada pada paras kemiskinan global dimana hampir 45-55% daripada mereka berpendapatan di bawah RM2,500 dan 65-70% daripada mereka adalah golongan bumiputera Melayu dan Sabah-Sarawak yang sepatutnya berhak mendapat ekuiti kekayaan negara sebanyak 30%. Ini membuktikan bahawa Dasar Ekonomi Baru yang digembar-gemburkan selama ini hanyalah sandiwara kerajaan menutup kegagalan mereka memerintah selama berpuluh-puluh tahun.

Jika diperhatikan semula, Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan melahirkan golongan baru kelas menengah bumiputera melahirkan satu masalah baru yang lebih merumitkan: iaitu menampakkan jurang perbezaan kekayaan di dalam sesuatu kaum atau (intra-ethnic disparity) di mana menurut indeks hanya 5.9% daripada jumlah rakyat Malaysia berpendapatan lebih daripada RM10000 ini bertindak sebagai golongan kelas elit yang mengawal ekonomi negara.

Tambah menyedihkan, pemilikan orang Bumiputera Melayu dan Sabah-Sarawak yang tergolong sebagai sebilangan kecil golongan elit ekonomi ini hanyalah pada purata 10%.

Jadi, dimana sebenarnya kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) ini? Adakah orang Melayu dan Bumiputera ini yang sepatutnya dimanfaatkan daripada dasar ini tertinggal daripada pembahagian kekayaan sebenarnya.

Kronisme, korupsi dan nepotisme

Tambah tragis, di bawah era pemerintahan Tun Dr. Mahathir, beliau memperkenalkan pula dasar neo-liberal menerusi Dasar Penswastaan Negara. Jadi, peningkatan kekayaan golongan elit kroni ini semakin meningkat apabila mereka dianugerahkan kontrak-kontrak mega kerajaan berdasarkan hubungan baik ‘rakan-rakan kerajaan’ seperti Tan Sri Rashid Hussin, Tan Sri Halim Saad, Tan Sri Syeikh Mokhtar Al-Bukhary dan Tan Sri Vincent Tan dan ramai lagi.

Mereka ini hanya sebilangan daripada kawan-kawan kerajaan yang bertindak sebagai kuasa monopoli yang menentukan harga pasaran. Deregulasi ekonomi, peranan kerajaan yang terhad dalam urusan ekonomi negara menyebabkan rakyat dibebani dengan kos peningkatan sara diri supaya sebilangan kecil kroni dapat menjana keuntungan peribadi.

Lihat sahaja, apa yang berlaku di dalam isu perjanjian penjana tenaga bebas (IPP) dengan syarikat-syarikat kroni seperti Tan Sri Syed Mokhtar (MMC), Tan Sri Ananda Krishnan (Tanjung) dan mendiang Lim Goh Tong (Genting) bertindak sebagai pemegang monopoli ekonomi sehinggakan berjaya mengawal harga bahan api dan utiliti elektrik menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa membayar harga yang mahal untuk membekalkan kuasa elektrik.

Akhirnya, TNB yang dibiayai dengan duit cukai rakyat inilah yang menanggung kos beban demi menjana keuntungan golongan-golongan ini

Isu rasuah yang semakin ketara menampakkan lagi bahawa kerajaan Barisan Nasional sebenarnya tidak mampu lagi berselindung dan menyembunyikan diri daripada ketirisan ekonomi yang dicipta oleh mereka. Kesannya, pelaburan langsung asing (FDI) semakin berkurangan. Malah Indonesia buat pertama kalinya dalam tahun 2011 pada suku ke 2 (Q2) mengatasi jumlah pelaburan langsung negara.

Kejutan demi kejutan seperti isu National Feedlot Corporation dengan penyelewengan duit rakyat lebih RM250 juta, pemberian projek kepada Konsortium George Kent untuk mega-projek MRT juga pengapungan saham Felda Global Venture Holding (FGVH) merupakan sedikit daripadabukti-bukti korupsi di depan mata yang hanya dibisukan oleh kerajaan. Kadar korupsi negara semakin hari menyebabkan ekonomi negara semakin merosot dan pada akhirnya, rakyatlah golongan yang melata kemiskinan akibat beban-beban ketirisan yang ditinggalkan kerajaan.

Quo vadis ekonomi negara?

Masa depan ekonomi Malaysia kini berada di persimpangan. Masalah kelembapan ekonomi global kini semakin ligat kesannya dirasakan semua. Tambahan, kegagalan dasar-dasar ekonomi kerajaan merumitkan lagi kesediaan negara untuk mengharungi krisis ekonomi global di masa hadapan.

Kegagalan 40 tahun Dasar Ekonomi Baru yang melahirkan jurang perbandingan golongan kelas rendah dan kelas menengah menyebabkan rata-rata daripada rakyat Malaysia terpukul dengan derita kemiskinan yang berterusan. Malah, rata-rata golongan yang sepatutnya menerima manfaat penuh daripada dasar ini kini merupakan golongan yang paling tertinggal di dalam mengejar kemajuan ekonomi negara.

Bagi pendokong Dasar Ekonomi Baru, mereka tak perlu menjerit, memaki hamun kritikan terhadap dasar yang telah diseleweng dan disalahgunakan sesama pemimpin kerajaan BN dengan kroni kapitalis mereka. Yang perlu adalah mengaku bahawa dasar itu sudah lama menghakis hak Melayu dan Bumiputera kerana ia menjadi mainan para gergasi korporat dan pemimpin besar serta kecil dari segala sudut UMNO dan BN.

Untuk rakyat jelata, kita hanya melihat Dilema Ekonomi Buntu yang mengkayakan pimpinan BN dan kroni kapitalis. – Roketkini.com


**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**



PENAFIAN DAN PERINGATAN - Ini merupakan web rasmi Nusajaya Kini. Semua artikel di sini adalah hak mutlak Nusajaya Kini, tidak melibatkan sesiapa kecuali jika diletakkan nama pemiliknya. Semua gambar di web ini adalah hak milik Nusajaya Kini dan juga ehsan dari Google. Nusajaya Kini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Sebarang pertanyaan dan pendapat boleh dikemukakan terus melalui email kepada kami di nusajayakini@gmail.com


Kongsikan pandangan anda


0 komen pembaca for "Dilema Ekonomi Buntu "

Leave a reply

Terbaru di Nusajaya Kini

Cari Blog Ini

Like Nusajaya Kini

Ruang Iklan

Fanpage Nusajaya Kini

Twitter Nusajaya Kini

Arkib

Jumlah Paparan Halaman

Daftar Ahli Blog Nusajaya Kini