Sukan PASTI diawasi? Penganjur lahirkan rasa kesal
Posted by Unknown on 25 Julai 2011 | 0 komen pembaca
Para ibu bapa dan hadirin hadir seawal jam 8.00 pagi untuk sesi pendaftaran dan acara sukaneka dimulakan dengan sesi perbarisan serta lintas hormat dari semua kontinjen PASTI. Selesai nyanyian lagu PASTI, perbarisan keluar kontinjen pun bermula bagi meneruskan pertandingan yang akan berlangsung tidak lama selepas itu. Selesai sahaja semua kontinjen keluar baris masuk ke khemah masing-masing, acara sukaneka yang ditunggu-tunggu pun bermula. Banyak acara sukaneka yang telah dipertandingkan melibatkan beberapa kategori. Pada jam 10.00 pagi, sukaneka dimulakan dengan acara terbuka Pertandingan mewarna melibatkan kategori A (4-6 tahun), kategori B (7-9 tahun) dan katogori C (10-12 tahun). Selepas pertandingan mewarna, sukaneka diteruskan pula dengan acara padang. Acara yang melibatkan kategori pelajar 4 tahun adalah acara kutip gula-gula dan acara membuat kapal terbang kertas. Antara acara yang dipertandingkan bagi kategori pelajar 5 dan 6 tahun adalah acara tarik bola dalam gelung, lari dalam gelung, isi air dalam botol, lari 50 meter dan lari 4 x 25 meter.
Di akhir sukaneka diadakan majlis perasmian. Ucapan perasmian Sukaneka PASTI GP 2011 disampaikan oleh Tn Hj Dzulkefly Bin Ahmad selaku Penaung PASTI GP. Di dalam ucapan, beliau menyebut bahawa penubuhan PASTI ini bukan sahaja bertujuan untuk memberi pendidikan akademik malah turut sama berusaha membentuk akidah pelajar. Ini bertujuan bagi melahirkan lebih ramai generasi Al Quran di muka bumi untuk kesejahteraan dunia dan akhirat. Sukaneka ini juga telah dijadikan sebagai sukan yang julung kalinya diadakan setiap tahun bagi membina badan yang cergas sekaligus membentuk minda pelajar yang cerdas, katanya di dalam ucapan.
Turut kelihatan kelibat polis-polis yang mengawasi perjalanan sukaneka dan ianya secara tidak langsung menimbulkan rasa tidak senang di kalangan ibubapa dan pihak urusetia. Saudara Mohd Taufik Rizal bin Mohd Said selaku Pengarah Sukaneka PASTI GP 2011, turut melahirkan rasa kesal. Katanya ketika diwawancara, “Tidak dinafikan selepas peristiwa Bersih 2.0 yang lalu, ketakutan UMNO kepada Pakatan Rakyat semakin bertambah. Walaupun polis menggunakan alasan keselamatan tetapi pihak kami tahu mereka mendapat arahan dan tekanan politik dari pihak lain”. Walaupun begitu, Sukaneka PASTI tetap diteruskan dengan acara-acara yang telah dijadualkan.
Kemudian, sukaneka diteruskan lagi dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang. Dengan jumlah mata terkumpul seri sebanyak 42 mata, juara bagi Sukaneka PASTI GP pada tahun ini telah disandang oleh tiga buah PASTI iaitu PASTI Siswa 2, PASTI Siswa 4 dan PASTI Ar Rahman 3. Tiga buah PASTI ini telah berjaya mengalahkan empat buah PASTI yang lain.
Sukaneka PASTI GP ini telah melabuhkan tirainya pada jam 1.00 tengahari. Terpancar kepuasan dan kegembiraan yang amat sangat di muka para peserta, guru-guru serta ibu bapa.
**KLIK SINI untuk Iklan Teks produk anda dengan hanya RM5 sebulan!!**
0 komen pembaca for "Sukan PASTI diawasi? Penganjur lahirkan rasa kesal"
Leave a reply