Bicara Kolumnis: AMNI JAGAT
Lumrah di layar perak hari ini,
penuh dengan filem yang dipetik dari novel yang laris di pasaran. Karya kreatif
kini telah mula mendapat sambutan hangat sehingga ramai penerbit filem
berpusu-pusu menerbitkan filem yang diambil dari karya kreatif novel.
Tidak lekang juga di sisi
pengarah filem. Tugas sebagai pengarah lebih mudah jika sesuatu jalan cerita
itu diambil dari novel, kerana jalan cerita untuk sesebuah cerita itu sudah
siap tersedia. Ini lebih mudah berbanding sebuah gambaran yang harus dikaryakan
semula mengikut situasi dan keadaan sesuatu filem yang tidak mempunyai panduan
dasar.
Ternyata semua golongan
terhibur dan pasti yang mendapat tempelak dari populariti sesebuah filem yang
diilhamkan dari novel itu adalah penulis novelnya. Siapa yang tidak mahu
dikenali ramai sebagai penulis novel yang berjaya? Pastinya bertuah jika novel
itu berjaya diangkat dengan baik sehingga menjadi popular.
Teringat kisah sewaktu saya di
kedai kopi berbual dengan dua orang rakan mengenai filem ‘Rambo First Blood’. Ramai yang sudah maklum, filem Rambo yang pertama itu adalah adaptasi
dari sebuah novel barat yang ditulis oleh David Morell pada tahun 1972 yang
bertajuk ‘First Blood’.
Fenomena menerbitkan filem
beradaptasi novel sudah lama diamalkan di Hollywood
sekitar akhir 70an hingga awal alaf 21. Namun ramai dikalangan penggiat seni
filem di Hollywood hari ini merasa
bimbang dengan perubahan yang berlaku dalam industri perfileman di sana.
Mereka merasakan industri
perfileman di Hollywood hari ini
semakin kelam kabut. Ini kerana kemasukan serta popularnya filem yang berbentuk
‘komik’ kini sedang melanda dengan hebat. Perkara ini membuat taraf kesedaran
rakyat khususnya di Amerika menjadi lemah sehingga filem yang mengajar
kesedaran sosial serta ilmiah tidak lagi mendapat sambutan.
Inilah sebuah bencana yang
membimbangkan dalam industri perfileman yang juga menjadi tunggak pencetak
minda rakyat di Malaysia. Taraf kesedaran di minda rakyat yang menjadi penonton
filem semakin lama semakin rapuh.
Kepentingan kepada populariti
telah membinasakan segalanya. Taraf kesedaran sosial dalam penerbitan filem
semakin lemah. Juga tidak dapat disangkal lagi, ramai di antara penulis buku
terutamanya novel lebih cenderung memikirkan soal keuntungan berbanding soal kesedaran
dalam penulisan.
Jika dilihat sekitar tahun
hujung 80an dan awal 90an, terdapat juga novel yang diadaptasi menjadi filem.
Tetapi novel yang dipilih adalah novel yang menjurus kepada pencetak kesedaran
minda rakyat bukan sebuah novel yang berbentuk biasa atau boleh dikatakan
sebagai novel ringan tanpa kesedaran yang tinggi.
Novel seperti ‘Juara’ karya
Sasterawan Negara S. Othman Kelantan telah diangkat ke layar perak sebagai
sebuah filem berguna yang bertajuk ‘Jogho’ arahan U-Wei Haji Saari. Tidak
terlepas pandang juga novel ‘Perempuan, isteri dan jalang’ karya A. Samad Said
juga telah diangkat menjadi filem yang penuh dengan duga minda yang tinggi.
Filem seperti ‘Matinya seorang
patriot’ adalah antara contoh filem yang diadaptasi dari novel dan diangkat
untuk menjadi asas semangat kepahlawanan seorang bangsa melayu. Banyak lagi
karya novel hebat yang mengajar dan mendidik minda sedar masyarakat atau rakyat
di Malaysia ini untuk menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan
tanahair.
Adakah filem-filem ringan yang
seperti ini adalah kehendak dari sebuah kerajaan yang tidak mahu rakyatnya
memikirkan soal kesedaran sosial? Ini persoalan yang perlu dijawab. Jika
dilihat di negara eropah pula, mereka masih mengekalkan asas filem yang membina
minda masyarakat mereka ke taraf yang lebih jauh ke depan bukan hanya sekadar
memikirkan soal cinta, seks dan adegan ganas semata.
Filem-filem di Perancis
terutamanya, taraf kesusasteraan mereka begitu tinggi sehinggakan mereka tidak
peduli sama ada filem mereka laku di luar negara atau tidak. Bagi mereka yang
penting adalah pembinaan minda rakyat.
Berbalik kepada filem ‘Rambo First Blood’, memang filem ini
berjaya mendapat sambutan hangat dari penonton tetapi jika dihayati dengan lebih
dalam, filem ini sebenarnya menceritakan bagaimana minda kritis seorang penulis
yang memikirkan tentang nasib tentera yang menjadi orang suruhan pemerintah
mereka berjuang di Vietnam.
Akhirnya novel ‘First Blood’ berjaya mengangkat nasib segolongan
kecil manusia yang terpaksa berjuang atas nama semangat patuh kepada negara.
Jika dilihat dari awal filem ini, ‘Rambo
First Blood’ tidak memerlukan seorang pelakon wanita pun untuk menyerikan
jalan cerita filem ini.
Ternyata kekuatan sebuah filem
mahupun karya kreatif bukan bergantung hanya atas dasar cinta semata. Karya
cerpen seperti ‘Burning leg – Kaki
bakar’ yang telahpun difilemkan memang benar-benar menguji minda sedar yang
tinggi untuk dhayati.
Unsur sesebuah karya itulah
sebenarnya memainkan peranan yang tinggi bagi membina kekuatan dalam sesebuah
karya itu. Ia bukan terletak pada kepopularitian pelakon, pengarah mahupun
kelarisan sesebuah karya kreatif itu.
Pastinya hari ini rakyat di
Malaysia lebih mudah bersiul dengan kata-kata seperti ‘Ombak rindu’ berbanding
kata-kata hikmah seperti ‘Aku ini jogho’. Terkadang saya memikirkan mungkin
disebabkan kesedaran minda rakyat yang lemah sehingga pemerintah di Malaysia
harus menunduk lesu kerana bila tibanya hari kemerdekaan, ramai yang tidak bersemangat
unuk mengibarkan bendera negara dengan hebat.
Mungkin juga disebabkan terlalu
banyak sangat sekatan maka pemerintah harus mengakui dengan satu istilah ‘pulang
paku buah keras’.